Tiga remaja hilang ditemui
2 Julai 2013

Mangsa yang hilang dari kiri, Mohammad Firdaus, Mohammad Aris dan Mohammad Izuan Syafiq.
TAIPING – Hasrat tiga remaja mahu mendaki Gunung Hijau seperti dirancang tidak kesampaian sebaliknya berdepan detik cemas apabila sesat dalam Hutan Larut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, Penolong Penguasa Hasna Abd Rashid berkata, tiga remaja berkenaan Mohamad Aris Azhar, 17, Mohammad Izuan Syafiq Mohd Radzi, 21 dan Mohammad Firdaus Mohd Radzi, 17, difahamkan telah bersama-sama mendaki Gunung Hijau.
Menurutnya, pihaknya menerima panggilan jam 3.10 memaklumkan ketiga-tiga mereka telah sesat dan tidak ditemui.
“Ketiga-tiga mangsa dari Kampung Changkat Jering itu dikatakan telah sesat dalam kawasan hutan Bukit Larut dan pada peringkat permulaan seramai sembilan anggota Bomba dan Penyelamat Taiping telah bergegas ke tempat kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, di sini semalam.
Hasna berkata, operasi mencari dan menyelamat telah dimulakan pada jam 3.16 petang dan pasukan bomba turut mendapat bantuan daripada lapan anggota polis, dua dari Jabatan Hutan, tiga daripada Pejabat Daerah dan dua adalah daripada Kumpulan Belia
Proaktif.
“Semua 24 orang ini bertungkus-lumas cuba menjejak ketiga-tiga mangsa dan mereka hanya ditemui pada jam 9 malam iaitu empat kilometer dari puncak Gunung Hijau.
“Ketika ditemui kesemua mereka dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan berikutan telah sesat,” katanya.
Dalam pada itu, Hasna berkata, bagaimanapun semua mangsa yang terlibat didapati tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Selepas ditemui, ketiga-tiga mangsa telah dibawa keluar daripada kawasan hutan berkenaan dan hanya berjaya diturunkan pada jam 12 tengah malam.
“Setiba di kaki Bukit Larut, mereka diberikan rawatan terlebih dahulu dan selepas disahkan tidak mengalami sebarang kecederaan masing-masing dibenarkan pulang. Operasi mencari dan menyelamat tamat sekitar jam 1 pagi,” katanya.