KSN: Penjawat awam aktif dapat markah penuh – Bernama


KSN: Penjawat awam aktif dapat markah penuh

6 Julai 2013
Tan Sri Dr Ali Hamsa
Tan Sri Dr Ali Hamsa

NILAI – Penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti luar termasuk bidang sukan sehingga mewakili peringkat kementerian atau negeri akan diberikan markah penuh dalam Laporan Penilaian Prestasi Tahunan (LNPT) mereka.

Ketua Setiausaha Negera Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, perkara itu yang akan dibincangkan bersama semua Ketua Setiausaha Kementerian dan ketua jabatan bertujuan bagi menarik minat penjawat awam menyertai aktiviti-aktiviti luar terutama sukan.

“Kita akan berikan insentif kepada mereka dan insentif ini ada pelbagai jenis. Salah satunya ialah saya akan minta ketua-ketua jabatan untuk memberikan kredit tambahan kepada penjawat awam yang terlibat dalam aktiviti luar.

“Kalau dalam penilaian LNPT memang ada lima peratus untuk aktiviti luar tapi kalau sampai ke peringkat kementerian atau negeri…mungkin kita boleh berikan markah penuh atau terbaik dalam kategori itu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan menutup kejohanan olahraga Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota Kerajaan (MAKSAK) ke-45 di Stadium Universiti Sains Islam Antarabangsa, di sini hari ini.

Beliau berkata, langkah itu juga diharap dapat membantu mencungkil bakat-bakat tertentu dalam kalangan penjawat awam yang seterusnya boleh dimanfaatkan ke peringkat yang lebih tinggi.

Ali yang juga Penaung MAKSAK berkata, bagi menggalakkan penyertaan jabatan atau kementerian dalam kejohanan sukan, mereka dibenarkan untuk mendapatkan sumbangan dan bekerjasama dengan pihak swasta.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai ‘berita gembira’ untuk penjawat awam sempena sambutan perayaan hari raya Aidilfitri tahun ini, beliau berkata ia akan ditentukan dan diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, jika ada.

“Sebenarnya dalam bulan Ramadan ini semua penjawat awam akan dapat kenaikan gaji tahunan yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri sebelum ini, jadi itu sebenarnya ia adalah satu jenis bonus kepada penjawat awam yang mana tahun ini mereka dapat dua pergerakan gaji tahunan,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s