Ular makin kerap masuk sekolah – Sinar Harian


Ular makin kerap masuk sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Julai 2013
Ular makin kerap masuk sekolah
Kuldip (dua, kanan) menunjukkan beberapa kulit ular yang ditemui di kawasan sekolah kepada M Nasir.

BATU PAHAT – Hampir setiap minggu 200 pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Ju, Parit Sulong dikejutkan dengan kemunculan reptilia merbahaya yang masuk ke dalam kawasan sekolah seperti kelas dan kantin.

Guru Besar, Kuldip Kaur mengakui warga sekolah bimbang dan berharap pasukan bomba dan penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dapat membantu mengatasi masalah ular berkenaan.

“Sehingga hari ini (semalam) saya rasakan lebih 15 ekor ular telah ditemui selain beberapa kulit ular,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ketua Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Jalan Timah Sari, Pegawai Bomba Kanan II M Shah M Nasir, terus ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan, semalam.

Katanya, dengan kekuatan lapan anggota mereka menerima panggilan kira-kira jam 1.25 petang dan terus melakukan operasi selama hampir sejam untuk menangkap ular yang dimaksudkan.

“Bagaimanapun dalam operasi ini, pasukan kami gagal menemui ular tetapi kami temui kulitnya. Dan kami percaya haiwan berkenaan telah keluar dari kawasan sekolah ini.

“Pihak sekolah diminta berhati-hati dan memastikan keselamatan pelajar diutamakan.

“Saya juga menasihati guru dan kakitangan sekolah ini segera menghubungi pihak berkaitan seperti bomba dan JPAM untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Gilap kemahiran pelajar di peringkat sekolah – Metro


Gilap kemahiran pelajar di peringkat sekolah

 0  0 Google +0  0  0

Oleh YUSLIZA YAKIMIR ABD TALIB

Puchong: Industri hospitaliti negara mampu berkembang bertaraf global jika lebih banyak program mengasah bakat dalam bidang itu diadakan dalam kalangan pelajar di peringkat sekolah lagi.

Pengerusi Silverspoon International College (SSiC) Zamzani Abdul Wahab (Chef Zam) berkata, atas inisiatif itu, pihaknya menganjurkan 4th SSiC Junior Top Chef Challenge 2013 bagi menggilap kemahiran dimiliki pelajar, bermula pada peringkat sekolah menengah sebagai persediaan menjadi pelapis kepada chef terkemuka Malaysia. “Pertandingan ini pentas berkesan untuk mendedahkan pelajar dengan kepelbagaian juadah masyarakat negara ini dan antarabangsa yang seharusnya dipertahankan supaya terus diwarisi generasi akan datang. “Kami di SSiC mendukung inisiatif kerajaan menggalakkan lebih ramai belia menceburi bidang seni kulinari sebagai karier pilihan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Sebanyak 21 kumpulan mengambil bahagian membabitkan pelajar tingkatan tiga, empat dan lima, antaranya Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 1 Bandar Kinrara, SMK USJ 8, SMK Kepong, SMK Puchong Permai, SMK Ampang Pecah dan SM Vokasional Sungai Buloh. Ia dirasmikan Pengarah Bahagian Kelayakan Kemahiran Pekerjaan Malaysia (MOSQ) Zuleah Darsong. Program itu mendapat sokongan Jabatan Pembangunan Kemahiran.

 

Chef Zam berkata, penganjuran seperti itu diharap mampu menggalakkan perpaduan dan kerjasama erat dalam kalangan penggemar dunia masakan, sekali gus merapatkan hubungan silaturahim dengan sekolah bertanding. “Kami juga sentiasa berusaha keras melahirkan ramai tenaga mahir sebagai pemangkin industri penyediaan dan penyajian makanan profesional secara komersial,” katanya.
Beliau berkata, usaha dilakukan SSiC juga diharapkan membantu mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga kerja asing dan pada masa sama, mengeksport tenaga kerja mahir ke peringkat global.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/07