Pencapaian SPM banduan membanggakan – Sinar Harian


Pencapaian SPM banduan membanggakan

WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Julai 2013
Pencapaian SPM banduan membanggakan
Pelajar Sekolah Integriti yang membuat persembahan dalam pertandingan sketsa, semalam.

SUNGAI PETANI – Sekolah Integriti (SI) dan Henry Gurney yang disediakan Jabatan Penjara Malaysia turut mampu melahirkan pelajar cemerlang yang berpotensi melanjutkan pelajaran ke peringkat seterusnya.

Pengarah Pengurusan Banduan Ibu Pejabat Penjara, Komisioner Penjara Jamaludin Saad berkata, seramai 16 pelajar dari sekolah integriti sudah pun melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.

Menurutnya, antara institusi pengajian yang diduduki mereka termasuk Universiti Teknologi Mara (UiTM), politeknik dan Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza).

“Pencapaian terbaik yang kita pernah kecapi ialah pada tahun lepas di mana terdapat pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam kesemua lapan mata pelajaran yang diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Ko-Akademik kali ke-4, Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Sungai Petani, semalam.

Hadir sama Pengarah Penjara Sungai Petani, Penolong Kanan Komisioner Mohd Muslih Mahmud.

Menurutnya, selain memperoleh 8A, ada juga pelajar yang mendapat keputusan 7A, 6A, 5A dan seterusnya.

Katanya, pada tahun ini, seramai 160 pelajar bakal menduduki SPM manakala 16 pelajar bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Katanya, seramai 102 guru Kementerian Pelajaran dan pegawai bertugas diamanahkan untuk mengajar kesemua 1,870 pelajar yang ditempatkan di Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney seluruh negara.

“Kita mengharapkan sokongan ibu bapa bersama dengan semua pihak untuk memberi galakan dan membawa kecemerlangan dalam akademik,” katanya.

Menurutnya, Pertandingan Ko-Akademik yang dianjurkan buat tahun ke- 4 itu membantu kecemerlangan akademik pelajar di samping mengasah bakat dan kemahiran pada setiap individu.

Sementara itu, Pertandingan Ko-Akademik itu disertai SI Marang, SI Sungai Petani, SI Kajang, SI Kluang, SI Muar dan Sekolah Henry Gurney Telok Mas Melaka.

Antara acara yang dipertandingkan termasuk sketsa muzikal, nyanyian, pidato bahasa Inggeris, pidato bahasa Melayu, pertandingan melukis dan pertandingan suai padan gambar.

Dalam pertandingan berkenaan, SI Kajang, Penjara Kajang  yang mewakili Zon Tengah diumumkan juara keseluruhan bagi tahun 2013.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s