SAYEMBARA PENULISAN KREATIF (CERPEN BERUNSUR ISLAM) PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA 1435 H


SAYEMBARA PENULISAN KREATIF (CERPEN BERUNSUR ISLAM) PERINGKAT KEBANGSAAN SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA 1435 H

17 July 2013

 

Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka menganjurkan Sayembara Penulisan Kreatif (Cerpen Berunsur Islam) Peringkat Kebangsaan Sempena Sambutan Maulidur Rasul Kementerian Pendidikan Malaysia 1435 H. Ia terbuka kepada pegawai, guru dan  kakitangan yang berkhidmat di sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Syarat pertandingan sayembara beserta Borang Penyertaan dan Pengakuan Keaslian Karya boleh dimuat turun daripada link berikut:

http://www.bpi.edu.my/v1/index.php/component/content/article/2-uncategorised/249-sayembara-penulisan-kreatif

Atau klik pada lampiran di ruangan ‘Muat Turun’  di bawah.
Tarikh tutup sayembara ini ialah pada 30 September 2013.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi Urusetia Sayembara, Ustaz Ruzain Syukur b Mansor, Penolong Pengarah Sektor Dakwah dan Kepimpinan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia:

Nombor telefon       : 03-83217288

Email                        : sayembaracerpenislamkpm@gmail.com

 

Muat Turun
Syarat Pertandingan Sayembara (Cerpen Berunsur Islam)
Borang Pernyertaan Sayembara (Cerpen Berunsur Islam)

Polis tahan remaja samun mesin minuman – Bernama


Polis tahan remaja samun mesin minuman

17 Julai 2013

GEORGETOWN – Polis menahan seorang lagi remaja berusia 14 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes pecah dan samun mesin vendor minuman di sekitar Sungai Dua dan Gelugor, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil risikan dan maklumat awam, suspek ditahan di sebuah flat di Sungai Dua, berdekatan kampus Universiti Sains Malaysia (USM) pada pukul 2.30 pagi.

Katanya polis turut merampas sebatang besi jenis ‘kuku kambing’ yang dipercayai digunakannya untuk melakukan jenayah tersebut.

“Dengan penangkapan suspek, kita percaya dapat menyelesaikan sebanyak lima kes dan suspek turut mengaku pernah memecah masuk beberapa bilik pensyarah dan pejabat kampus USM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis percaya suspek mempunyai kaitan dengan dua remaja yang telah ditahan awal pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung kes memecah mesin vendor minuman dan cubaan memecah mesin juruwang automatik (ATM) di USM.

“Berdasarkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup), suspek yang kita tahan pagi ini tidak terlibat dalam dua kes cubaan memecah mesin ATM itu tetapi ketiga-tiga mereka saling mengenali dan kita yakin mereka ada kaitan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Suspek ditahan reman sehingga 24 Julai ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama

Siasatan Terhadap Guru Panggil Murid ‘Pelacur’ – mStar


Siasatan Terhadap Guru Panggil Murid ‘Pelacur’

Oleh YUEN MEIKENG

KUALA LUMPUR: Jabatan Pelajaran Melaka telah diarahkan untuk menyiasat dakwaan bahawa seorang guru disiplin telah memanggil seorang murid sekolah ‘pelacur’, kata Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Mary Yap.

“Jabatan itu boleh mengambil tindakan terhadap guru tersebut, jika benar dia melakukan kesalahan itu, di bawah Perintah Am Bab D,” katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini, Selasa.

Perintah Am Bab D di bawah Perlembagaan Persekutuan merujuk kepada kelakuan dan tatatertib kakitangan kerajaan.

Di bawah perintah itu, mana-mana penjawat awam yang didapati bersalah atas suatu kesalahan tatatertib mungkin tertakluk kepada, antara lain, amaran, denda, dilucutkan hak emolumen, penurunan pangkat atau dipecat, bergantung kepada keseriusan kesalahan itu.

Dilaporkan bahawa seorang murid berusia 12 tahun dari Batu Berendam, Melaka mendakwa guru disiplinnya memanggilnya pelacur.

Dia mendakwa guru wanita itu telah tersalah anggap dia adalah sebahagian daripada sekumpulan rakan sekelas lelaki yang telah menimbulkan masalah kepada guru lain.

Cuepacs Tetap Mahu Kerajaan Pertimbang Bonus Aidilfitri – Bernama


Cuepacs Tetap Mahu Kerajaan Pertimbang Bonus Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini tetap meminta kerajaan memberi bonus setengah bulan gaji sempena Aidilfitri kepada 1.4 juta penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman berkata pemberian bonus itu dapat mengurangkan beban mereka dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

“Sekarang ramai peniaga yang menaikkan harga barang sempena musim perayaan. Jika diberi bonus setengah bulan itu diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan mereka,” katanya ketika dihubungi Bernama, Selasa.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa yang menyatakan kerajaan masih belum membincangkan mengenai pemberian bonus Aidilfitri itu.

Pada Isnin, Ali dilapor berkata kerajaan sebelum ini telah mengumumkan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini yang boleh dianggap sebagai bonus.

Mengulas lanjut, Omar berkata pemberian bonus itu juga dapat menaikkan semangat bekerja dalam kalangan penjawat awam, sekali gus turut membantu meningkatkan produktiviti mereka.

“Bonus setengah bulan yang diberikan secara ‘advance’ kepada penjawat awam bukan sahaja dapat memberi semangat kepada mereka untuk memberikan perkhidmatan awam terbaik kepada rakyat, malah menggembirakan anggota keluarga mereka kerana persiapan hari raya lebih mudah dan tidak membebankan,” katanya.

Omar juga berkata kenaikan gaji tahunan dan bonus setengah bulan haji sempena Aidilfitri untuk penjawat awam adalah dua perkara berbeza.

Beliau berkata pemberian KGT dua kali pada tahun ini telah dijanjikan oleh kerajaan dan merupakan kenaikan sama rata mengikut gred jawatan tetapi bonus setengah bulan Aidilfitri adalah khusus untuk musim perayaan.

Justeru, katanya Cuepacs amat berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bonus setengah bulan gaji sempena Aidilfitri itu. – BERNAMA

Kemudahan sekolah dalam hospital akan diwujudkan di Sabah dan Sarawak – Bernama


Kemudahan sekolah dalam hospital akan diwujudkan di Sabah dan Sarawak

 

17/07/2013 5:34pm

 

PUTRAJAYA – Perancangan sedang dibuat untuk mewujudkan kemudahan Sekolah Dalam Hospital (SDH) di Sabah dan Sarawak, kata Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan.

Beliau berkata, setakat ini penerimaan terhadap SDH amat memberangsangkan kerana ia dilaksanakan berorientasikan pendekatan didik hibur dan fleksibel dalam persekitaran kondusif.

“Kini terdapat lapan buah hospital yang telah mempunyai kemudahan sekolah tersebut dan dua lagi sedang dalam perancangan untuk diwujudkan iaitu masing-masing satu di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian memperbaharui memorandum dan nota persefahaman bagi projek Hati Nurani: Sekolah Dalam Hospital antara Kementerian Pendidikan, Kementerian Kesihatan dan Yayasan Nurul Yaqeen di sini hari ini.

Perjanjian untuk tempoh lima tahun lagi itu ditandatangani Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Datuk Dr. Madinah Mohamad, KSU Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd. Ali dan pemegang amanah Yayasan Nurul Yaqeen, Datuk Dr. Ismail Ibrahim.

SDH merupakan inisiatif dua kementerian dan yayasan berkenaan bagi menyediakan keperluan kepada pelajar di wad hospital untuk mendapatkan pendidikan meskipun dalam keadaan tidak sihat.

Sejak Julai 2011 hingga April tahun ini lebih 22,000 murid yang mempunyai masalah kesihatan telah mendapat akses pendidikan menerusi projek SDH. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_18.htm#ixzz2ZJ1BH2Vo
Hakcipta terpelihara

SMK Seri Puteri sekolah pertama dapat panel solar di Terengganu – Bernama


SMK Seri Puteri sekolah pertama dapat panel solar di Terengganu

 

17/07/2013 5:57pm

 

KUALA BESUT – Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bukit Puteri di sini muncul sekolah pertama di Terengganu mendapat bantuan panel solar daripada Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

Timbalan Menteri berkenaan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pemberian panel solar itu merupakan langkah kementerian untuk menggalak dan memperkasa penggunaan solar sebagai tenaga boleh diperbaharui di negara ini khususnya di kalangan pelajar.

“Kerajaan mahu supaya tenaga boleh diperbaharui ini dipromosi dan diguna secara besar-besaran kerana ia percuma tak perlu bayar apa-apa… diperolehi secara semula jadi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kempen Jimat Air, Jimat Tenaga di sini, hari ini.

Mahdzir berkata, panel solar itu akan diberi kepada sekolah berkenaan sebelum akhir tahun ini.

Sementara itu, Pengetua SMK Seri Bukit Puteri, Che Soh Che Mat ketika ditemui melahirkan rasa bangga kerana walaupun berada di luar bandar namun sekolah itu tetap terpilih untuk menjayakan hasrat kerajaan memperkasa penggunaan tenaga boleh diperbaharui.

“Sangat tak terucap…. sekolah kami sekolah kerdil tapi tetap dianggap hebat,” katanya.

SMK Seri Bukit Puteri mempunyai 480 pelajar dengan kebanyakannya datang daripada keluarga nelayan dan petani. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0717&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_24.htm#ixzz2ZJ14VF5G
Hakcipta terpelihara

Kereta cikgu ‘terbang’ – Metro


Kereta cikgu ‘terbang’

 2  1 Google +1  0  0

Rembau: Seorang guru berdepan detik mencemaskan apabila kereta dipandunya ‘terbang’ hampir 10 meter akibat dirempuh sebuah kereta sebelum melanggar pagar dawai Tanah Perkuburan Islam Kampung Solok Jelawai di Kilometer 3, Jalan Seberang Batu Hampar-Mampong, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, mangsa, Rahimah Osman, 44, yang juga guru Sekolah Kebangsaan Seberang Batu Hampar, Chembong dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Rembau untuk membuat pemeriksaan tekanan darah.
Suami mangsa, Mohd Hisham Zainal, 46, berkata, sebaik menerima panggilan isterinya, dia yang berada di rumah di Taman Sri Rembau bergegas ke tempat kejadian dan bersyukur isteri selamat dan tidak cedera, tetapi trauma.

 

“Sejurus sampai di tempat kejadian isteri sudah keluar kereta dan dibawa orang ramai ke klinik. Saya dimaklumkan bahagian belakang kereta isteri dilanggar sebuah kereta. “Perlanggaran itu mengakibatkan isteri gagal mengawal stereng dan mungkin tertekan minyak menyebabkan kereta meluncur ke depan dan melanggar pagar dawai tanah perkuburan ini,” katanya. Jurucakap polis berkata, siasatan awal mendapati kereta Proton Iswara Aeroback dipandu seorang pekerja kilang dari Seberang Batu Hampar ke Mampong dipercayai mengekori terlalu rapat dan gagal mengawal kenderaan lalu melanggar belakang kereta jenis sama yang berada di hadapan.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 10, Akta Pengangkutan Jalan(APJ) 1987,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/17

Kerajaan kaji pemberian bonus buat penjawat awam: Najib – Bernama


Kerajaan kaji pemberian bonus buat penjawat awam: Najib

2013/07/17 – 15:41:36 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.

“Kita akan mengkaji perkara ini. Masih ada masa lagi,” katanya dalam satu persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan empat syarikat yang bersetuju melabur RM1.96 bilion di negeri-negeri di kawasan Koridor Utara.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan ada berita baik buat 1.4 juta penjawat awam berikutan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam yang masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Sebelum ini, Presidennya, Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbang pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam sempena Aidilfitri kerana ia dapat mengurangkan beban penjawat awam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Kenyataan CUEPACS itu menyusul sehari selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus, dan pengumuman Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini sudah boleh dianggap sebagai bonus. – BERNAMA

Lelaki dihukum 12 tahun penjara rogol – Bernama


Lelaki dihukum 12 tahun penjara rogol

2013/07/17 – 17:50:26 PMCetakEmel Kawan
GEORGETOWN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang lelaki kerana merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada 2011.

Hakim Zanol Rashid Hussain mendapati Hasli Yaakob, 35, dari Teluk Bahang, bersalah kerana merogol remaja berkenaan yang ketika itu itu berusia 15 tahun, di sebuah rumah di Teluk Bahang antara 11 dan 18 April 2011.

Ketika merayu supaya hukuman terhadap Hasli diringankan, peguam Andy Ooi berkata lelaki yang bertugas sebagai penyelamat itu perlu menjaga ibu bapanya, tetapi permohonannya dibantah Timbalan Pendakwa Raya DPP Lim Cheah Yit dengan alasan Hasli tidak langsung menunjukkan dia menyesali perbuatannya itu.

Ooi kemudian memohon supaya hukuman itu ditangguhkan, tetapi Zanol menolaknya dan memerintahkan Hasli menjalani hukuman penjara mulai Rabu. – BERNAMA

Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam – Utusan


Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam

 

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 17 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji kemungkinan mengumumkan khabar baik kepada penjawat awam terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

Perdana Menteri yang ditanya pemberita mengenai perkara itu kelihatan senyum dan memberi jawapan ringkas bahawa kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan soal tersebut.

“Nanti, kita akan melihat perkara ini. Ada masa lagi,” katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam

(CUEPACS ), Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan setengah kepada 1.5 juta penjawat awam di negara ini iaitu setengah bulan dipertimbangkan dibayar sebelum Aidilfitri.

Omar berkata, pemberian bonus itu mengurangkan beban penjawat awam dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa pula percaya Perdana Menteri, akan memutuskan isu pemberian bonus kepada penjawat awam

sempena pembentangan Bajet 2014 nanti. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130717/dn_34/Aidilfitri-PM-bayangkan-berita-gembira-penjawat-awam#ixzz2ZIx7kUBG
© Utusan Melayu (M) Bhd