Kerajaan kaji pemberian bonus buat penjawat awam: Najib – Bernama


Kerajaan kaji pemberian bonus buat penjawat awam: Najib

2013/07/17 – 15:41:36 PMCetakEmel Kawan
PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata kerajaan akan mengkaji kemungkinan memberi bonus kepada penjawat awam menjelang ketibaan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi.

Perdana Menteri berkata, kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan perkara itu.

“Kita akan mengkaji perkara ini. Masih ada masa lagi,” katanya dalam satu persidangan media di bilik mesyuarat khas pejabatnya di sini sejurus selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dengan empat syarikat yang bersetuju melabur RM1.96 bilion di negeri-negeri di kawasan Koridor Utara.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan ada berita baik buat 1.4 juta penjawat awam berikutan permintaan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) semalam yang masih berharap kerajaan akan memberi bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam walaupun mereka akan menerima kenaikan gaji tahunan pada bulan ini.

Sebelum ini, Presidennya, Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbang pemberian bonus setengah bulan gaji kepada penjawat awam sempena Aidilfitri kerana ia dapat mengurangkan beban penjawat awam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Kenyataan CUEPACS itu menyusul sehari selepas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, kerajaan masih belum berbincang mengenai pemberian bonus, dan pengumuman Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) dua kali untuk tahun ini sudah boleh dianggap sebagai bonus. – BERNAMA

Lelaki dihukum 12 tahun penjara rogol – Bernama


Lelaki dihukum 12 tahun penjara rogol

2013/07/17 – 17:50:26 PMCetakEmel Kawan
GEORGETOWN: Mahkamah Sesyen di sini hari ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap seorang lelaki kerana merogol seorang remaja perempuan bawah umur pada 2011.

Hakim Zanol Rashid Hussain mendapati Hasli Yaakob, 35, dari Teluk Bahang, bersalah kerana merogol remaja berkenaan yang ketika itu itu berusia 15 tahun, di sebuah rumah di Teluk Bahang antara 11 dan 18 April 2011.

Ketika merayu supaya hukuman terhadap Hasli diringankan, peguam Andy Ooi berkata lelaki yang bertugas sebagai penyelamat itu perlu menjaga ibu bapanya, tetapi permohonannya dibantah Timbalan Pendakwa Raya DPP Lim Cheah Yit dengan alasan Hasli tidak langsung menunjukkan dia menyesali perbuatannya itu.

Ooi kemudian memohon supaya hukuman itu ditangguhkan, tetapi Zanol menolaknya dan memerintahkan Hasli menjalani hukuman penjara mulai Rabu. – BERNAMA

Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam – Utusan


Aidilfitri: PM bayangkan berita gembira penjawat awam

 

Oleh THOMAS CHONG

PUTRAJAYA 17 Julai – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan akan mengkaji kemungkinan mengumumkan khabar baik kepada penjawat awam terutamanya menjelang perayaan Aidilfitri nanti.

Perdana Menteri yang ditanya pemberita mengenai perkara itu kelihatan senyum dan memberi jawapan ringkas bahawa kerajaan masih mempunyai masa untuk memutuskan soal tersebut.

“Nanti, kita akan melihat perkara ini. Ada masa lagi,” katanya ketika menjawab pertanyaan pemberita dalam sidang akhbar yang diadakan selepas majlis pertukaran memorandum pelaburan Koridor Utara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam

(CUEPACS ), Datuk Omar Osman meminta kerajaan mempertimbangkan pemberian bonus dua bulan setengah kepada 1.5 juta penjawat awam di negara ini iaitu setengah bulan dipertimbangkan dibayar sebelum Aidilfitri.

Omar berkata, pemberian bonus itu mengurangkan beban penjawat awam dalam membuat persiapan hari raya kerana perbelanjaan ketika Ramadan dan Aidilfitri adalah tinggi berbanding hari biasa.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Dr. Ali Hamsa pula percaya Perdana Menteri, akan memutuskan isu pemberian bonus kepada penjawat awam

sempena pembentangan Bajet 2014 nanti. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130717/dn_34/Aidilfitri-PM-bayangkan-berita-gembira-penjawat-awam#ixzz2ZIx7kUBG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Murid tahun lima maut tersepit dalam lif rosak – Utusan


Murid tahun lima maut tersepit dalam lif rosak

 

Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR 17 Julai – Seorang murid tahun lima maut akibat tersepit dalam lif yang rosak sewaktu pulang dari sekolah di Projek Perumahan Rakyat Desa Tun Razak di sini hari ini.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 1.16 petang sewaktu mangsa, Khairul Amir Azri Lani, 11, cuba keluar dari lif itu yang mengalami kerosakan. Lif tersebut ketika itu memuatkan 18 penumpang lain, kesemuanya murid sekolah. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130717/je_15/Murid-tahun-lima-maut-tersepit-dalam-lif-rosak#ixzz2ZIx0a5XM
© Utusan Melayu (M) Bhd