50 pelajar tahfiz ke Yaman – Bernama


50 pelajar tahfiz ke Yaman

18 Julai 2013
 50 pelajar tahfiz ke Yaman
Seramai 50 pelajar tahfiz berumur 11 hingga 19 tahun dari seluruh negara berserta 15 orang pengiring bergambar beramai-ramai di Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini sebelum berlepas ke Yaman bagi menjayakan program Bertalaqqi Al-Quran. – Foto Bernama

SEPANG – Seramai 50 pelajar tahfiz berusia antara 11 hingga 19 tahun berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini untuk mengikuti program bertalaqqi dan bersanad Al-Quran di Yaman.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Pelajar-pelajar Tahfiz Malaysia Datuk Mustapa Othman berkata mereka adalah antara pelajar terbaik yang dipilih dari seluruh sekolah tahfiz dalam negara.

“Talaqqi adalah membaca Al-Quran dengan guru, iaitu dengan orang yang mempunyai tauliah, yang bertali arus hingga ke Rasulullah S.A.W.

“Para pelajar nanti akan berguru, diperbetulkan sebutan dan makhraj yang tepat dan kemudiannya diberi sanad atau ijazah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan para pelajar di sini hari ini.

Mustapa berkata program anjuran pertubuhan itu yang ditaja Lembaga Tabung Haji diadakan buat julung kalinya, bermula 20 Julai dan dijangka berakhir 14 Ogos depan.

Beliau berkata mereka sepatutnya berlepas ke Mekah sebelum ini untuk bertalaqqi dan bersanad, namun terpaksa dibatalkan akibat masalah visa.

“Jadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyarankan pelajar ke Yaman tahun ini. Tetapi tahun depan kita akan buat program ini di Mekah pada bulan selain Ramadan seperti dicadangkan menteri,” katanya.

Sementara itu Muhammad Nabil Sapidin, 11, berkata meskipun gembira kerana terpilih menyertai program itu, beliau tetap sedih kerana terpaksa menyambut Aidilfitri jauh daripada keluarganya.

Anak sulung daripada lima adik beradik ini berkata sejak tahun lepas beliau menghafaz lima juzuk Al-Quran sebagai persediaan untuk menyertai talaqqi.

Muhammad Hazim Fatullah Mohd Helmi, 11, pula menghafaz Al-Quran sejak berusia tujuh tahun dan kini mampu menghafaz 11 juzuk, katanya memaklumkan perlu mengulangi bacaan setiap hari sebagai tips menghafaz Al-Quran.

Sementara itu Ketua Pegawai Operasi Tabung Haji Datuk Kamaruddin Mat Ali berkata pihaknya menaja RM500,000 bagi membiayai keperluan penginapan, pengangkutan, makanan dan minuman serta tiket penerbangan para pelajar ke Yaman.

“Ini merupakan tanggungjawab sosial korporat kami dalam bidang pendidikan untuk memberi motivasi kepada remaja bagi meningkatkan ilmu dalam bidang Al-Quran, sekaligus berjaya menjadi tahfiz,” katanya.  – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s