Guru melampau percakapan berbaur lucah – Sinar Harian


Guru melampau percakapan berbaur lucah

M JEFFRI RAZALI
19 Julai 2013

BANDARAYA MELAKA – Kerajaan negeri sedang menyiasat dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan terhadap seorang guru sebuah sekolah rendah di negeri ini yang didakwa mengeluarkan percakapan berbaur lucah terhadap muridnya baru-baru ini.

Exco Pelajaran, Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi dan Teknologi Hijau negeri, Datuk Md Yunos Husin berkata, semua aduan itu akan disiasat dengan teliti bagi memastikan kesahihan sebelum sebarang tindakan dibuat.

“Sekiranya hanya seorang murid membuat dakwaan itu, mungkin ia tidak tepat. Tetapi dalam kes ini, terdapat beberapa dakwaan sama dibuat ibu bapa, sekaligus menunjukkan seriusnya masalah ini.

“Apapun, kerajaan negeri berjanji akan menyiasat dakwaan ini dengan teliti dan akan mengambil tindakan sewajarnya,” katanya di sini semalam.

Md Yunos berkata demikian merujuk kepada dakwaan ibu bapa berkaitan seorang guru lelaki mengeluarkan kenyataan berbaur lucah dengan merujuk kepada alat sulit masing-masing terhadap murid lelaki darjah satu dan dua di sekolah berkenaan.

Berikutan kejadian itu, difahamkan ibu bapa beberapa murid sudah membuat laporan kepada Jabatan Pelajaran Negeri.

Malah, Md Yunos berkata, beliau turut menerima beberapa pesanan ringkas (SMS) dari ibu bapa terbabit yang memaklumkan mengenai tindakan guru berkenaan.

“Kita sama sekali tidak boleh perbuatan sebegini. Kalau murid degil sekalipun, ada cara lain untuk menghukum mereka, bukannya cara begini,” katanya.

Henti tuduhan kerajaan ugut guru – Sinar Harian


Henti tuduhan kerajaan ugut guru

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Julai 2013
Henti tuduhan kerajaan ugut guru
Idris bersama warga pendidik daerah Besut di IPG Kampus Sultan Mizan, semalam.

BESUT – Menteri Pendidikan 11, Datuk Seri Idris Jusoh mengingatkan pihak tertentu agar menghentikan tuduhan kononnya kerajaan mengugut guru yang tidak menyokong Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kuala Besut nanti.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah PRK Dun Kuala Besut berkata, pihak terbabit diminta tidak buat tuduhan melulu, tambahan sekarang adalah bulan puasa.

Menurutnya, beliau dan kerajaan tidak pernah mengugut guru untuk mengambil sebarang tindakan jika tidak  menyokong BN. “Ia adalah tuduhan melulu bagi membangkitkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan warga pendidik,” katanya selepas Program Bicara Intelektual Bersama Menteri Pendidikan 11 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Sultan Mizan, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Profesion Perguruan (NUTP), Hashim Adnan yang disiarkan media tertentu yang mengingatkan parti-parti politik, guru tidak harus diancam atau diugut untuk mengundi mana-mana pihak.

Sinar Harian 7 Julai lalu menyiarkan kenyataan Idris menyeru supaya memilih calon BN bagi memastikan agenda pembangunan negara dapat diteruskan.

Dalam kenyataan itu, beliau tidak mengeluarkan perkataan berbentuk ugutan atau paksaan terhadap guru menyokong kerajaan.

Beliau hanya seru agar guru buat pertimbangan sewajarnya memandangkan kerajaan melakukan pelbagai usaha demi kebaikan warga pendidik di negara ini.