‘Kau belasah anak aku…’ – Metro


‘Kau belasah anak aku…’

 1  1 Google +0  0  0

Oleh Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Seorang ayah bertindak nekad ‘melarikan’ anaknya daripada jagaan bekas isteri dan suami baru selepas mendapat tahu kanak-kanak berusia enam tahun itu sering dijadikan tempat melepas geram hingga menyebabkannya trauma.

Difahamkan kanak-kanak itu kini ditempatkan di sebuah rumah kebajikan di ibu kota sebagai penjaga sementara berikutan ayah kandung mangsa risau dengan keadaan anaknya itu yang sering kelihatan takut jika dihampiri.
Sumber polis berkata, selepas bercerai, ayah mangsa dibenarkan melawat anaknya itu pada setiap hujung minggu dan menyangka anak tunggalnya itu gembira kerana tinggal bersama ibu kandungnya.

 

“Bagaimanapun beberapa minggu lalu ketika melawat anaknya itu, dia ternampak muka kanak-kanak itu bengkak dan apabila dia menyoal kanak-kanak itu menyatakan dia terjatuh.
“Namun bapa mangsa rasa sangsi dengan kelakuan anaknya yang sering kelihatan takut dan selepas disoal beberapa kali, akhirnya kanak-kanak itu mengaku sering dibelasah ibu kandung serta bapa tirinya,” katanya.
Menurutnya, kanak-kanak itu juga sering menangis dan menyatakan tidak mahu tinggal bersama ibunya kerana tidak tahan didera dan akhirnya ayah mangsa mengambil tindakan nekad melarikan kanak-kanak itu daripada jagaan ibu kandungnya.

 

Selepas membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, kanak-kanak itu diserahkan kepada sebuah rumah kebajikan untuk penjagaan sementara berikutan ayah mangsa yang tidak berkahwin lagi tidak mampu menjaga kanak-kanak berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

Dengan budak bolehlah kau… – Metro


Dengan budak bolehlah kau…

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Amir Abd Hamid

Kuala Lumpur: Gara-gara didakwa terlanggar motosikal diparkir hingga tumbang, seorang kanak-kanak orang kelainan upaya (OKU) bisu, bermasalah pendengaran dan jantung berlubang berumur lapan tahun dipukul pemilik motosikal berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 49 tahun dalam kejadian di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu 5, Jalan Ipoh, di sini, kelmarin.

Mangsa, Muhammad Azmeen Mustama ditemui ibunya, Rosmiha Karim, 45, dalam keadaan ketakutan dan menangis di koridor flat itu jam 5.20 petang.
Rosmiha yang ditemui di Klinik Otorinolaringologi (ORL) Hospital Kuala Lumpur (HKL) ketika membawa mangsa mendapatkan rawatan pakar berkata, pada mulanya dia terdengar bunyi kekecohan di pekarangan bawah flat dan disangkakan orang bergaduh.

 

“Ketika itu saya, suami dan anak sulung berehat di ruang tamu rumah kami di tingkat satu. Walaupun menyangka bunyi kecoh itu bunyi orang bergaduh, tetapi saya rasa tak sedap hati sebab anak bongsu saya tiada di rumah.
“Saya menjenguk dari atas dan terdengar suara lelaki memarahi seseorang yang lain, namun tak jelas siapa. Kemudian saya turun dan alangkah sedih melihat anak istimewa saya menyorok di koridor dalam keadaan takut dan menangis teresak-esak.
“Dengan menggunakan bahasa isyarat, anak saya memberitahu dipukul di kepala serta telinga kiri dan terdapat bekas kemerahan di bahagian itu,” katanya.

 

FotoROSMIHA bersama anaknya, Muhammad Azmeen.

Katanya, seorang jiran wanita kemudian datang kepadanya menyatakan dia melihat kejadian itu, tetapi tidak berani membantu kerana lelaki yang memukul kanak-kanak itu bengis.
Rosmiha berkata, dia bimbang kejadian itu boleh menyebabkan kecederaan serius kepada anaknya kerana tempat dipukul pernah dibedah dua kali akibat masalah pendengaran.

 

Menurutnya, Muhammad Azmeen juga penghidap jantung berlubang dan dibedah di Institut Jantung Negara (IJN) pada 2006 untuk dipasang alat khas menutup lubang di jantungnya.
Sehubungan itu, Rosmiha dan suaminya, Mustama Chanan Din, 62, membuat laporan di Balai Polis Jinjang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu berkata, pihaknya menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan masih menunggu laporan penuh daripada hospital.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/23

Budak 14 tahun dirogol 8 lelaki – Sinar Harian


Budak 14 tahun dirogol 8 lelaki

MOHD RIDZUAN ABU HASSAN
23 Julai 2013
Budak 14 tahun dirogol 8 lelaki
Lokasi kejadian mangsa dirogol bergilir-gilir dipercayai oleh lapan lelaki di Bukit Kebuk awal pagi semalam.

MARAN – Tindakan pantas tiga anggota polis peronda melakukan pemeriksaan berjaya menyelamatkan seorang budak perempuan berusia 14 tahun daripada menjadi mangsa rogol sekumpulan lelaki di Bukit Kebuk, dekat sini, semalam.

Bagaimanapun malang buat rakan mangsa, juga berusia 14 tahun apabila dirogol bergilir-gilir lapan lelaki terbabit di atas susunan tiang elektrik di kawasan semak berkenaan.

Dalam kejadian jam 3 pagi itu, tiga anggota polis yang sedang melakukan rutin rondaan mendapati sebuah kenderaan diletakkan berdekatan semak dalam keadaan mencurigakan.

Ketika memasuki jalan tidak bertar kurang 300 meter dari jalan utama untuk melakukan pemeriksaan, beberapa lelaki cuba melarikan diri dengan motosikal masing-masing sebaik menyedari kehadiran kenderaan polis.

Seorang daripada mangsa ditemui terbaring tanpa pakaian di atas susunan tiang elektrik, manakala rakan mangsa dikurung dalam kereta salah seorang lelaki terbabit.

Difahamkan, kedua-dua mangsa yang tinggal di sebuah tanah rancangan Felda dalam daerah ini keluar dari rumah masing-masing seawal jam 1 pagi tanpa pengetahuan ibu bapa mereka.

Kedua mangsa dikatakan mahu ke rumah teman lelaki salah seorang daripada mereka di Temerloh, namun tidak mempunyai kenderaan sebelum menghubungi seorang rakan lelaki (suspek) untuk meminta pertolongan.

Selepas diambil dengan menaiki sebuah kenderaan, lelaki yang membantu mereka itu berhenti di sebuah stesen minyak berdekatan lokasi kejadian untuk berjumpa dengan rakan suspek lain.

Mangsa kemudiannya dibawa ke lokasi kejadian sebelum salah seorang daripada mereka dirogol bergilir-gilir dipercayai membabitkan lapan lelaki tidak dikenali.

Sementara itu, Ketua polis Daerah Maran, Pemangku Deputi Superintendan Sulaiman A Hamid berkata, pemeriksaan kesihatan mengesahkan salah seorang daripada remaja malang itu dirogol bergilir-gilir.

Menurutnya, tiga suspek berusia 16 hingga 19 tahun berjaya ditahan untuk membantu siasatan manakala rakan mereka yang lain sedang diburu pihak polis.