KGT beri faedah berterusan
KUALA LUMPUR – Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak dua kali yang diberi oleh kerajaan memberikan faedah berterusan kepada penjawat awam sepanjang tempoh perkhidmatan mereka dan selepas bersara kelak.
Ini kerana pemberian KGT sebanyak dua kali itu akan membolehkan penjawat awam mendapat pendapatan bulanan yang lebih serta menambahkan lagi pencen maksimum dan ganjaran yang boleh diterima apabila pencen kelak.
Menurut carta Bahagian Pasca Perkhidmatan Jabatan Perkhidmatan Awam, seorang Pembantu Am Pejabat Gred N11, sebagai contoh, akan mendapat tambahan pencen bulanan sebanyak RM96 dan tambahan ganjaran sebanyak RM4,320 dengan adanya KGT sebanyak dua kali itu.
Tanpa pemberian KGT dua kali itu, penjawat awam berkenaan hanya memperoleh gaji pokok maksimum RM1,977.74 sebulan dengan ganjaran RM53,398.98 dan pencen bulanan RM1,186.64 apabila bersara.
Ini berbanding dengan gaji pokok maksimum RM2,137.74, ganjaran RM57,718.98 dan pencen bulanan RM1,282.64 selepas mendapat dua KGT.
Faedah persaraan itu adalah bagi pegawai yang mempunyai tempoh perkhidmatan 30 tahun (360 bulan) untuk melayakkannya mendapat ganjaran dan pencen penuh.
Dengan adanya dua KGT itu, tambahan pencen bulanan bagi Pembantu Tadbir (N17) pula ialah RM114, Penolong Pegawai Tadbir (N27) RM174, dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (M54) RM384.
Dari segi ganjaran pula, tambahan yang akan diperoleh oleh Pembantu Tadbir RM5,130, Penolong Pegawai Tadbir RM7,831 dan Pegawai Tabdir dan Diplomatik RM17,280.
Secara umumnya, Pembantu Am Pejabat melibatkan mereka yang mempunyai kelulusan Sijil Rendah Pelajaran, Pembantu Tadbir (Sijil Pelajaran Malaysia), Penolong Pegawai Tadbir (Diploma) dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (Ijazah).
Pada kebiasaannya, penjawat awam hanya mendapat sekali KGT bagi tempoh setahun.
Semasa mengumumkan KGT dan Bayaran Bantuan Khas Hari Raya Kewangan 2013 hari ini Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata faedah KGT itu akan diperoleh sepanjang tempoh perkhidmatan.
“Mereka juga akan menerima faedah pencen yang lebih tinggi berikutan kenaikan dua KGT pada tahun ini,” kata Najib. – Bernama