Murid Tahun Lima cedera terkena mercun buatan sendiri – Bernama


Murid Tahun Lima cedera terkena mercun buatan sendiri

2013/07/25 – 13:43:30 PMCetakEmel Kawan
KOTA BHARU: Seorang murid Tahun Lima Sekolah Kebangsaan Bechah Durian, Bunut Susu, Pasir Mas, di sini cedera di mata kanan dan melecur di sekitar mulutnya apabila bermain mercun buatan sendiri, semalam.

Dalam kejadian 4.30 petang itu, mangsa, Muhammad Nur Hakim Mohd Nawi, 11, dari Kampung Padang Embun, Tendong, Pasir Mas, cuba membuat bunga api dengan menggunakan belerang daripada mercun jenis bola dan pasir yang dimasukkan ke botol air mineral.

Bapa mangsa, Mohd Nawi Wan Sulaiman, 57, berkata anak kesembilan daripada 12 beradik itu kemudian mencucuh mercun buatan sendiri itu dengan menggunakan kertas surat khabar.

“Saya difahamkan dia ingat mercun buatannya itu akan menjadi seperti suar tapi tak sangka ia meletup dan mencederakan dirinya,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), tempat anaknya menerima rawatan di sini hari ini.

Pengarah HRPZII, Datuk Dr Ghazali Hasni Md Hassan, yang melawat kanak-kanak itu berkata kecederaan yang dialami mangsa telah dirawat namun pihaknya masih belum mengetahui sama ada mata mangsa dimasuki pasir atau tidak.

“Kita akan buat pemeriksaan lanjut. Dia kini berada dalam keadaan stabil,” katanya sambil menambah kes itu yang kedua diterima hospital berkenaan bulan ini. – BERNAMA

Terima ugutan bunuh, guru besar SK Pristina buat laporan polis – Bernama


Terima ugutan bunuh, guru besar SK Pristina buat laporan polis

2013/07/25 – 17:12:18 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, Saujana Utama, Sungai Buloh, hari ini, membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berikutan isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu untuk pelajar bukan Islam, dua hari lalu.

Mohd Nasir Mohd Noor, 57, berkata laporan polis itu dibuat bagi melindungi dirinya yang menerima ugutan bunuh dan cacian daripada beberapa pihak termasuk melalui akaun Facebooknya.

“Dua hari lepas, setelah gambar itu tersebar, saya menerima panggilan talefon kira-kira 10 pagi dari seorang lelaki yang mendakwa dia dari Badan Bukan Kerajaan (NGO).

“Selain memaki hamun saya dan menghamburkan kata-kata kesat, dia juga mengeluarkan perkataan ‘If I meet you, i will kill you’ (Jika saya jumpa awak, saya akan bunuh awak),” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu dengan ditemani enam anggota Badan Kebajikan Guru sekolah itu di pondok Polis Saujana Utama dekat sini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan bilik persalinan di sekolah itu digunakan sebagai kantin sementara bagi 28 pelajar bukan Islam sepanjang Ramadan ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan yang mengadakan lawatan ke sekolah itu semalam berkata isu lokasi kantin sementara yang didakwa kurang sesuai di sekolah itu, tiada kena mengena dengan isu agama dan bangsa.

Mengulas isu itu, Mohd Nasir berkata beliau kesal dengan usaha yang mahu menjatuhkan nama baiknya dan sekolah itu, yang baru dibuka tiga tahun lepas itu.
“Sebelum ini, memang tidak ada aduan daripada ibu bapa mengenai isu bilik persalinan ini kerana mereka faham masalah kantin di sekolah ini yang dalam proses ubah suai bagi menampung kira-kira 600 pelajar sedangkan sekolah ini mempunyai 1,300 pelajar,” katanya.

Ekoran isu itu, beliau kini bercuti selepas diarahkan berehat untuk sementara waktu bagi meredakan keadaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Junaidi Bujang mengesahkan menerima laporan daripada Mohd Nasir berhubung tohmahan terhadap dirinya berhubung isu itu.

Di PETALING JAYA, Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk A. Thaiveegan berkata polis akan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan dan Jabatan Pelajaran Negeri Selangor dalam menyelesaikan isu itu.

Beliau berkata walaupun isu itu bukan di bawah bidang kuasa polis, namun ia sedia membantu dalam menyelesaikannya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan surat penghargaan kepada 54 anggota dan pegawai polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Subang atas kejayaan menyelesaikan beberapa kes jenayah di sekitar negeri itu.

Pada majlis sama, Thaiveegan mengagihkan sebanyak 268 sarung siku kepada anggota polis yang bertugas di bahagian Unit Rondaan Bermotosikal (URB) bagi mengelakkan kecederaan ketika bertugas. – BERNAMA

Selamat pengantin baharu atau baru? – Sinar Harian


Selamat pengantin baharu atau baru?

MUHAMMAD DAUD
25 Julai 2013

KITA sering terkeliru apabila menggunakan perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’. Ada yang menganggap perkataan-perkataan tersebut mempunyai maksud dan cara penggunaan sama.

Tanggapan salah itu juga menyebabkan pengguna bahasa Melayu selalu guna perkataan-perkataan itu dengan cara tidak sesuai.

Sebenarnya, perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, ‘bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’ mempunyai fungsi dan cara penggunaan yang berbeza. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, perkataan ‘baru’ bermaksud ‘belum lama’.

Perkataan ini tergolong sebagai kata bantu aspek untuk menimbulkan suasana perbezaan masa sama ada masa lampau, masa kini, atau masa hadapan. Sebagai contohnya:
(i) Noraziah baru sampai dari Negeri Sembilan.
(ii) Fadzil baru pulang dari Arab Saudi.

Perkataan ‘baharu’ pula merupakan kata adjektif (sifat) waktu yang memberi pengertian konsep waktu sebagai unsur keterangan. Sebagai contohnya:
(i) Abdul Hadi membeli sebuah kereta baharu.
(ii) Baju baharu itu kepunyaan Mohd Rodi.

Pengguna bahasa Melayu juga kadang-kadang terkeliru sama ada ingin menggunakan ucapan ‘Selamat Pengantin Baharu atau Baru’. Sepatutnya ucapan tersebut diucap atau ditulis sebagai ‘Selamat Pengantin Baharu’. Begitu juga dengan ‘Selamat Tahun Baharu’ yang seharusnya digunakan dan bukannya ‘Selamat Tahun Baru’. Hal ini demikian kerana kedua-dua ucapan  tersebut membawa pengertian konsep waktu sebagai unsur keterangan iaitu pengantin dan tahun yang baharu.

Bagaimanakah pula dengan perkataan ‘bharu’ dan ‘bahru’ yang sering kita temukan dalam nama khas, khususnya merujuk kepada bandar atau tempat, contohnya Kota Bharu, Wakaf Bharu dan Johor Bahru. Sepatutnya ‘Kota Bharu’ perlu dieja sebagai ‘Kota Baharu’, ‘Wakaf Bharu’ dieja sebagai ‘Wakaf Baharu’ manakala ‘Johor Bahru’ sepatutnya dieja sebagai ‘Johor Baharu’.

‘Kota Baharu’ bermaksud sebuah kota yang wujud selepas wujudnya kota lama sebelum itu kerana kita semua tahu di Kelantan terdapat suatu tempat dikenali sebagai Kota Lama. Begitu juga ‘Johor Baharu’ yang wujud selepas wujudnya Johor Lama dan ‘Wakaf  Baharu’ yang merujuk kepada sebuah pondok yang baharu. Namun disebabkan ketiga-tiganya nama khas dan telah sebati digunakan oleh masyarakat, maka penggunaan ‘Kota Bharu’,

‘Wakaf  Bharu’ dan ‘Johor Bahru’ dikekalkan. Hal ini demikian juga berlaku kerana ketiga-tiga tempat ini wujud sebelum 16 Ogos 1972 memandangkan selepas tarikh itu telah diperkenalkan penggunaan Sistem Ejaan Rumi

Bersama yang turut diisytiharkan penggunaannya secara serentak di Malaysia dan Indonesia. Bermula 16 Ogos 1972, penggunaan sistem ini di Malaysia dikenali sebagai Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Melayu dengan ejaannya diselaras dan lebih tepat. Kemungkinan juga dalam konteks ini telah berlaku pengguguran vokal ‘a’ dalam kedua-dua perkataan. Sebagai contohnya:

(i) Aziman akan ke Johor Bahru untuk menyaksikan perlawanan bola sepak Liga Super.
(ii) Amir Farhan dan Nur Ain Nabila berasal dari Kota Bharu.

Perkataan ‘baru-baru’ mungkin tidak menjadi masalah untuk kita menggunakannya. ‘Baru-baru’ merupakan kata ganda penuh daripada kata dasar ‘baru’ yang bermaksud tidak lama dahulu atau tidak berapa lama sebelum ini. Sebagai contohnya:
(i) Baru-baru ini Nor Haslina membuat sebiji kek.
(ii) Baru-baru ini Persatuan Penduduk Taman Guchil Baharu mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan perumahan mereka.

Namun, pengguna bahasa Melayu diingatkan supaya tidak menggunakan perkataan ‘baharu-baharu’ bagi menggantikan ‘baru-baru’ kerana ‘baharu-baharu’ merupakan nama sejenis ikan laut.

Contoh di bawah membantu kita semua bagi membezakan penggunaan perkataan ‘baru, ‘baharu’, ‘bharu’, bahru’, ‘baru-baru’ dan ‘baharu-baharu’:

Ahmad yang baru sampai di Kota Bharu bertolak dari Johor Bahru pada pukul 9 pagi tadi dengan menaiki kereta baharunya bersama-sama isteri baharu dan terus membeli ikan baharu-baharu.

Aspek penggunaan bahasa Melayu amat menarik jikalau dibincangkan secara mendalam. Namun pengguna bahasa Melayu perlu berhati-hati dalam menggunakannya agar tidak melakukan kesilapan dalam berbahasa. Akhir kata “Cintailah Bahasa Kita, Bahasa Jiwa Bangsa”.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur

MB arah siasat kes keracunan – SInar Harian


MB arah siasat kes keracunan

WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Julai 2013
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir

IPOH – Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengarahkan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) menyiasat kes 36 murid Sekolah Kebangsaan Guru Kalgidhar, Buntong mengalami keracunan makanan dipercayai berpunca daripada makanan yang dijual di kantin sekolah.

Menurutnya, langkah itu perlu memandangkan kes keracunan makanan tidak boleh diambil mudah, malah pihaknya bersedia dengan tindakan tegas sekiranya didapati berlaku kecuaian ketika menyediakan makanan kepada murid.

“Tindakan segera perlu diambil kerana kejadian ini melibatkan anak-anak kita yang sedang menimba ilmu, kerajaan negeri amat prihatin dengan kes tersebut dan kita mahu langkah-langkah pencegahan segera diambil untuk menangani masalah tersebut.

“Apa-apa pun kita tunggu laporan lengkap daripada JPN dan kita harap laporan menyeluruh dapat dilakukan segera,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Perak di sini, semalam.

Usah pandang negatif pada sistem persekolahan – Metro


Usah pandang negatif pada sistem persekolahan

 0  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: Insiden murid Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, dekat sini yang diarah makan di bilik persalinan menggantikan kantin, tidak harus menjadi penyebab untuk ibu bapa berpandangan negatif mengenai sistem persekolahan negara.

Presiden Majlis Pemuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata, kejadian itu disifatkannya kes terpencil yang sangat jarang berlaku, justeru, ia bukan kayu pengukur kepada keseluruhan corak pendidikan diguna pakai ketika ini.
“Jangan kita mengukurnya dengan menganggap keseluruhan sistem pendidikan sesuatu yang buruk… tak elok, sekali gus enggan menghantar anak ke sekolah kebangsaan dan jenis kebangsaan.

 

“Kejadian ini adalah kes terpencil dan tidak langsung menggambarkan keseluruhan sistem yang kita guna pakai. Jadi jangan cepat bertindak melampau atau keterlaluan.
“Memanglah tak wajar untuk meletakkan murid makan di tempat begitu, tetapi secara dasarnya pihak sekolah sudah menjelaskan duduk perkara sebenar (atas tindakannya) dan semua pihak perlu akur ia satu kesilapan bukan disengajakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi bagi mengulas laporan akhbar semalam mengenai tindakan pengurusan SK Seri Pristana yang menempatkan murid makan di bilik persalinan menggantikan kantin sekolah itu.

 

Laporan menyebut, bilik persalinan itu yang belum pernah digunakan dijadikan tempat makan sejak Mac berikutan kantin tidak mampu menampung bilangan murid yang ramai pada waktu rehat.
Malah, tempat makan itu juga digunakan semua murid sekolah terbabit tanpa mengira kaum dan bangsa.

 

Mengulas lanjut Dr Mohamad Ali berkata, semua pihak perlu mengambil iktibar atas kejadian berlaku selain Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) setiap sekolah harus menjadi lebih proaktif menyelesaikan sebarang isu berbangkit.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

Tindakan betul, lokasi tak sesuai – Metro


Tindakan betul, lokasi tak sesuai

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Nurul Huda Kosnon dan Shahrul Redzuan Zulkifli

Sungai Buloh: “Tiada kena-mengena dengan isu agama atau bangsa. Keputusan menggunakan bilik persalinan sebagai kantin sementara itu dibuat melalui perbincangan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) dan sudah dipersetujui semua pihak kerana kantin ini agak kecil.

“Kantin ini juga hanya boleh memuatkan kira-kira 500 hingga 800 pelajar saja. Ia sekali gus tidak dapat menampung jumlah keseluruhan pelajar seramai 1,300 dalam satu masa dan ia memerlukan proses pengubahsuaian,” kata Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan.
Beliau mengulas bilik persalinan dijadikan tempat makan pelajar di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, di sini, yang menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak.

 

Menurutnya, kementerian memutuskan tindakan guru besar sekolah berkenaan untuk menyelesaikan masalah kekurangan tempat makan untuk pelajar sekolah itu dianggap baik namun pemilihan lokasi sementara yang tidak sesuai.
“Lokasi dipilih untuk penempatan kantin sementara itu tidak sesuai dan ia sudah dilaksanakan sejak Mac lalu. “Bilik persalinan ini digunakan pelajar Melayu, India, Cina dan Orang Asli namun ia bukan satu isu akan tetapi lokasi disediakan itu tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui di sidang media di kantin sekolah itu.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohiam Ibrahim.

 

Menurutnya, bagi mengelakkan perkara itu diperbesarkan, beliau mengarahkan bilik persalinan itu ditutup dan kantin sekolah dibuka semula hari ini.
“Guru besar sudah memohon maaf begitu juga dengan saya. Ia tidak akan berlaku lagi dan kes ini sudah selesai,” katanya.

 

Kamalanathan berkata, Kementerian Pendidikan memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan murid di sekolah berkenaan selain menyifatkan isu terbabit tiada kena mengena dengan agama dan bangsa.
Ditanya mengenai tindakan mohon maaf dari guru besar sekolah itu diterima pihak kerajaan dan sekiranya tindakan bakal diambil kepada guru besar sekolah itu, katanya ia bergantung kepada tindakan Kementerian Pendidikan.
“Apa yang penting Kementerian Pendidikan mengambil langkah menyelesaikan masalah ini dan isu ini sudah selesai. Jika ada pihak tidak berpuas hati, saya bagi pihak kementerian minta maaf,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi RM10,000 untuk proses pembesaran kantin sekolah berkenaan.
Sementara itu suri rumah, Zarinah Zainuddin, 30, berkata isu ini bukanlah serius sebaliknya ada pihak tertentu yang hanya mahu merumitkan keadaan saja.
“Bagi saya ia tiada masalah kerana tiada tempat untuk makan di kantin. Ia sangat sesak dan pernah anak saya makan di tepi longkang kerana tiada tempat duduk.
“Bilik persalinan itu juga bukanlah tandas, cuma ada bilik mandi saja. Saya juga tiada masalah dengan pihak pengurusan sekolah kerana saya tahu guru besar sekolah ini sangat berwibawa,” katanya.
Dakwaan mengenai pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Seri Pristana mengarahkan pelajar bukan Islam makan di bilik persalinan yang dijadikan kantin sementara pada Ramadan dan di muat naik di laman sosial menggemparkan pelbagai pihak.
Bilik itu turut disediakan beberapa meja dan kerusi bagi memberi kemudahan serta keselesaan kepada murid untuk makan dan minum walaupun ia terletak bersebelahan tandas.
Insiden itu sekali gus menjadi tumpuan ramai apabila ia tersebar luas di laman blog dan laman sosial termasuk Facebook dan Twitter.
Dalam pada itu, seorang ibu, K Kasturi 32, berkata dia berasa sedih apabila dimaklumkan anaknya makan dalam bilik persalinan itu disebabkan kantin sekolah masih dalam kerja pengubahsuaian.
“Anak ada memberitahu dua hari lalu makan di bilik persalinan dan bukan di kantin sekolah. Saya sebagai ibu bapa mendengar berita buruk ini sangat susah hati, bimbang berlaku perkara tidak diingini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25

SEMAKAN TEMUBUAL KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (KV) DI KOLEJ SWASTA TAHUN 2013


SEMAKAN TEMUBUAL KE PROGRAM KOLEJ VOKASIONAL (KV) DI KOLEJ SWASTA TAHUN 2013

24 July 2013

Sukacita dimaklumkan bahawa Aplikasi Semakan Temubual ke Program Kolej Vokasional (KV) di Kolej Swasta, boleh dibuat di Laman Web Rasmi Kementerian Pendidikan Malaysia bermula 25 Julai 2013 (Khamis) sehingga 28 Julai 2013 (Ahad).

Terima kasih.