Tindakan betul, lokasi tak sesuai
Oleh Nurul Huda Kosnon dan Shahrul Redzuan Zulkifli
Sungai Buloh: “Tiada kena-mengena dengan isu agama atau bangsa. Keputusan menggunakan bilik persalinan sebagai kantin sementara itu dibuat melalui perbincangan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) dan sudah dipersetujui semua pihak kerana kantin ini agak kecil.
“Kantin ini juga hanya boleh memuatkan kira-kira 500 hingga 800 pelajar saja. Ia sekali gus tidak dapat menampung jumlah keseluruhan pelajar seramai 1,300 dalam satu masa dan ia memerlukan proses pengubahsuaian,” kata Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan.
Beliau mengulas bilik persalinan dijadikan tempat makan pelajar di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana, di sini, yang menimbulkan pelbagai reaksi banyak pihak.
Menurutnya, kementerian memutuskan tindakan guru besar sekolah berkenaan untuk menyelesaikan masalah kekurangan tempat makan untuk pelajar sekolah itu dianggap baik namun pemilihan lokasi sementara yang tidak sesuai.
“Lokasi dipilih untuk penempatan kantin sementara itu tidak sesuai dan ia sudah dilaksanakan sejak Mac lalu. “Bilik persalinan ini digunakan pelajar Melayu, India, Cina dan Orang Asli namun ia bukan satu isu akan tetapi lokasi disediakan itu tidak sepatutnya,” katanya ketika ditemui di sidang media di kantin sekolah itu.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohiam Ibrahim.
Menurutnya, bagi mengelakkan perkara itu diperbesarkan, beliau mengarahkan bilik persalinan itu ditutup dan kantin sekolah dibuka semula hari ini.
“Guru besar sudah memohon maaf begitu juga dengan saya. Ia tidak akan berlaku lagi dan kes ini sudah selesai,” katanya.
Kamalanathan berkata, Kementerian Pendidikan memandang serius perkara ini kerana ia membabitkan murid di sekolah berkenaan selain menyifatkan isu terbabit tiada kena mengena dengan agama dan bangsa.
Ditanya mengenai tindakan mohon maaf dari guru besar sekolah itu diterima pihak kerajaan dan sekiranya tindakan bakal diambil kepada guru besar sekolah itu, katanya ia bergantung kepada tindakan Kementerian Pendidikan.
“Apa yang penting Kementerian Pendidikan mengambil langkah menyelesaikan masalah ini dan isu ini sudah selesai. Jika ada pihak tidak berpuas hati, saya bagi pihak kementerian minta maaf,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyampaikan sumbangan peribadi RM10,000 untuk proses pembesaran kantin sekolah berkenaan.
Sementara itu suri rumah, Zarinah Zainuddin, 30, berkata isu ini bukanlah serius sebaliknya ada pihak tertentu yang hanya mahu merumitkan keadaan saja.
“Bagi saya ia tiada masalah kerana tiada tempat untuk makan di kantin. Ia sangat sesak dan pernah anak saya makan di tepi longkang kerana tiada tempat duduk.
“Bilik persalinan itu juga bukanlah tandas, cuma ada bilik mandi saja. Saya juga tiada masalah dengan pihak pengurusan sekolah kerana saya tahu guru besar sekolah ini sangat berwibawa,” katanya.
Dakwaan mengenai pihak pengurusan Sekolah Kebangsaan Seri Pristana mengarahkan pelajar bukan Islam makan di bilik persalinan yang dijadikan kantin sementara pada Ramadan dan di muat naik di laman sosial menggemparkan pelbagai pihak.
Bilik itu turut disediakan beberapa meja dan kerusi bagi memberi kemudahan serta keselesaan kepada murid untuk makan dan minum walaupun ia terletak bersebelahan tandas.
Insiden itu sekali gus menjadi tumpuan ramai apabila ia tersebar luas di laman blog dan laman sosial termasuk Facebook dan Twitter.
Dalam pada itu, seorang ibu, K Kasturi 32, berkata dia berasa sedih apabila dimaklumkan anaknya makan dalam bilik persalinan itu disebabkan kantin sekolah masih dalam kerja pengubahsuaian.
“Anak ada memberitahu dua hari lalu makan di bilik persalinan dan bukan di kantin sekolah. Saya sebagai ibu bapa mendengar berita buruk ini sangat susah hati, bimbang berlaku perkara tidak diingini,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/25