Guru terpedaya janji sindiket rugi RM20,000 – Berita Harian


Guru terpedaya janji sindiket rugi RM20,000

2013/07/26 – 05:41:18 AMCetakEmel Kawan
Guru terpedaya janji  sindiket rugi RM20,000Tan (kiri) menunjukkan laporan polis kepada Tay di pejabat Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru, semalam.

Johor Bahru: Seorang guru kerugian RM20,490 selepas terpedaya dengan helah sindiket penipuan antarabangsa yang menjanjikan habuan lumayan.

Mangsa, Tan Peck Hiang, 28, berkata kejadian bermula sejak Mei lalu, apabila beliau dihubungi seorang lelaki tidak dikenali menggunakan nombor telefon negara asing yang menjemputnya ke sebuah majlis makan amal di Kuala Lumpur.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak menghadiri majlis terbabit kerana faktor jarak selain kesibukannya bertugas sebagai guru di sebuah sekolah di pinggir bandar raya ini.

Tipu pakej melancong

“Sebulan selepas itu, saya sekali lagi mendapat panggilan telefon daripada nombor sama yang memberitahu saya berjaya memenangi pakej percutian ke Dubai, bernilai RM120,000.

“Malah, beliau turut memberitahu, sekiranya saya tidak dapat pergi ke Dubai, tawaran itu boleh digantikan dengan wang tunai RM120,000, namun saya perlu membuat pembayaran terhadap urusan berkaitan tuntutan terbabit yang berjumlah RM20,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Biro Aduan Awam MCA Johor Bahru di sini, semalam. Hadir sama ialah Ketua Bironya, Michael Tay.
Peck Hiang berkata, beliau pada mulanya tidak percaya dengan kata-kata lelaki itu, namun mula terpedaya dengan janji manis lelaki terbabit selain turut memeriksa kesahihannya disebuah laman web.

‘Justeru, pada 8 Julai lalu, saya memindahkan sejumlah RM5,800 daripada akaun bank saya ke akaun lelaki terbabit yang menggunakan nama Lo Chen Hwa,” katanya.

Mula curiga

Katanya, pada 9 Julai lalu, beliau sekali lagi dihubungi lelaki terbabit yang memberitahu beliau berpeluang memenangi RM369,000 dan perlu memasukkan sejumlah wang untuk pemprosesan wang dari Hong Kong ke Malaysia.

“Sekali lagi saya terpedaya dan memindahkan RM9,690 keesokan harinya, saya diberitahu wang berjumlah RM369,000 sudah dimasukkan ke dalam akaun bank saya.

“Namun, wang itu didakwanya disekat bank di Malaysia kerana membabitkan jumlah besar dan perlu membuka dua akaun bank,” katanya.

Katanya, curiga dengan lelaki terbabit, beliau akhirnya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya pada 11 Julai lalu.

Remaja Hilang Ditemui Dirogol – Bernama


Remaja Hilang Ditemui Dirogol

GEORGE TOWN: Remaja perempuan berumur 14 tahun yang dilaporkan hilang dari rumahnya di Sungai Ara, Bayan Lepas pada Jumaat lalu ditemui awal pagi Khamis.

Dia ditemui masih dalam pakaian tidur seperti ketika dia dilaporkan hilang, pada pukul 1 pagi oleh seorang penoreh di pinggir kebun getah, beberapa kilometer dari rumahnya.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata remaja itu kelihatan bingung dan trauma serta lemah dipercayai kerana tidak mendapat makanan.

“Berdasarkan keterangan mangsa, dia mendakwa diculik dua lelaki bertopeng dan dibawa naik ke atas bukit serta dirogol oleh salah seorang suspek,” katanya ketika dihubungi.

Keluarganya telah dimaklumkan mengenai penemuannya dan dia kini dihantar ke hospital untuk pemeriksaan lanjut. Hatta berkata pihak polis masih belum mengenal pasti identiti suspek dan usaha mengesan sedang dilakukan.Mangsa disedari hilang pada pukul 6 pagi dengan selimut miliknya dijumpai di belakang rumahnya.

Menurut keluarganya, rumah mereka yang terletak di atas bukit tidak dikunci pada malam tersebut bagi memudahkan seorang lagi anggota keluarga mereka yang pulang lewat memasukinya. – BERNAMA

Gesa selaras bonus penjawat awam – Metro


Gesa selaras bonus penjawat awam

2013/07/26 – 06:07:19 AMCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: CUEPACS menyarankan kerajaan negeri menyelaraskan pemberian bonus antara penjawat awam negeri dan Persekutuan yang bertugas di negeri berkenaan bagi mengelak ketidakadilan berlaku dalam pentadbiran di peringkat negeri.

Presidennya, Datuk Omar Osman, menyifatkan tindakan kerajaan negeri memberi bonus lebih tinggi atau bonus tambahan kepada penjawat awam negeri berbanding kadar bonus diumumkan Kerajaan Persekutuan sebagai tidak harmoni serta pilih kasih.

Katanya, bayaran bonus yang menggunakan wang rakyat termasuk wang pembayar cukai perlu diagihkan berdasarkan konsep kesamarataan antara penjawat awam negeri dan Persekutuan.

CUEPACS tidak membantah jika ada kerajaan negeri yang berhasrat memberi bonus lebih tinggi berdasarkan peningkatan hasil negeri kerana ia mampu menjadi motivasi kepada penjawat awam, tetapi pemberian itu seharusnya tidak dilakukan secara pilih kasih antara penjawat awam negeri dan Persekutuan,” Datuk Omar Osman, Presiden CUEPACS

“Kerajaan negeri seharusnya menghargai dan mengiktiraf peranan penjawat awam persekutuan di peringkat negeri,” katanya kepada BH.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM500 untuk persiapan Aidilfitri kepada penjawat awam bagi Gred 1 hingga Gred 54.

Perdana Menteri turut mengumumkan Bayaran Bantuan Khas Kewangan RM250 kepada 660,000 pesara kerajaan bagi menghargai jasa bakti mereka dan bantuan itu akan dibayar pada 31 Julai ini membabitkan peruntukan kewangan RM835 juta.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, mengumumkan bonus sebulan gaji kepada 21,776 penjawat awam negeri itu sempena Aidilfitri tahun ini.
Selangor peruntuk RM30j

Kerajaan Selangor memperuntukkan RM30 juta dan bonus akan dibayar selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Omar berkata, tindakan membeza-bezakan penjawat awam negeri dan Persekutuan akan memberi kesan negatif terhadap pembangunan negeri, sekali gus mewujudkan suasana tidak sihat dalam pentadbiran kerajaan di peringkat negeri.

Jangan pilih kasih

“CUEPACS tidak membantah jika ada kerajaan negeri yang berhasrat memberi bonus lebih tinggi berdasarkan peningkatan hasil negeri kerana ia mampu menjadi motivasi kepada penjawat awam, tetapi pemberian itu seharusnya tidak dilakukan secara pilih kasih antara penjawat awam negeri dan Persekutuan,” katanya.

Sementara itu, Omar berkata, CUEPACS yakin kerajaan akan memberi pertimbangan sewajarnya terhadap empat tuntutan yang diputuskan dalam Majlis Kongres bulan lalu, termasuk tuntutan bonus dua bulan setengah yang dikemukakan kepada Perdana Menteri, 9 Julai lalu.