Terkejut anak panjat menara – Sinar Harian


Terkejut anak panjat menara

MOHD IZZATUL IZUAN
28 Julai 2013
Terkejut anak panjat menara
Budiman bersama penduduk kawasan itu menunjukkan lubang pada pagar yang dipercayai mudah dimasuki kanak-kanak

PASIR PANJANG – “Abang Chik, turun perlahan-lahan, abah tak marah, jangan sampai terjatuh,” itu yang diungkapkan seorang bapa, Azlan Ariffin, 37, kepada seorang anaknya berusia sembilan tahun yang berada di atas sebuah menara telekomunikasi di Parit 10, Pasir Panjang, di sini.

Azlan berkata, anaknya bersama tiga lagi rakannya berusia antara tujuh hingga 12 tahun dikatakan memanjat tiang menara telekomunikasi setinggi kira-kira 70 meter itu pada kira-kira jam 4.30 petang sewaktu dia berada di dalam rumah.

Menurutnya, dia hanya diberitahu anaknya berada di tempat tinggi itu oleh seorang rakan anaknya sebelum bergegas ke lokasi untuk memujuk anak ketiganya itu supaya turun bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Bagai nak pitam dibuatnya apabila melihat anak saya sudah berada di atas menara itu bersama rakannya, tanpa membuang masa saya hanya mampu memujuknya supaya turun dengan perlahan-lahan,” katanya kepada Sinar Harian.

Azlan berkata, ketika itu, dia hanya mampu berdoa agar anaknya itu dapat turun dengan selamat memandangkan keadaan menara itu yang tinggi, selain bimbangkan jika ada daripada mereka yang tergelincir jatuh.

“Saya risau ada yang terjatuh dan sudah tentu ia boleh mengundang suasana panik, tambahan pula dalam keadaan ketinggian seperti itu, kita tidak boleh menduga apa yang bakal berlaku.

“Bagaimanapun, kesemua mereka dapat turun dengan selamat tanpa sebarang kecederaan yang dialami,” katanya.

Menurutnya, anaknya itu dipercayai masuk ke kawasan pencawang itu melalui pagar keselamatan yang dipotong dan dilubangkan pihak tidak bertanggungjawab.

“Saya pun tidak tahu ada pagar yang dilubangkan memandangkan keadaan persekitarannya yang ditutupi semak, namun tidak menyangka pula anak-anak bermain di kawasan bahaya seperti ini,” katanya.

Sementara itu, Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zohdi berkata, syarikat telekomunikasi yang memasang menara itu diminta supaya mengambil tindakan segera berikutan terdapat kesan kerosakan pagar keselamatan itu yang dilubangkan untuk membolehkan sesiapa sahaja memboloskan diri.

Beliau berkata, syarikat pengendali itu perlu menjalankan kerja pemantauan secara berterusan kerana ia sudah menjadi tanggungjawab syarikat terbabit untuk mengawal selia struktur menara telekomunikasi berkenaan.

4,500 murid SRA khatam serentak – Sinar Harian


4,500 murid SRA khatam serentak

NORDIANA JOHARI
28 Julai 2013
4,500 murid SRA khatam serentak
Seramai 4,500 murid tahun enam melibatkan 164 Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka terlibat dalam Majlis Khatam Al-Quran di Masjid Al-Azim, semalam.
4,500 murid SRA khatam serentak
Mohd Khalil menyampaikan cenderamata kepada murid cemerlang Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka, semalam.

BANDARAYA MELAKA – Seramai 4,500 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) seluruh negeri melakar kejayaan apabila khatam Al-Quran secara serentak di Masjid Al-Azim, semalam.

Majlis melibatkan murid tahun enam dari 164 SRA Jaim itu disempurnakan Yang Dipertua negeri, Tun Mohd Khalil Yaakob.

Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Idris Haron; Speaker Dun, Datuk Othman Muhammad dan Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka, Datuk Yaakub Md Amin.

Idris berkata, beliau melahirkan rasa syukur terhadap penganjuran program yang dilihat mampu melahirkan lebih ramai generasi celik al-Quran dan mengamalkannya sebagai panduan kehidupan.

“Jika semua umat Islam dapat mengamalkan inti pati kitab ini, saya yakin kita akan bertemu dengan kehidupan lebih sempurna,” katanya sempena Majlis Khatam Al-Quran Perdana Pelajar SRA Jaim peringkat negeri, semalam.

Menurutnya, menjadi kewajipan ibu bapa mengajar al-Quran kepada anak-anak sejak kecil bagi melahirkan modal insan berkualiti pada masa depan.

Bagaimanapun, Idris menyifatkan segelintir pihak sebagai bankrap idea dan kaedah selepas menimbulkan kekacauan di negara ini seharusnya tidak perlu ada lagi dalam masyarakat Islam hari ini.

Sebaliknya, tanpa mengira fahaman politik, umat Islam harus bersatu membina kehidupan lebih baik dan sempurna.

“Datang dengan pelbagai wajah dalam bentuk demonstrasi jalanan, protes dan ugutan, saya kira kaedah ini tidak perlu lagi ada dalam masyarakat,” katanya.

Cabul: Pegawai polis dihukum penjara 14 tahun, 10 sebatan – Kosmo


Cabul: Pegawai polis dihukum penjara 14 tahun, 10 sebatan

 

28/07/2013 3:15pm

 

KOTA BHARU – Seorang pegawai polis berpangkat Cif Inspektor dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua tuduhan iaitu melakukan seks luar tabii ke atas seorang remaja perempuan berusia 15 tahun dengan menyuruh mangsa melakukan oral seks dan mencabul kehormatan mangsa dalam kereta peronda polis empat tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut setelah mendapati tertuduh, Ishak Mahmud, 49, didapati bersalah atas kedua-dua pertuduhan.

Bagi pertuduhan pertama, Ishak didakwa melakukan seks luar tabii dengan menyuruh remaja perempuan berusia 15 tahun 4 bulan itu melakukan seks oral tanpa kerelaannya di dalam kereta peronda polis jenis Proton Perdana di kawasan Kampung Air Terjun Bentagor, Pasir Puteh pada pukul 2 pagi, 2 Oktober 2009.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa melakukan kekerasan jenayah untuk mencabul mangsa pada waktu dan tempat yang sama. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_11.htm#ixzz2aKJ9dpOA
Hakcipta terpelihara

Rogol : Mekanik dihukum jel 12 tahun, lima sebatan – Kosmo


Rogol : Mekanik dihukum jel 12 tahun, lima sebatan

 

28/07/2013 3:48pm

 

KOTA BHARU – Seorang mekanik dihukum penjara 12 tahun dan lima sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan merogol remaja perempuan berusia 16 tahun pada awal Februari tahun lalu.

Hakim Azman Mustapha menjatuhkan hukuman tersebut setelah tertuduh Mohamad Arman Hairi Mat Hassan, 21 didapati bersalah.

Mohamad Arman Hairi didakwa merogol gadis berusia 16 tahun 5 bulan itu di sebuah rumah tanpa nombor di Badang, di sini, pada pukul 3 petang, awal Februari tahun lalu. – KOSMO!

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0728&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_12.htm#ixzz2aKIvE2IF
Hakcipta terpelihara

Sokong guru besar – Metro


Sokong guru besar

 1  0 Google +0  0  0

Oleh ZAITIE SATIBI

Kuala Lumpur: Satu laman Facebook diwujudkan bagi menyokong Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana, Sungai Buloh, Mohamad Nasir Mohd Noor, yang kini menjadi mangsa kecaman selepas kontroversi murid bukan Islam diarahkan pihak pengurusan sekolah itu makan dalam bilik persalinan yang didakwa kononnya tandas sepanjang Ramadan.

Laman peminat dengan nama Kami Sokong Mohamad Nasir Mohd Nor Guru Besar SK Seri Pristana itu diwujudkan Rabu lalu dan setakat jam 9.30 malam tadi, laman itu sudah mengumpul seramai 1,570 peminat yang mempertahankan tindakan guru besar berusia 57 tahun itu, di samping mengecam mereka yang mengemukakan pandangan negatif mengenai insiden berkenaan.
Turut dimuat naik adalah beberapa gambar lokasi bilik persalinan yang dijadikan tempat makan sementara selepas kantin sekolah berkenaan dinaik taraf untuk dibesarkan bagi menampung bilangan murid yang ramai.

 

Keratan akhbar dan pautan blog mengenai kontroversi yang melanda guru besar berkenaan turut dimuatkan.
Seorang ibu pelajar sekolah berkenaan memberikan komen bahawa dia tiada masalah dengan guru dan pengurusan sekolah yang membuat keputusan mengubah suai bilik persalinan itu kepada tempat makan dan sudah dimaklumkan kesulitan itu sejak sebelum puasa lagi.
“Orang luar yang tidak tahu hujung pangkal berkongsi perkara yang belum sahih lagi.. tolonglah jangan jadikan Facebook ini sebagai medium mahkamah (menjatuhkan hukuman sebelum disabitkan).

 

“SK Seri Pristana ini sangat kecil, ada empat kelas untuk setiap darjah. Tahun ini bilangan kelas bertambah dan murid terpaksa mengharungi kelas terapung. Jadi, hentikan semua tohmahan.. bukan anak anda yang belajar di sekolah itu pun,” katanya.
Katanya, kantin sedia ada pula hanya mampu menampung kira-kira 350 murid dan di Saujana Utama ada tujuh taman perumahan yang berkongsi dua sekolah selain SK Saujana Utama. Beberapa warga siber turut menggesa pihak polis dan pihak berkuasa lain yang berkaitan supaya mengambil tindakan segera terhadap individu pertama yang dilaporkan berkongsi gambar bilik persalinan itu dalam kalangan media sosial seterusnya mengundang perhatian media.