Peperiksaan tunggal untuk ke universiti? – Bernama


Peperiksaan tunggal untuk ke universiti?
26 Julai 2013
  • Peperiksaan tunggal untuk ke universiti?
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Adakah masanya sudah tiba bagi Kementerian Pendidikan menimbang dengan serius untuk mengadakan peperiksaan tunggal bagi kemasukan ke universiti sebagai penyelesaian jangka panjang kepada masalah pelajar terbaik yang tidak memperoleh tempat di universiti tempatan?

Pengerusi Biro Pendidikan Gerakan Lau Chin Hoon sememangnya berpendapat begitu atas dasar dwi-sistem bagi kemasukan ke universiti sekarang, iaitu STPM dan matrikulasi, menjadi punca ketidakpuasan hati sesetengah mereka meskipun terdapat lebih banyak pengambilan berdasarkan merit.

“Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0 dalam matrikulasi dan CGPA 4.0 dalam STPM bukanlah setara. Dari segi prosedur parameter kedua-duanya adalah peperiksaan yang sama sekali berbeza. Sebab itulah, kita perlu menyeragamkannya menjadi peperiksaan tunggal untuk ke universiti,” jelas beliau.

Ini berikutan hakikat bahawa STPM digabungkan dengan Cambridge Local Examinations Syndicate manakala matrikulasi pula berasaskan kombinasi kerja kursus, peperiksaan dan penilaian pensyarah.

Beliau berkata tanpa peperiksaan kemasukan yang seragam, masyarakat akan sentiasa beranggapan terdapat kurang ketelusan dalam proses pemilihan memandangkan tiada peratusan kemasukan yang boleh diperoleh segera daripada setiap sistem.

“Jika ada peperiksaan kemasukan seragam, masyarakat boleh menerima hakikat apabila permohonan mereka ditolak. Tidak dinafikan bahawa tempat tertentu perlu dikhaskan kepada mereka yang kurang berkemampuan namun peperiksaan seperti ini akan memastikan ketelusan yang lebih hebat,” kata Lau.

Peperiksaan tunggal untuk ke universiti adalah perkara lazim di dunia. Di Amerika Syarikat, ia dikenali sebagai ‘Standard Assessment Test’ (SAT), di China, ‘The National Higher Education Entrance Examination’ atau ‘Gaokao’ manakala Korea Selatan pula mempunyai ‘College Scholastic Ability Test’ atau dikenali sebagai ‘Suneung’.

Beliau berkata sungguhpun usaha dilakukan untuk menambah baik format STPM tahun ini tetapi langkah itu masih tidak menyelesaikan isu pelajar terbaik tidak mendapat tempat di universiti awam.

Kali terakhir STPM dijalankan berdasarkan format lama adalah pada 2012, memandangkan tiga tahun lepas Kementerian Pendidikan memutuskan untuk merombak format peperiksaan iaitu daripada mengadakan satu peperiksaan akhir kepada format yang memasukkan penilaian berasaskan sekolah dan penilaian pada setiap akhir semester bertujuan menggalakkan lebih ramai pelajar mengambil STPM.

Sejumlah 51,673 pelajar menduduki peperiksaan itu tahun lepas dengan 442 orang daripadanya memperoleh 4.0 CGPA.

“Di Malaysia, seperti juga di kebanyakan negara Asia, kita cenderung belajar untuk lulus peperiksaan berbanding dengan menumpukan perhatian ke arah memburu cita-cita atau kerjaya,” katanya.

Pandangan beliau disokong Felo Penyelidikan Utama di Institut Kajian Etnik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Denison Jayasooria yang bersetuju bahawa Malaysia perlu memperkenalkan peperiksaan tunggal ke universiti sambil memastikan pelajar kurang berkemampuan juga diberi peluang untuk melanjutkan pelajaran ke universiti awam.

“Ia seharusnya sama ada matrikulasi atau STPM, bukan kedua-duanya. Satu cara lagi ialah mungkin membiayai mereka mengikuti kursus yang diinginkan sama ada di universiti awam atau swasta atau malah di luar negara, sama seperti sistem baucar di UK,” katanya.

Timbalan Naib Canselor Inti_UC Laureate International University, Prof Datuk Dr Ibrahim Ahmad Bajunid berpendapat kelihatan seperti wujud salah tanggapan, malah mungkin mitos bahawa setiap pelajar terbaik seharusnya memasuki universiti awam tempatan.

Beliau menarik perhatian bahawa pendemokrasian pendidikan tinggi pada 1990-an mewujudkan tambahan kira-kira 500,000 tempat bagi program ijazah sarjana muda.

Pada masa ini, kira-kira 900,000 pelajar mengikuti pengajian peringkat tinggi di 20 universiti awam, 33 universiti swasta dan kolej universiti, empat kampus cawangan universiti asing, 22 politeknik, 37 kolej komuniti dan kira-kira 500 kolej swasta.

“Kerajaan telahpun meminda peraturan untuk memberi layanan yang sama kepada universiti awam dan swasta.

“Sebenarnya, tiada isu berhubung pelajar cemerlang yang tidak mendapat tempat di universiti, sebaik saja mereka memasuki universiti swasta. Kita ada ruang yang mencukupi. Saya rasa ini bukanlah satu isu,” katanya.

Sambil menegaskan bahawa universiti terulung di United Kingdom sebenarnya adalah universiti swasta, beliau berkata satu-satunya isu adalah bantuan kewangan bagi pelajar cemerlang.

“Pelajar yang memperoleh keputusan yang baik sepatutnya diberi bantuan kewangan untuk meneruskan pelajar ke institusi pengajian tinggi,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s