Fahaman Syiah dalam buku teks? – Sinar Harian


Fahaman Syiah dalam buku teks?
WARTAWAN SINAR HARIAN
30 Julai 2013
  • Fathul Bari Fathul Bari Mat Jahaya
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Malaysia, Fathul Bari Mat Jahaya tidak menafikan terdapat unsur fahaman Syiah dalam kandungan buku teks pendidikan Islam.

Beliau berkata, simptom tersebut dapat dikenal pasti melalui cerita yang dipaparkan dalam buku teks.

“Antara yang jelas ialah kritikan terhadap Saidina Uthman yang dikatakan gagal memimpin dengan baik. Sedangkan perkataan terhadap sahabat Nabi tidak boleh kasar kerana Baginda melarang kita menghina para sahabat.

“Unsur-unsur ini dipaparkan menerusi cerita. Saya dapati ia masuk sedikit demi sedikit dengan cara tersebut,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Dalam pada itu, Fathul Bari turut mencadangkan agar modul pengajian pendidikan Islam di sekolah dan universiti dikemas kini.

“Banyak sejarah dan fakta yang perlu diperbetulkan semula. Malah, pengajian mengenai perbezaan kelompok yang menisbahkan diri mereka kepada Islam juga perlu dibuat dengan lebih mendalam lagi.

“Ini penting agar masyarakat dididik sejak sekolah rendah lagi perbezaan Syiah dan Sunni. Dengan penerangan jelas, barulah mereka tidak akan terpengaruh dengan Syiah,” katanya.

Giptis gesa kaji semula buku teks – Sinar Harian


Giptis gesa kaji semula buku teks
MOHAMAD FAKHRI MOHD ALI
30 Julai 2013
  • Prof Madya Dr Abd Aziz HanafiProf Madya Dr Abd Aziz Hanafi
< 1 / 1 >

JITRA – Gabungan Institusi Pondok, Tahfiz dan Ilmuwan Sunni (Giptis) menggesa supaya kerajaan mengkaji semula sejarah Islam yang terdapat dalam buku teks Pendidikan Islam rendah dan menengah yang didakwa mempunyai kecenderungan ke arah fahaman Syiah.

Pengerusinya, Prof Madya Dr Abd Aziz Hanafi berkata, perkara ini perlu diberi perhatian serius kerana ada silibus pengajian yang menggambarkan seolah-olah para sahabat nabi terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman.

“Pada saya, mata pelajaran Pendidikan Islam ini perlu disemak dan ditulis semula. Terutamanya berkaitan sejarah Islam semasa zaman Saidina Uthman dan para sahabat nabi.

“Saya khuatir perkara ini boleh merosakkan akidah pelajar. Sebabnya, sahabat nabi tidak seorang pun yang terlibat dalam pembunuhan Saidina Uthman. Malah, mereka murka terhadap pembunuhan yang dilakukan itu,” katanya pada sidang media di Hotel Darulaman, di sini semalam.

Tambahnya, pelajar di peringkat universiti juga tidak ketinggalan perlu diperjelaskan mengenai perihal Sunni dan Syiah.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat segelintir pemimpin sebuah parti politik terlibat dengan fahaman Syiah, beliau berkata, perkara itu terpulang kepada individu berkenaan untuk mengaku atau sebaliknya.

“Kita bercakap dalam bentuk umum dan tidak menunjukkan kepada sesiapa. Sebenarnya, ia perlu ditanya kepada diri masing-masing. Sepanjang pengalaman saya di Kuala Lumpur, nampaknya pemuda-pemuda Islam lebih mudah terpengaruh dengan fahaman Syiah.

“Jadi sudah tentu ada yang terlibat. Cuma kalau ada pun mereka cuba menyembunyikan diri. Kita harap mereka yang berkenaan itu bertaubatlah sebelum mati. Balik semula ke pangkal jalan,” katanya.

Lapan dituduh rogol, subahat – Sinar Harian


Lapan dituduh rogol, subahat
M FEISAL NORAWI & MOHD RIDZUAN ABU HASSAN
30 Julai 2013
  • Lapan dituduh rogol, subahatKetiga-tiga suspek berusia 17 tahun ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibicarakan secara tertutup di Mahkamah Majistret Maran, semalam.
< 1 / 1 >

TEMERLOH – Lapan lelaki termasuk empat remaja di bawah umur dituduh di Mahkamah Sesyen Temerloh dan Mahkamah Majistret Maran semalam atas tuduhan bersubahat dan merogol seorang remaja berusia 14 tahun.

Di Temerloh, lima lelaki termasuk seorang remaja berusia 17 tahun dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tuduhan bersubahat dan merogol secara bergilir-gilir gadis berusia 14 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tanah lapang laluan masuk ke dalam ladang getah Bukit Kebuk, Maran di antara jam 2.50 pagi hingga 3.15 pagi, 22 Julai lalu.

Bagaimanapun, kesemua yang didakwa iaitu Muhammad Hafizzi Zulkarnain, 20, Mohd Amirul Farhan Mohamad Shahaimi, 19, Mohd Iqra Isman Kamsoha, 18, dan Muhammad Waliyuddin Ahmad Basri, 20 mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan.

Muhammad Hafizzi dan Mohd Amirul Farhan yang didakwa merogol remaja itu didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara hingga 20 tahun dan sebatan.

Sementara itu, Mohd Iqra Isman dan Muhammad Waliyuddin pula dituduh bersubahat merogol mangsa bersama Muhammad Hafizzi dan Mohd Amirul Farhan dan empat lagi rakan.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 376(1) kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Hakim Habibah Mohamed Yusof mengarahkan kelima-lima tertuduh dikenakan ikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Elyna Othman dan peguam Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar mewakili Mohd Amirul Farhan manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Mohd Iqra Isman dan Muhammad Waliyuddin pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan rogol terhadap mangsa bersama Muhammad Hafizzi dan Mohd Amirul Farhan dan empat rakan juvana mereka pada hari dan tempat yang sama di antara jam 2.50 pagi hingga 3.10 pagi.

Sementara itu, Majistret  Mahkamah Majistret Maran, Muhammad Noor Firdaus Rosli mengarahkan tiga lagi tertuduh membayar ikat jamin sebanyak RM1,000 setiap seorang.

Tertuduh, Seorang pelajar tingkatan lima dan dua lagi sebayanya yang tidak bersekolah masing-masing didakwa di bawah Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan.

Tertuduh masing-masing didakwa atas kesalahan di lokasi sama namun pada masa berlainan kerana melakukannya secara bergilir-gilir.

Muhammad Noor menetapkan sebutan semula kes pada 28 Ogos depan untuk rundingan pra bicara.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadilla Md Ali.

Pada 23 Julai lalu, kesemua lapan suspek kes rogol seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Bukit Kebuk berjaya ditahan pihak polis dan ditahan reman sehingga 26 Julai untuk membantu siasatan.

Tiga daripada suspek berkenaan ditahan di tempat kejadian kira-kira jam 3 pagi itu sementara lima rakan suspek lain pada keesokan harinya.

Murid mula terjebak jenayah – Sinar Harian


Murid mula terjebak jenayah
SHAIFUL AZHAR AHMAD ALI
30 Julai 2013
  • Murid mula terjebak jenayahAhli PPKM melihat makanan ringan yang bertaburan.
< 1 / 1 >

KULIM – Permasalahan gejala sosial dalam kalangan pelajar sangat membimbangkan kerana ada yang sudah mula melakukan jenayah kecilan seperti memecah kereta tolak yang menjual makanan ringan.

Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM) Khor Eng Khim berkata, sehingga kini lebih lima suspek bawah umur ditahan kerana terlibat jenayah.

Menurutnya, pihaknya akan memberikan bantuan kepada orang ramai terutama polis untuk memerangi masalah jenayah di daerah ini.

“Dalam kejadian malam kelmarin, PPKM menerima maklumat terdapat beberapa remaja bawah umur berkeliaran di sekitar pekan Kulim dengan menaiki motosikal.

“Kami kemudiannya membuat pemantauan dan menemui mereka di sekitar kilang sagu bagaimanapun, mereka berjaya melarikan diri ke dalam semak berhampiran,” katanya.

Eng Khim berkata, kebanyakan suspek terlibat adalah murid sekolah dan mereka memecah beberapa kereta tolak yang menjual mainan dan keropok kerana makanan dan mainan itu ditemui berselerak di atas jalan.

Beliau turut meminta ibu bapa supaya memantau kegiatan anak mereka dan jangan biarkan mereka menghampiri sebarang aktiviti jenayah.

Katanya, perbuatan memecahkan kereta tolak adalah permulaan kepada perlakuan jenayah yang lebih hebat apabila mereka dewasa kelak.

“Kanak-kanak normal tidak akan berkelakuan seperti ini malah, mereka takut pada undang-undang. Jangan biarkan anak kita berkeliaran tidak menentu dan bergaul dengan mana-mana kumpulan bermasalah.

“Ini akan mempengaruhi anak kita dan tidak mustahil mereka akan menjadi penjenayah suatu hari nanti,” katanya.

‘Cikgu, jangan marah saya’ – Sinar Harian


‘Cikgu, jangan marah saya’
NORHASPIDA YATIM
30 Julai 2013
  • 'Cikgu, jangan marah saya'Siti Nooraini
< 1 / 2 >

KUALA TERENGGANU – “Cikgu, jangan marah saya, nama saya Noraini..kaki saya macam ni..” kata Siti Nooraini Abdullah, 5, sambil menunjukkan kedua-dua belah kakinya yang cacat itu apabila dimarahi gurunya jika tidak menyiapkan kerja sekolah.

Menurut gurunya, Haidatul Azila Johar, Siti Nooraini, tidak pernah kering gusi bercerita apabila diajukan soalan, dia antara kanak-kanak yang ceria di dalam kelas dan amat cerdas, walaupun dirinya dilahirkan serba kekurangan.

Kaki kirinya mengerekot, sebelah lagi mereput dan kudung sejak lahir manakala, lima jari tangan kanannya turut kudung sejak kecil.

“Walaupun tidak boleh berjalan, dia tak susahkanguru apabila hendak ke tandas, dia pandai urus diri sendiri, termasuk apabila buang air.

“Alhamdulillah, Nooraini budak pintar dan kita harap dia akan terus membesar dengan baik sehingga mencecah alam remaja dan dewasa nanti,” katanya ketika ditemui di Mydin Mall pada program membawa anak-anak yatim
dan kurang berkemampuan membeli persiapan Hari raya Aidilfitri.

Program itu dianjurkan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.

Nooraini juga tidak putus-putus menceritakan mengenai baju rayanya itu dan memilih warna hitam sebagai warna yang diminatinya.

Dia kelihatan cukup teruja apabila dibawa bersama 38 kanak-kanak lain dari Pra Sekolah Pendidikan Khas, Pendidikan Khas dan Sekolah Kebangsaan Sultan Omar membeli belah di Mydin Mall.

“Memandangkan keluarganya juga kurang berkemampuan, kadang-kadang apabila balik sekolah, saya sengaja bawa dia balik ke rumah memandangkan saya juga ada anak sebaya Siti Nooraini, tetapi hari Khamis dan Jumaat
saya biarkan dia pulang ke rumah neneknya,” katanya.

Ditanya mengenai keadaannya yang tidak seperti kanak-kanak lain dan terdapat kanak-kanak nakal sebayanya yang mengganggu dan mengejek dirinya, Nooraini yang kelihatan masih belum mengerti mengenai apa yang
dialaminya itu hanya mengangguk dan mengiakan sahaja.

“Fadhil, Haikal, Muiz..semua kawan baik Nooraini. Ada juga yang ejek, tetapi ramai kawan layan Nooraini dengan baik.

“Nooraini tinggal dengan tok dan Ummi, Ummi baik..,” katanya.

Derita ciptaan sendiri – Metro


Derita ciptaan sendiri

 2  1 Google +1  0  0

Oleh Siti Fatimah Hassan

Kota Bharu: Akibat kreatif tidak bertempat, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun terpaksa menanggung azab apabila serpihan besi pelita panjut tertanam di dalam perutnya, selain terpaksa menerima lebih 15 jahitan di tangan kiri selepas usaha meletupkan mercun buatan sendiri menggunakan belerang mercun bola yang diisi ke dalam pelita panjut tidak menjadi, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 3 petang di Kampung Banggol Keterah, Tanah Merah itu, mangsa, Muhammad Arish Irfan Che Omar baru selesai menunaikan solat Jumaat bersama bapanya, Che Omar Che Mat, 42.
Menurut Che Omar, ketika dia tidur, Muhammad Arish Irfan bersama adiknya, Muhammad Azim berusia 11 tahun secara senyap-senyap bermain mercun di kawasan yang terletak lima meter dari rumahnya.

 

Katanya, anaknya itu menghasilkan mercun buatan sendiri dengan memasukkan belerang mercun bola ke dalam pelita panjut, namun ketika menyalakan sumbu berlaku letupan dan serpihan pelita terkena tangan kiri dan perutnya. “Saya terjaga daripada tidur selepas terdengar bunyi letupan kuat sebelum Muhammad Arish pulang ke rumah dalam keadaan tangan berlumuran darah.
“Saya menghantarnya ke Hospital Tanah Merah sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), semalam (kelmarin),” katanya ketika ditemui di HRPZ II, semalam.
Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam HRPZ II Zaid Ahmad berkata, mangsa dijangka menjalani pembedahan bagi mengeluarkan beberapa serpihan besi pelita di dalam perutnya.

 

“Setakat ini, Muhammad Arish adalah mangsa ketiga mercun yang dirujuk ke hospital ini. Dia dijangka menjalani pembedahan bagi mengeluarkan serpihan pelita yang meletup itu, malam ini (malam tadi),” katanya. Sehingga kini, Kelantan mencatat tiga mangsa mercun buatan sendiri dengan Ahmad Fuad Jaafar, 27, dari Kampung Salor, dekat sini, yang cedera di tangan kiri pada 13 Julai lalu menjadi mangsa pertama mercun.
Pada 24 Julai lalu pula, Muhammad Nor Hakim Mohd Nawi, 11, cedera di mata kanan dan menerima beberapa jahitan pada kiri mulut selepas cubaannya menghasilkan percikan bunga api dengan mencipta formula menggabungkan belerang, pasir dan mercun bola di dalam botol plastik meletup sebaik dinyalakan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

Meletup di tangan – Metro


Meletup di tangan

 2  1 Google +0  0  0

Kuala Terengganu: “Api begitu pantas membakar sumbu sehingga mercun bola itu tidak sempat dilempar,” kata Muhammad Danial Haikal Roslan, 8, yang terlantar di hospital sejak Khamis lalu apabila tapak tangan kanannya terbelah dua sentimeter selepas terkena letupan mercun bola di Kampung Saujana, Setiu.

Pelajar tahun dua Sekolah Kebangsaan Saujana itu berkata, dalam kejadian jam 4 petang dia bersembunyi di dapur untuk meletupkan dua mercun bola yang diperoleh daripada rakan sekolahnya.
Menurutnya, dia berhasrat menyalakan mercun bola itu sebelum melempar ke arah luar dapur rumahnya kerana berfikir lebih selamat.

 

Malang, katanya, hasrat itu tidak kesampaian apabila mercun bola yang dibakar itu meletup sebelum sempat melempar ke luar dapur menyebabkan tapak tangan kanan terbelah dua sentimeter selain melecur teruk pada jari manis.
“Saya meraung sekuat hati kerana tangan terasa amat sakit akibat letupan itu dan jeritan saya didengari nenek di ruang tamu sebelum bergegas turun ke dapur untuk melihat keadaan saya.
“Nenek membalut tangan dengan kain sebelum menghubungi bapa saya, Roslan Salleh, 34, untuk memaklumkan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, semalam.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/30

TPM bimbang trend hubungan antara kaum – Bernama


TPM bimbang trend hubungan antara kaum
29 Julai 2013
  • Muhyiddin YassinMuhyiddin Yassin.
< 1 / 1 >

IPOH – Trend mutakhir dalam masyarakat hari ini semakin membimbangkan terutama dalam konteks hubungan antara kaum sehingga menimbulkan isu polarisasi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata masyarakat hari ini dilihat mudah sensitif sehingga usaha baik yang dirancang oleh kerajaan dianggap negatif dan dijadikan isu yang menyentuh perkauman seperti apa yang berlaku terhadap Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2013-2025 (PIPP).

“Saya dimaklumkan perhimpunan konvensyen yang dibuat oleh Dong Zhong semalam membuat resolusi untuk menghalang apa yang kita buat dalam PIPP, yang dibentuk untuk memajukan sektor pendidikan.

“Ia (PIPP) dirancang dengan niat yang baik, bagaimanapun ia dilihat berbaur perkauman…13 tahun (pelaksanaan PIPP) dilihat sebagai usaha menghapuskan bahasa ibunda mereka,” katanya ketika berucap pada majlis berbuka puasa di kediaman rasmi Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir di sini, malam ini.

Beliau berkata Dong Zhong melihat niat baik kerajaan itu sebagai perkara perkauman walaupun kerajaan mengambil masa hampir dua tahun untuk mengumpul input PIPP, supaya sejajar dengan Akta Pendidikan serta Falsafah Pendidkan Negara.

Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata trend itu tidak membantu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan semua kaum.

Dalam pada itu, beliau meminta umat Islam mementingkan perpaduan, hubungan mesra serta persefahaman berikutan sentiasa berdepan cabaran hebat.

“Dalam suasana begini, masyarakat Islam perlu kukuhkan jemaah…kerana adanya anggapan bahawa masyarakat Islam tidak kukuh berikutan pelbagai puak Melayu, ramai yang lantang sehingga berani mempersoalkan hak-hak dalam Perlembagaan, agama dan raja,” katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyampaikan sumbangan berupa kurma, air zam-zam, kain pelikat dan jubah kepada pengerusi dan anggota jawatankuasa masjid daerah dari seluruh negeri.

Selepas berbuka puasa, beliau dan Zambry, Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, exco kerajaan negeri serta umat Islam menunaikan solat Maghrib, Isyak serta tarawih berjemaah yang diimamkan guru Al-Quran Masjidil Haram, Makkah, Sheikh Osama Mohammad Iqbal. – Bernama