Baru pindah nak tunjuk pandai
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib
Sungai Buloh: Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas penjaga murid di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pristana yang mencetuskan isu makan di tandas di bawah Akta Hasutan 1948.
Beliau turut mengecam tindakan ibu bapa yang mengeluarkan kenyataan tidak tepat tanpa melakukan soal selidik serta tidak mendapat penjelasan pihak sekolah terlebih dulu dan menyebarkannya di media sosial.
“Kalau ibu bapa ada masalah, boleh rujuk kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), bukan besarkan isu seperti ini hingga menjejaskan banyak pihak.
“Ibu bapa terbabit baru pindah ke sekolah ini seminggu lalu, tapi mahu tunjuk pandai. Kalau mereka cerdik, datang sekolah dulu minta penjelasan pihak sekolah bukannya bertindak melulu,” katanya dalam sidang media di kantin SK Seri Pristana di sini, semalam.
Turut hadir Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Irmohiam Ibrahim; Ahli Dewan Undangan Negeri Jeram, Datuk Amiruddin Setro; Pengarah Pelajaran Negeri Selangor, Mahmud Karim dan Guru Besar SK Seri Pristana, Mohamad Nasir Mohd Noor.
Gesaan itu dibuat Noh ekoran tindakan Mohamad Nasir yang membuat laporan polis terhadap penjaga yang memuat naik gambar dalam laman facebook kerana cuba mencetuskan ketegangan dan berbaur hasutan.
“Saya minta polis siasat laporan yang dibuat oleh guru besar sekiranya tindakan boleh diambil di bawah Akta Hasutan,” katanya.
Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang berkata, beliau sendiri akan menghantar surat kepada Balai Polis Seri Saujana, tempat guru besar membuat laporan polis supaya siasatan dilakukan dengan segera ke atas penjaga terbabit.
“Saya akan hantar surat kepada polis untuk menyiasat perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut meminta Jabatan Pendidikan Negeri dan Kementerian Pendidikan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap Mohamad Nasir kerana guru besar sekolah itu sudah menjalankan tugas dengan baik.
Beliau turut mendesak ibu bapa terbabit meminta maaf kepada pihak sekolah dan guru besar kerana membuat tuduhan palsu hingga menimbulkan kekecohan di seluruh negara. SK Seri Pristana memiliki seramai 1,373 pelajar dengan pelajar bukan Islam seramai 32 orang.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/31