KUALA LUMPUR – Tindakan ibu bapa melarang anak terutamanya golongan remaja daripada menggunakan media sosial boleh menyebabkan mereka memberontak kerana beranggapan hak peribadi mereka tidak dihormati.
Ini kerana golongan remaja sangat menitikberatkan ‘ruang peribadi’ dan kurang senang jika ia diceroboh individu lain, kata pakar psikologi Prof Madya Dr Mariani Mohd Nor.
Kata pensyarah dari Jabatan Psikologi, Perkembangan Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya itu walaupun ibu bapa bimbang dengan pelbagai kemungkinan daripada pergaulan dalam laman sosial, perbuatan mencampuri urusan peribadi anak boleh memburukkan keadaan.
“Ibu bapa tidak boleh bertindak drastik seperti menghalang anak melayari Internet atau memeriksa telefon bimbit kerana ia akan menyebabkan anak merasa mereka tidak dipercayai oleh ibu bapanya.
“Anak yang dihalang secara drastik mempunyai kecenderungan untuk memberontak dan akan sentiasa mencari jalan seperti melayari Internet di kafe siber, jika tidak dibenarkan berbuat begitu di rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Mariani berpendapat ibu bapa seharusnya bersifat terbuka dan menjadi ‘kawan’ kepada anak supaya mereka tidak menjadi perahsia kerana bimbang dimarahi ibu bapa.
“Apa yang penting adalah untuk ibu bapa memerhatikan jika berlaku perubahan sikap dalam diri anak kerana remaja, terutamanya perempuan mudah dipengaruhi oleh perubahan yang berlaku dalam fasa kehidupan mereka,” katanya.
Ditanya mengapa remaja perempuan mudah terpengaruh dengan pujukan lelaki di laman sosial, beliau berkata kebanyakan mereka beranggapan telah menemui ‘kasih sayang’ yang tidak diperoleh di rumah.
“Perasaan itu menyebabkan gadis berasa ‘istimewa’ apatah lagi jika lelaki yang ditemuinya pandai bermain kata-kata, selain menjanjikan habuan atau ‘kehidupan sempurna’ yang hakikatnya tidak mudah dizahirkan.
“Hubungan di laman sosial dan ruang sembang juga tidak berlaku secara bersemuka menyebabkan mereka tidak dapat melihat lenggok bahasa tubuh atau mimik muka yang boleh membantu menentukan kejujuran seseorang,” katanya.
Sementara itu, penceramah bebas Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz berkata didikan agama perlu diterapkan secara berterusan dalam diri remaja kerana ia adalah tembok kepada semua gejala negatif.
Bekas imam besar Masjid Negara itu berkata remaja perempuan seharusnya mempunyai sifat malu dan tidak sewenang-wenangnya mempercayai individu di laman sosial, apatah lagi yang berlainan jantina.
“Remaja perlu bijak menilai. Jika orang itu benar-benar sayang terhadapnya, dia tidak akan mencadangkan supaya mereka lari dari keluarga.
“Lebih baik mereka disatukan secara baik kerana perbuatan lari mengikut kekasih ini akan menjatuhkan nama baik perempuan itu dan keluarganya,” katanya.
Beliau menambah ibu bapa perlu mengambil tahu sejauh mana penglibatan anak mereka di laman sosial kerana tidak adil untuk memisahkan remaja daripada medium laman sosial kerana perkara itu adalah sebahagian daripada kemajuan teknologi. – Bernama