Ponteng sekolah teman ibu – Sinar Harian


Ponteng sekolah teman ibu
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Ogos 2013
 
  • Ponteng sekolah teman ibuSaupi menyampaikan sumbangan hari raya kepada Rohana yang terlantar sejak beberapa bulan lalu.
< 1 / 1 >

BACHOK – Penderitaan dialami seorang pesakit kanser hati turut dirasai sembilan anaknya yang bergantung hidup kepadanya sebelum ini.

Apabila Rohana Ishak, 41, terlantar di hospital dan rumah sejak beberapa minggu lalu, lima anaknya yang masih bersekolah menerima tempias dan tidak ke sekolah untuk menemani ibu mereka.

Rohana seorang ibu tunggal sejak dua tahun lalu, mempunyai sembilan anak berusia di antara empat hingga 21 tahun dan lima daripadanya masih bersekolah.

Pihak Sekolah Kebangsaan (SK) Beris Panchor yang prihatin mengenai ketidakhadiran murid sebelum ini, membuat siasatan dan mendapati ibu kepada Alif Mustakimi, 12; Roshamimi, 9; dan Siti Rosyamiza Ilyane, 7, terlantar sakit.

Pihak sekolah dan guru besarnya, Abdull Aziz Nor serta Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid kemudian menziarahi keluarga tersebut untuk menyampaikan sumbangan.

Rohana mewakili keluarganya mengucapkan terima kasih di atas kunjungan dan sumbangan pihak sekolah yang prihatin terhadap nasib keluarganya.

“Dalam keadaan macam ini, tak banyak yang kami boleh buat. Makan pun kadang-kadang tak ada beras. Bukan semua kita ceritakan pada orang, kami tanggung sendiri saja.

“Terima kasih kepada pihak SK Beris Panchor yang sudi datang lawat kami dan berikan sumbangan. Ini sumbangan pertama kami dapat, sebelum ini kami memang tak pernah dapat perhatian mana-mana pihak,” katanya.

6 Ogos lalu, Sinar Harian menyiarkan penderitaan keluarga ini yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat RM450 sebulan, namun jumlah itu tidak mencukupi untuk keluarga mereka.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga ini boleh berbuat demikian melalui akaun Agrobank, Rohana Ishak 2-00-6631-00025 606-2 atau menghubunginya di nombor 014-8216357.

Perlu awasi aktiviti, pergerakan anak – Sinar Harian


Perlu awasi aktiviti, pergerakan anak
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Ogos 2013
  • Perlu awasi aktiviti, pergerakan anakNajmiah
< 1 / 1 >

KUALA TERENGGANU – Ibu bapa dinasihatkan sentiasa memantau dan mengawasi pergerakan anak masing-masing supaya mereka tidak terjebak dalam aktiviti tidak sihat, sekali gus membahayakan keselamatan.

Najmiah Mohamad, 40, berkata, langkah itu tidak boleh dianggap remeh kerana walaupun berada dalam pemantauan, terdapat juga anak-anak yang terjebak bermain mercun sehingga mendatangkan mudarat kepada diri mereka.

“Kalau diikutkan memanglah sambutan Hari Raya Aidilfitri atau mana-mana perayaan dilihat tidak meriah tanpa mercun atau bunga api, apa yang saya sarankan ialah tidak salah bermain mercun tetapi mestilah mercun dan bunga api yang selamat dan tidak diubahsuai.

“Jika kerajaan telah menggariskan beberapa mercun yang tidak boleh dibeli, mahu tidak mahu kita kena patuhi juga undang-undang demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.

Najmiah berkata, dia pernah berdepan dengan kejadian letupan mercun dan walaupun tidak berlaku kematian, ia cukup menggerunkan terutama bagi ibu bapa kanak-kanak tersebut.

“Baru-baru ini saya pernah melihat sendiri kejadian letupan mercun, difahamkan ia mercun yang diubahsuai, jadi dalam hal ini, ibu bapa mainkan peranan penting.

“Ibu bapa tidak boleh berdiam diri dan menaruh kepercayaan penuh kepada anak-anak. Walaupun usia mereka makin meningkat, ibu bapa perlu sentiasa memantau supaya mereka tidak terlibat dengan kejadian tidak diingini,” katanya.

Tambahnya lagi, mencegah lebih baik daripada mengubati, penyesalan tidak lagi berguna apabila musibah telah berlaku.

“Sebab itulah salah satu peranan perlu dimainkan oleh ibu bapa untuk mencegah perkara ini ialah sentiasa mengawasi dan memantau anak. Mereka perlu ambil tahu dengan siapa anak berkawan dan kegiatan apa yang dilakukan bersama rakan-rakan.

“Jadikan anak sebagai kawan. Macam tu juga dengan anak-anak akak kerana akak juga sentiasa nasihat dan pantau kegiatan mereka, bukan apa, untuk kebaikan mereka juga,” katanya.

Murid teruja beraya dirempuh – Sinar Harian


Murid teruja beraya dirempuh
WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Ogos 2013
  • Murid teruja beraya dirempuhKeadaan kenderaan yang merempuh mangsa.
< 1 / 1 >

BALING – “Dia tak tunjuk sebarang perubahan, tapi dia terlalu gembira kerana mendapat banyak duit raya. Disebabkan itu, dia bersemangat untuk keluar beraya di rumah jiran bersama rakan-rakannya,” kata Maznah Hassan, 42, ibu kepada Nur Nabihah Zainal, 10, yang maut dalam kejadian kemalangan di Jalan Baru Baling-Grik, kira-kira jam 10.40 pagi kelmarin.

Maznah berkata, sebelum itu Nur Nabihah bangun awal pagi dilihat teruja hendak beraya di rumah jiran dan keluarga bersama rakannya di kampung berdekatan.

Anak keempat daripada tujuh beradik itu dirempuh oleh sebuah kereta ketika sedang melintas jalan berdekatan kampung di Kampung Padang Dan, Kupang.

Rempuhan itu mengakibatkan mangsa terpelanting di cermin hadapan kereta terbabit sebelum terjatuh di atas jalan.

Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan badan serta disahkan meninggal dunia pada jam kira-kira 12.35 tengah hari di Hospital Baling.

Maznah berkata, sebelum kejadian, mangsa begitu gembira kerana mendapat duit raya yang banyak dan sempat bersalaman sebelum keluar untuk beraya di rumah jiran dan keluarga.

Difahamkan, murid Sekolah Kebangsaan Tiak, Kupang itu merupakan murid yang pintar dan amat disenangi oleh rakan-rakan termasuk gurunya.

Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Baling, Inspektor Fauzeli Mohd Ali berkata, mangsa dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah Grik-Kulim.

Berdasarkan keterangan, pemandu terbabit tidak menyedari mangsa masih berada di belakang rakan-rakannya yang ketika itu sedang melintas jalan.

“Pemandu terbabit bersama keluarganya dalam perjalanan ke Kulim untuk berhari raya. Pemandu kereta bersama keluarga mereka tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Arwah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam di Kampung Padang Dan, Kupang, malam semalam.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1)(c) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana memandu dalam keadaan merbahaya sehingga menyebabkan kematian.

Jari hancur kena mercun bola – Kosmo


Jari hancur kena mercun bola

 

YUSNANI melihat tangan Muhammad Faris yang cedera selepas terkena mercun bola di Tumpat pada Khamis lalu.

 

KOTA BHARU – Aidilfitri tahun ini terpaksa disambut dalam keadaan duka oleh seorang kanak-kanak apabila ibu jari kanannya hancur selepas terkena letupan mercun bola dalam kejadian di Taman Seri Periuk, Tumpat dekat sini Khamis lalu.

Kejadian pukul 12 tengah hari itu berlaku ketika Muhammad Faris Aizat, 9, bermain bahan letupan tersebut bersama rakan-rakannya.

Sebaik terkena mercun, dia yang lengkap berpakaian baju Melayu, samping dan songkok dikejarkan ke Hospital Tumpat sebelum dipindahkan ke Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0811&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm#ixzz2bdQwcD4z
Hakcipta terpelihara

Hampir 4,000 kanak-kanak didera tahun lalu: Rohani Karim – Bernama


Hampir 4,000 kanak-kanak didera tahun lalu: Rohani Karim

2013/08/11 – 11:17:12 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kes penderaan kanak-kanak di negara ini menunjukkan peningkatan dengan 3,831 dilapor menjadi mangsa tahun lepas, bertambah 403 orang berbanding tahun sebelumnya.Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim berkata, statistik itu adalah berdasarkan laporan yang diterima oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Bagi tempoh Januari hingga Mac tahun ini pula, sebanyak 1,023 orang mangsa dilaporkan dan 669 daripada mereka adalah perempuan,” katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.

Menurut Rohani antara kes yang sering diterima pihaknya membabitkan penderaan fizikal, emosi, seksual termasuk kes kanak-kanak dibuang.

Bagi menangani masalah ini, kementerian melaksanakan pelbagai langkah jangka pendek dan panjang, katanya.

“Antara langkah jangka pendek ialah menempatkan kanak-kanak yang didera di rumah perlindungan kanak-kanak atau di bawah jagaan seseorang yang layak dan sesuai selama tempoh dinyatakan oleh mahkamah dengan pengawasan seorang pelindung, iaitu pegawai kebajikan masyarakat,” katanya.

Untuk langkah jangka panjang pula, JKM menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pelajaran selain menggalakkan penyertaan komuniti dalam usaha menangani dan mencegah masalah ini
Mengenai faktor penderaan kanak-kanak, beliau berkata, terdapat banyak faktor namun semuanya bermula daripada ibu bapa sendiri yang antaranya mungkin mengalami tekanan seperti tekanan di tempat kerja, masalah kewangan serta sebagainya dan mereka melepaskan tekanan kepada anak-anak.

Justeru, ibu bapa yang mempunyai masalah disaran berjumpa dengan pakar motivasi atau JKM sendiri untuk diberi bimbingan dan kaunseling, katanya.

Individu yang didapati melakukan penderaan boleh didakwa mengikut Seksyen 31 Akta Kanak-kanak (AKK) iaitu kesalahan penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak yang membawa hukuman denda tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak lebih 10 tahun atau kedua-duanya. – BERNAMA