Kanak-kanak mati lemas dalam kolam terbiar – Bernama


Kanak-kanak mati lemas dalam kolam terbiar
15 Ogos 2013

SUNGAI PETANI – Kegembiraan untuk mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri bertukar tragedi apabila seorang kanak-kanak perempuan maut setelah tergelincir ke dalam kolam terbiar di Kampung Baru Thye Eng, Bedong dekat sini, semalam.

Nur Atika Mahadzir, 12, dikatakan tergelincir ketika cuba mengambil seliparnya yang terjatuh ke dalam kolam itu kira-kira pukul 5 petang.

Rakannya, Nur Najwa Mohd Ahair, 14, berkata dia bersama Nur Atika dan tiga lagi rakan lain iaitu Ainur Atikah Mohd Yazid, 12, Nadia Jamil, 14, dan Saidatul Najwa Shukri, 12, ke kolam berkenaan untuk mengajak sepupunya yang sedang memukat ikan di situ mengunjungi rumah terbuka Aidilfitri di kawasan berhampiran.

“Kami menaiki dua buah motosikal ke lombong itu. Masa nak balik, Atika tergelincir dan seliparnya jatuh ke dalam lombong, dia cuba ambil dengan berpaut pada kami tetapi kejadian yang tidak diduga berlaku.

“Dalam keadaan kelam kabut, hampir 11 remaja lelaki dan perempuan yang ada di situ, termasuk kami berempat, terjun ke dalam kolam untuk menyelamatkan Atika namun gagal,” katanya ketika ditemui di rumah mangsa hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk di kawasan itu Mohd Sofi Md Zain, 36, berkata beliau tiba di tempat kejadian pada pukul 5.45 petang selepas dimaklumkan bahawa ada kanak-kanak lemas di kolam itu.

“Pada mulanya, saya sangka anak saya, tetapi bila tiba di sana, saya lihat anak saya ada di tepi kolam. Saya terjun ke dalam kolam dan kali kedua menyelam baru saya temui kakinya dan terus menariknya ke atas,” katanya.

Mayat Nur Atika dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk bedah siasat dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bedong kira-kira pukul 10 pagi ini.

Difahamkan, anak sulung kepada pasangan Siti Rahmah Husin, 46, dan Mahadzir Sinin, 42, itu merupakan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Aman, Bedong, dan bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) bulan depan.

Rakan sekolahnya, Ainur Atikah berkata Nur Atika yang mempunyai seorang adik, Shahbani, 6, merupakan pelajar cemerlang di sekolah dan memperoleh keputusan 4A 1B dalam peperiksaan percubaan UPSR.

“Dia dikategori sebagai 12 pelajar terbaik dan pada ujian percubaan sebelum ini, dia menduduki tempat keempat terbaik,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s