Menangani fasa kritikal remaja – Metro


Menangani fasa kritikal remaja

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Hilmi Isa

Perubahan fizikal remaja turut memberi kesan terhadap emosi, antaranya mereka akan berasa agresif, gelisah, suka mengelamun dan keliru. Perubahan fizikal membabitkan hormon yang banyak dan besar. Kesuburan remaja paling jelas dapat dilihat melalui perkembangan alat jantina. Perkembangan berkenaan berlaku antara usia lapan hingga 14 tahun bagi perempuan dan 10 hingga 16 tahun bagi lelaki.

Sesetengah perubahan fizikal mungkin menggembirakan remaja seperti tubuh yang tegap, malah berbulu di dada bagi lelaki. Tubuh yang tinggi lampai pula menjadi idaman si gadis. Remaja akan berasa harga dirinya tinggi jika mereka memiliki tubuh yang ideal pada kaca mata mereka. Perubahan itu juga mula didorong oleh kehendak seksual yang belum pernah mereka rasai pada peringkat kehidupan sebelumnya. Naluri itu membuatkan mereka tertarik dengan rakan berlainan jantina. Namun, perkembangan kelenjar seks adalah berbeza mengikut jantina dan persekitaran. Sekiranya tidak dibimbing dengan baik, naluri fitrah tersebut boleh terpesong. Remaja hari ini sudah tidak malu lagi untuk menghantar gambar seksi kepada pasangan mereka dan kemuncak aktiviti kotor mereka di telefon bimbit adalah bertukar-tukar gambar bogel mereka sendiri. Jijik! Saya sendiri terkejut sewaktu mula-mula diberitahu oleh rakan bahawa lelaki yang baru berkenalan dengannya sudah berani meminta gambar bogelnya. Inilah realiti masalah remaja masa kini. Telefon bimbit adalah di antara punca paling awal ke arah zina. Perkembangan kelenjar seks remaja perempuan adalah lebih awal berbanding remaja lelaki. Remaja perempuan yang berusia 13 hingga 14 tahun sudah muncul keinginan seksual iaitu ingin mendapat perhatian dan mendampingi lelaki. Sebaliknya remaja lelaki akan tertarik kepada perempuan pada usia 14 hingga 15 tahun. Kedua-dua lelaki dan perempuan akan sama-sama saling tertarik sewaktu berusia 16 tahun. Faktor persekitaran memainkan peranan yang signifikan dalam perkembangan kelenjar seks remaja. Remaja selalu terdedah kepada persekitaran terbuka membicarakan soal seks akan mengalami kematangan kelenjar seksual lebih awal. Apabila kita fokus kepada remaja perempuan, misalnya pada tahap awal iaitu sekitar usia 13 tahun lazimnya lebih agresif berbanding remaja lelaki. Pada usia ini remaja perempuan mula menunjukkan minat kepada lelaki yang dipujanya. Mereka mengambil berat penampilan diri seperti jerawat, warna kulit dan sebagainya. Mereka sanggup menghabiskan wang yang banyak semata-mata untuk menjaga penampilan diri. Di samping itu, remaja perempuan sanggup duduk berjam-jam lamanya di hadapan cermin hanya untuk berdandan. Ingatkah kita firman Allah dalam surah an-Nur yang bermaksud: “Janganlah mereka menampakkan perhiasan melainkan apa yang zahir daripadanya.” Menepati apa yang diperintahkan Allah, remaja perempuan perlu dibimbing untuk melalui salah satu fasa kritikal dalam hidup berteraskan syariat. Apabila bertudung perlulah menutup aurat. Namun, ramai remaja bertudung tetapi mendedahkan bahagian tubuh yang lain, sampai menarik perhatian lelaki. Mereka mungkin menutup kepala tetapi bentuk bahagian dada dan punggung jelas kelihatan kerana berpakaian ketat. Masyarakat yang mempunyai ilmu agama harus membetulkan persepsi sedemikian dengan menerangkan etika berpakaian dalam Islam. Jika ditanya mengenai tujuan mereka berpakaian sedemikian rupa, mereka akan menjawab bahawa pakaian seperti itu akan membuatkan mereka kelihatan cantik. Remaja perempuan suka mendapat perhatian.
Pada pertengahan usia 14 hingga 15 tahun barulah remaja lelaki menunjukkan minat terhadap rakan berlainan jantina. Tapi pada peringkat usia ini, remaja perempuan kurang teruja kerana mereka mengalami perasaan sedemikian pada peringkat awal remaja. Pada peringkat akhir remaja iaitu sekitar 16 tahun ke atas, remaja lelaki dan perempuan sama-sama suka berpasangan. Mereka sudah mula bercakap soal masa depan. Namun, kematangan mereka belum cukup untuk melihat beberapa langkah kehidupan, malah perancangan mereka lebih berbentuk fantasi dan ideal.

 

Anda sebagai ibu bapa sebenarnya akan lebih berhati-hati berdepan saat kritikal dalam hidup anak remaja anda, sekiranya mengetahui serta memahami fasa perkembangan fizikal dan seksual mereka.
Jangan sampai mereka terjebak dalam kancah sosial seperti pergaulan dan hubungan seksual bebas. Ingatlah sabda Nabi dalam hadis diriwayatkan Ibnu Majah, Al Baihaqi dan Al Bazzar, maksudnya: “Dan tidaklah zahir perbuatan zina secara terang-terangan dalam sesuatu kaum melainkan akan merebak dalam kaum itu wabak dan penyakit yang tidak pernah dikenali oleh datuk nenek moyang mereka sebelum itu.” Penulis ialah Perunding Psikologi Bahasa dan penulis buku Marah Tapi Sayang, boleh dihubungi melalui Facebook: Hilmi Isa (Psikologi Bahasa)

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/16

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s