Meninggal selepas berjaya naik Ferrari

Kuala Lumpur: Kanak-kanak berusia 11 tahun, Muhammad Sirajuddin Mohd Zaini, yang impiannya menaiki kereta Ferrari termakbul baru-baru ini, meninggal dunia, semalam, akibat sesak nafas selepas dimasukkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), kelmarin.
Muhammad Sirajuddin yang lebih dikenali sebagai Siraj, menderita penyakit barah tulang sejak setahun lalu.
Beliau adalah anak kepada pasangan Pengurus Kanan di syarikat Western Digital, Mohd Zaini Zakaria dan Pengurus Latihan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Norhayati Jantan.
Norhayati berkata, Siraj dimasukkan ke PPUM selepas mengadu sesak nafas, jam 7 pagi kelmarin dan meninggal dunia pada jam 4.45 pagi semalam.
Kaki terpaksa dipotong
“Siraj menderita barah tulang selepas terjatuh ketika bermain bola sepak di sekolah tahun lalu. Selepas kejadian itu, dia menanggung derita akibat penyakit itu sehingga menyebabkan kaki kirinya dipotong Mei lalu.
“Walaupun hilang sebelah kaki, Siraj tidak berputus asa dan meneruskan kehidupan seperti kanak-kanak lain,” katanya.
BERNAMA