Nurashikin (dua, kanan) bersama Nurul Samahah menyampaikan sumbangan kepada Nursyahira sambil ditemani Jamaliah di rumahnya di Taman Bukit Cermin, Mentakab.
TEMERLOH – Hasrat seorang remaja untuk menjadi guru berkubur selepas disahkan menghidap masalah paru-paru kronik hingga menyebabkan dia hanya mampu terlantar di rumah sejak lebih empat tahun lalu.
Malah lebih menyayat hati, remaja terbabit, Nursyahira Syure, 17, terpaksa bergantung pada tangki oksigen setiap hari untuk meneruskan hidup.
Ibunya, Jamaliah Ismail, 51, berkata, sebelum menerima tangki oksigen dipinjamkan kebajikan Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) beberapa tahun lalu, dia terpaksa membayar RM150 sehari untuk kos tangki oksigen.
“Nasib baik Hoshas meminjamkan tangki oksigen elektrik kepada kami yang lebih jimat berbanding tangki oksigen lama,” katanya ketika lawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Temerloh, Nurashikin Sulaiman dan AJK Puteri Bahagian, Nurul Samahah Saiduddin di rumahnya di Taman Bukit Cermin, Mentakab, di sini.
Anak ketiga pasangan Syure Abdullah, 51 dan Jamaliah Ismail, 51, itu terpaksa mengheret tangki oksigen tersebut ke mana-mana sahaja termasuk bilik air dan ruang tamu, malah kesulitan itu terpaksa ditanggung sepanjang hayatnya.
Menceritakan kesengsaraan ditanggung anak ketiganya itu, Jamaliah berkata, semuanya bermula kira-kira lima tahun lalu semasa Nursyahira sedang sibuk mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi UPSR.
Menurutnya, pada awalnya Nursyahira mengalami kudis teruk pada mulut, namun setelah puas berubat dan dimasukkan ke hospital, dia kembali pulih.
Bagaimanapun katanya, sebaik ingin memulakan pengajian di tingkatan satu, Nursyahira mula mengalami masalah kesihatan yang teruk.
“Dia hanya sempat bersekolah selama dua minggu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Cermin sebelum pengsan dan dihantar pulang gurunya. Selepas itu, keadaan kesihatan Nursyahira semakin teruk dan hanya mampu terlantar di rumah.
“Pendapatan suami hanya RM700 sebulan sebagai pekerja am kilang papan, namun saya sekeluarga menghabiskan RM600 sebulan untuk menampung kos perubatan Nursyahira. Macam mana susah, kami terpaksa tanggung. Tapi kami lega dapat bantuan bulanan RM300 daripada JKM,” katanya.
Jamaliah berkata, mereka yang ingin membantu boleh terus menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB 06120000551202.
Sementara itu, Nurashikin pula berharap orang ramai dapat membantu adik Nurasyahira melalui akaun bank terbabit atau terus ke rumahnya di Taman Bukit Cermin.