MASS2013 – SSAF 2013
20 August 2013
MASS2013 – SSAF 2013
Muat Turun |
---|
MASS2013 – SSAF 2013 |
Oleh Ainul Fatihah Mansor
Putrajaya: Masalah obesiti dalam kalangan pelajar di negara ini semakin meningkat dan membimbangkan, sekali gus menunjukkan kesedaran terhadap penjagaan kesihatan di kalangan mereka masih di tahap yang rendah.
Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan berkata, kajian yang dijalankan National Heatlh and Morbidity Surveys pada 2011 menunjukkan 2.6 juta golongan dewasa mengalami masalah obesiti manakala lebih 477,000 kanak-kanak berumur 18 tahun ke bawah mengalami masalah berat badan berlebihan.
Kamalanathan berkata, kerajaan sudah melaksanakan pelbagai program dan kempen bagi menurunkan statistik itu seperti Program Susu 1Malaysia (PS1M) dan memberi garis panduan kepada kantin sekolah supaya menyediakan menu berkhasiat sejak 2011.
“Paling penting kita tidak membenarkan sama sekali makanan kurang berkhasiat dijual di semua kantin sekolah. “Malah, makanan berkalori tinggi seperti nasi lemak hanya boleh dijual dua kali seminggu dan mengharamkan penjualan makanan segera seperti nuget dan sosej,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Seminar Antarabangsa Mengenai Makanan anjuran Universiti Taylor’s, di sini, semalam.
Hadir sama, Naib Canselor dan Presiden Universiti Taylor’s Prof Datuk Dr Hassan Said.
Seminar selama dua hari berakhir hari ini itu mengumpulkan penyelidik terkemuka dan wakil-wakil industri makanan dari China, India, Hong Kong dan Australia yang membentangkan mengenai ‘trend’, peluang dan perkembangan dalam makanan berasaskan kesihatan dan kebaikan.
Kamalanathan berkata, kementerian masih mampu mengawal penjualan makanan di dalam kawasan sekolah, namun pihaknya lebih masih menerima laporan dari sekolah dan ibu bapa mengenai penjualan makanan ringan di luar kawasan sekolah. “Kita hanya dapat memaklumkan kepada peniaga dan tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia berada di bawah tanggungjawab pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk mengambil tindakan terhadap mereka (peniaga) yang menjual makanan ringan di luar kawasan sekolah.
“Pada masa sama, ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk menyemai budaya memakan makanan berkhasiat di kalangan anak-anak,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/20