Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula – Sinar Harian


Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula
NIZAM ZAIN
21 Ogos 2013
  •  Ramlah Adam: Subjek sejarah perlu wujud semula
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – [Video] Subjek sejarah perlu diperkenalkan semula di sekolah bagi melahirkan perpaduan kaum yang dilihat semakin rapuh sejak akhir-akhir ini.
Malah dalam beberapa isu yang ditimbulkan beberapa pihak sebelum ini juga turut mengaitkannya dengan sensitiviti kaum negara ini.

Pakar Sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam berkata, sejak subjek itu digantikan dengan Kajian Tempatan, anak-anak muda seolah-olah melupakan sejarah negara hingga sanggup menggadaikan perpaduan nasional dengan memuat naik kenyataan di internet yang boleh menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

“Subjek Kajian Tempatan dengan Sejarah berbeza. Kajian Tempatan menggabungkan elemen-elemen ada hal ehwal semasa, sejarah, ilmu alam dan kemasyarakatan, namun gabungan itu hanya dipelajari secara umum.

“Sebab itu kita perlukan satu mekanisme atau saluran untuk melahirkan semangat berpadu itu di kalangan pelajar dari usia muda lagi supaya mereka merasakan sebahagian daripada rakyat Malaysia yang mempunyai inspirasi yang sama untuk menyayangi negaranya,”

“Kita perlu ajar sejarah di sekolah khususnya untuk mengenal tentang asal-usul negara, tamadun dunia sekali gus melahirkan perasaan patriotisme di kalangan pelajar kerana mata pelajaran itu akan diguna pakai semua kaum dan semua jenis sekolah termasuk Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Jenis Kebangsaan,” katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sikap segelintir anak muda yang semakin melupakan sejarah negara dengan pelbagai cubaan menjejaskan keharmonian perpaduan nasional dengan memuat naik pelbagai kenyataan kontroversi termasuk menimbulkan ketegangan kaum di laman sosial mutakhir ini.

Tambah beliau yang juga Pengarah Pusat Kajian Institusi Raja Malaysia, Universiti Malaysia Perlis, mata pelajaran sejarah itu juga akan turut memuatkan nilai-nilai murni dan membentuk jati diri supaya mereka bangga menjadi warganegara Malaysia.

“Dalam buku sejarah itu, kita semaikan perasaan sayangkan negara, semangat perpaduan, bekerjasama, toleransi, hormat-menghormati, seperti lapan tonggak dalam agenda 1Malaysia, kita masukkan semua elemen itu, apabila anak-anak baca buku itu, kita dapat didik hati dan fikiran mereka tentang perlunya perpaduan, tidak lagi dilihat seperti bermusuh.

“Mereka juga perlu berasa bangga kerana itu adalah identiti Malaysia yang kita hendak semaikan dalam diri anak-anak kita melalui silibus sejarah ini,” jelasnya sambil menambah generasi baru perlu dididik dengan sikap toleransi yang tinggi dan mengelakkan permusuhan antara kaum dan menggalakkan mereka bersaing untuk memajukan diri.

Katanya, sudah masanya mata pelajaran sejarah itu dikembalikan di sekolah bagi mengatasi sindrom golongan muda yang kian melupakan dan menghayati sejarah negara baik sebelum terbentuknya Malaysia ataupun selepas kemerdekaan negara dicapai.

ARTIKEL BERKAITAN

Resolusi mantapkan sistem pendidikan negara – Bernama


Resolusi mantapkan sistem pendidikan negara
21 Ogos 2013
  • Abu Shah
< 1 / 1 >

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu bersikap tegas dalam mempertimbangkan desakan dan tuntutan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak tertentu yang menyentuh sistem pendidikan negara, menurut seorang tokoh akademik.

Bekas Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) Tan Sri Ibrahim Abu Shah berkata ini penting bagi memastikan permintaan berkenaan adalah selaras dengan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan mematuhi Akta Pendidikan 1996.

Langkah ini perlu demi kepentingan negara, perpaduan kaum dan masa depan generasi akan datang, kata beliau yang mempengerusikan bengkel prakongres perdana pendidikan kebangsaan bertajuk ‘Sistem Pendidikan Berkesan Pembina Peradaban dan Nilai Budaya’ di sini hari ini.

Bengkel berkenaan merumuskan tujuh resolusi, yang akan dibentangkan pada Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan, 27 Ogos ini.

Resolusi yang digariskan antaranya adalah melihat kepada objektif pendidikan, menyokong penuh Pelan Pembangunan Pendidikan, menolak desakan yang tidak menyokong Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 serta penekanan kepada standard nasional, peranan guru dan memperkasa sekolah kebangsaan.

Menjelaskan lanjut resolusi berkenaan, Ibrahim berkata dasar pendidikan negara mesti melihat kembali kepada matlamat utama iaitu membentuk perpaduan kaum bermula di peringkat sekolah.

Mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan, penambahbaikan perlu dilakukan dan beberapa kelemahan perlu diteliti serta diperbetulkan di samping melakukan pemantauan terhadap sistem pendidikan, katanya.

“Mesti ada satu jentera pelaksanaan yang mantap untuk pastikan pelaksanaan dijalankan dengan sesungguhnya tanpa mengingkari Perlembagaan dan undang-undang,” katanya.

Ibrahim berkata dalam memartabatkan sistem pendidikan negara, kerajaan tidak boleh sentiasa bertolak-ansur dengan pihak tertentu kerana ia boleh menimbulkan kebimbangan di kalangan masyarakat majmuk negara ini.

Katanya kerajaan juga tidak perlu terlalu mengikut standard pendidikan antarabangsa kerana di peringkat nasional, negara mempunyai acuan tersendiri bagi menyelesaikan masalah dalam pembangunan pendidikan negara.

Kerajaan perlu memperkasa sekolah kebangsaan supaya ia lebih menarik minat semua kaum demi mencapai matlamat pendidikan negara untuk membentuk perpaduan di peringkat akar umbi, katanya. – Bernama

5 pelajar SMK Puteri cedera semasa Hari Kantin – Utusan


5 pelajar SMK Puteri cedera semasa Hari Kantin

 

SEREMBAN 21 Ogos – Kegembiraan kira-kira 1,000 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Puteri di sini menyambut Hari Kantin Sekolah bertukar tragedi apabila lima pelajar perempuan tingkatan empat cedera di pergelangan tangan apabila gas dapur mudah alih yang digunakan untuk program memasak meletup.

Dalam kejadian pukul 9.55 pagi tadi kesemua pelajar terbabit dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja’afar di sini selepas mengalami kecederaan akibat disambar api. Keadaan mereka dilaporkan stabil. Buat masa ini pegawai Jabatan Pelajaran negeri sudah berada di lokasi kejadian dan hospital untuk menyiasat punca kejadian termasuk menilai aspek keselamatan yang telah diambil mereka. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130821/je_09/5-pelajar-SMK-Puteri-cedera-semasa-Hari-Kantin#ixzz2cc0keeBt
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tuisyen anak dikecualikan cukai – Berita Harian


Tuisyen anak dikecualikan cukai

Tuisyen anak dikecualikan cukaiMuhyiddin menyampaikan anugerah khas ‘Life At Work Award’ kepada Pengarah Eksekutif Sumber Manusia dan Hal Ehwal Korporat Nestle, Zainun Abdul Rauf (dua dari kiri) turut bersama isteri, Norainee (kanan) dan Rohani (kiri) pada sidang Kemuncak Wanita 2013 di Kuala Lumpur. – Foto Abdullah Yusof

Cadangan akan dikemuka untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2014: TPM

Kuala Lumpur: Kerajaan akan mempertimbangkan pelepasan cukai pendapatan kepada ibu bapa yang menghantar anak ke kelas tuisyen dan sekolah swasta.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pertimbangan sama akan diberikan kepada ibu bapa yang mengambil inisiatif menyambung pengajian di pelbagai peringkat.

Timbalan Perdana Menteri akan mengemukakan cadangan yang disyorkan peserta Sidang Kemuncak Wanita 2013 semalam untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selaku Menteri Kewangan yang kini dalam proses mendapatkan maklum balas rakyat untuk merangka Bajet 2014.

Ikuti penuh dalam BH hari ini atau muat turun versi digital dihttp://subscription.nstp.com.my/