Guru dinasihat jangan mudah putus asa – Sinar Harian


Guru dinasihat jangan mudah putus asa
WARTAWAN SINAR HARIAN
25 Ogos 2013
  • Guru dinasihat jangan mudah putus asaKhair (tengah) bersama penganjur dan peserta Persidangan Program Sekolah Amanah Tahun 2013, semalam.
< 1 / 1 >

JOHOR BAHRU – Warga pendidik di negeri ini diseru supaya bersedia melaksanakan sebarang perubahan bagi memenuhi tuntutan transformasi pendidikan negara.

Timbalan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Profesionalisme Keguruan Kementerian Pendidikan, Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata,  guru-guru perlu sentiasa bersemangat dan tidak mudah putus asa meneroka atau perbaharui teknik pengajaran yang boleh menjadi daya penarik kepada pelajar.

“Guru perlu memainkan peranan dengan penuh dedikasi dan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan perubahan yang disarankan melalui Program Sekolah Amanah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika hadir di Persidangan Program Sekolah Amanah Tahun 2013 ‘Pendidik Sebagai Pemangkin Transformasi Pembelajaran’ di KSL Hotel di sini, semalam.

Beliau turut menegaskan, pendidikan perlu dilihat dalam konteks lebih luas dengan mencipta peluang lebih besar untuk membangunkan ekonomi hasil kerjasama kementerian dan syarikat swasta.

“Saya percaya jaringan kerjasama antara kementerian dan pihak swasta dapat menggalakkan lontaran pemikiran lateral terhadap penciptaan produk pendidikan yang bersifat global.

“Saya harap pihak swasta turut sama terlibat menganjurkan pelbagai program pendidikan dalam usaha mengangkat mutu pendidikan negara bertaraf dunia,” katanya.

Khair ketika mengulas mengenai program itu berkata, sebanyak 10 sekolah berprestasi sederhana dan lemah serta sekolah berprestasi tinggi terlibat bertujuan menyerlahkan potensi murid dalam aspek akademik, sahsiah, dan kokurikulum.

“Program ini bertujuan menambah baik proses pembelajaran dan pengajaran, memantapkan program pedagogi dan merangsang guru untuk lebih berinovatif,” katanya.