Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulit – Sinar Harian


Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulit
ZAIRUL AFIZA HAMZAH
2 September 2013
  • Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulitAini menunjukkan tangannya yang dipenuhi dengan ruam merah dan gatal kerana dijangkiti penyakit kulit daripada anaknya yang tinggal di sekolah berkenaan.
< 1 / 1 >

JERANTUT – Tak tahu apa punca apabila pelajar asrama sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini dijangkiti penyakit kulit sehingga menyebabkan ada di kalangan mereka terpaksa di bawa pulang keluarga masing-masing.

Lebih malang lagi, ahli keluarga yang lain turut dijangkiti selepas pelajar tersebut dibawa pulang dan ada yang dinasihatkan doktor supaya berjumpa dengan pakar kulit.

Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Siti, 36, berkata, dia terpaksa membawa pulang anak lelakinya yang tinggal di asrama tersebut selepas mengadu menghidapi penyakit kulit dan gatal-gatal seluruh badan.

“Penyakit kulit itu boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja. Selepas anak saya pulang, kami sekeluarga di rumah turut dijangkiti penyakit yang sama.

“Bukan kami sahaja, malah kebanyakan keluarga yang mana anak mereka tinggal di asrama dan dibawa pulang turut menghidapi penyakit kulit yang sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti berkata, penyakit kulit itu menyebabkan badan menjadi gatal di seluruh badan dan tidak tangan tidak akan berhenti menggaru di seluruh badan.

Menurutnya, kerana tidak tahan dia bersama keluarganya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Walaupun sudah pergi ke klinik dan mendapatkan ubat gatal, disuntik dan diberikan antibiotik namun penyakit kulit itu tidak hilang. Kini badan kami bukan sahaja dipenuhi dengan kudis malah berparut kerana kesan digaru.

“Anak saya itu tidak dapat ke sekolah selama sebulan kerana tidak tahan gatal di seluruh badan. Kami juga membuat rawatan tradisional namun ia juga tidak berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, dia menggesa menggesa Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta Jabatan Kesihatan Daerah membuat tinjauan dan mencari punca jangkitan kulit yang dihadapi pelajar asrama berkenaan.

” Mereka perlu siasat sama ada penyakit kulit yang dihadapi pelajar asrama itu berpunca daripada tilam di asrama ataupun air.

Seorang lagi suri rumah, Aini, 38, berkata, mereka sekeluarga turut dijangkiti penyakit kulit yang sama kerana salah seorang anaknya juga tinggal di asrama sekolah itu.

Menurutnya, selepas dijangkiti penyakit kulit itu dia pergi ke Pasir Gudang, Johor kerana ada hal yang perlu diselesaikan.

“Kami naik malu kerana tangan tidak henti-henti menggaru dan pergerakan kami di luar rumah terbatas. Oleh kerana tidak tahan menggaru saya pergi ke salah sebuah klinik kesihatan di Pasir Gudang.

“Pihak klinik kesihatan di Pasir Gudang itu mengatakan kami dijangkiti penyakit kudis buta dan pihak tersebut mengeluarkan surat supaya kami mendapatkan rawatan pakar di Kuantan.

“Dalam hal ini, kami minta pihak PPD dan Jabatan Kesihatan Daerah membuat penyiasatan terperinci mengenai perkara ini kerana kebanyakan pelajar asrama tidak dapat belajar dengan baik kerana gatal di seluruh badan,” katanya.

478,848 calon UPSR duduki peperiksaan tahun ini – Bernama


478,848 calon UPSR duduki peperiksaan tahun ini
2 September 2013

KUALA LUMPUR – Seramai 478,848 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2013 akan menduduki peperiksaan bertulis mulai 10 hingga 12 September ini di 8,268 pusat peperiksaan di seluruh negara.

Kenyataan Lembaga Peperiksaan Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini menyebut, daripada jumlah itu, 469,882 adalah pelajar sekolah kerajaan dan bantuan kerajaan manakala 8,966 lagi dari sekolah swasta yang bahasa
pengantarnya adalah bahasa Melayu.

“Seramai 49,117 petugas peperiksaan telah dilantik dan calon diingatkan untuk merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta arahan dan amaran yang perlu dipatuhi,” katanya.

Menurut kenyatan itu, jadual waktu peperiksaan telah diedar ke sekolah dan boleh dimuat turun daripada laman sesawang Lembaga Peperiksaan di alamathttp://www.moe.gov.my/lp.

“Calon diingatkan untuk membawa kad pengenalan ke pusat peperiksaan bagi memastikan urusan pengendalian peperiksaan berjalan lancar,” katanya. – Bernama

Mayat pelajar lemas ditemui – Bernama


Mayat pelajar lemas ditemui
2 September 2013

KUALA LUMPUR – Mayat seorang pelajar yang terjatuh ke dalam sungai di Batu 8 1/4, Jalan Klang Lama di sini semalam ditemui terdampar dekat bongkah batu hari ini kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.

Komander Operasi merangkap Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Penchala, Zaidi Ahtan berkata mayat Mohamad Zakier Rafi Mohamad Yusof, 16, dari Apartmen Desa Mentari 2, Petaling Jaya ditemui anggota pasukannya kira-kira 12.54 tengah hari.

Mangsa dikatakan sedang bermain di kawasan itu sebelum dilihat terjatuh ke dalam sungai kira-kira 5.15 petang ketika hujan lebat.

Gerakan mencari dijalankan tanpa henti sejak semalam yang membabitkan 28 anggota termasuk dari unit skuba dan anjing pengesan, katanya. – Bernama

Prosedur saringan mental calon guru diperbaiki – Bernama


Prosedur saringan mental calon guru diperbaiki 
2 September 2013
  • P KamalanathanP Kamalanathan
< 1 / 1 >

PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan akan menambah baik prosedur saringan kesihatan mental calon guru dari Institut Pendidikan Guru (IPG) dengan memperkenalkan ujian psikometrik.

Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan berkata ujian psikometrik yang meliputi ujian psikologi termasuk tahap pengetahuan, kemampuan, sikap dan keperibadian dijadual dilaksanakan tahun depan.

Beliau berkata ujian psikometrik perlu dalam pengambilan guru baharu dalam usaha kementerian untuk menangani masalah guru-guru yang mungkin bermasalah daripada segi mental.

“Kementerian Pendidikan menerusi Bahagian Psikologi dan Kaunseling (BPsK) sebenarnya sebelum ini telahpun melaksanakan ujian kesihatan mental terhadap semua calon-calon guru baharu dari IPG yang dinamakan Indeks Pengesanan Kendiri (IPK).

“Ujian psikometrik ini merupakan penambahbaikan kepada ujian IPK dan ia telah diamalkan di negara-negara maju seperti di Amerika Syarikat dan United Kingdom,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Psikologi dan Kaunseling bertema “Kenali Psikologi Terokai Potensi Diri” anjuran BPsK di sini hari ini.

Kamalanathan berkata seorang guru harus mempunyai kesihatan mental yang baik dan tahap kesabaran yang tinggi selain kelulusan akademik.

Selain itu, katanya kementerian juga akan mempertimbangkan untuk melaksanakan ujian itu dalam prosedur kenaikan pangkat untuk jawatan Guru Besar dalam memastikan calon benar-benar layak memegang jawatan tersebut.

Sementara itu, Setiausaha BPsK Dr Ruziati Mior Ahamad berkata BPsK mempunyai 340 kaunselor di seluruh negara yang dapat memberi nasihat dan kaedah terbaik menyelesaikan masalah berkaitan kesihatan mental kepada semua jabatan dan bahagian di kementerian.

Mengenai ujian psikometrik, katanya ujian itu akan menggunakan alat khas dan sangat berkesan kerana ia berupaya mengesan calon yang diuji itu bercakap benar atau sebaliknya.

Ujian itu penting untuk memastikan kesihatan guru berada dalam keadaan baik, katanya. – Bernama

KEBENARAN MENGGUNAKAN PERUNTUKAN BANTUAN GERAN PER KAPITA (PCG) MATA PELAJARAN VOKASIONAL (MPV) YANG TELAH DISALURKAN KE SEKOLAH BAGI PELAKSANAAN PROGRAM RINTIS PENDIDIKAN ASAS VOKASIONAL (PAV).


KEBENARAN MENGGUNAKAN PERUNTUKAN BANTUAN GERAN PER KAPITA (PCG) MATA PELAJARAN VOKASIONAL (MPV) YANG TELAH DISALURKAN KE SEKOLAH BAGI PELAKSANAAN PROGRAM RINTIS PENDIDIKAN ASAS VOKASIONAL (PAV).

02 September 2013
Kebenaran menggunakan peruntukan bantuan geran per kapita (PCG) mata pelajaran Vokasional (MPV) yang telah disalurkan ke sekolah bagi Pelaksanaan Program Rintis Pendidikan Asas Vokasional (PAV).

Muat Turun
Surat Siaran