Pokok besar bahayakan murid – Sinar Harian


Pokok besar bahayakan murid
WARTAWAN SINAR HARIAN
4 September 2013
  • Pokok besar bahayakan muridMohd Asrul dan seorang pengawal keselamatan sekolah menunjukkan salah satu pokok besar yang sudah tumbang.
< 1 / 1 >

TANJUNG TOKONG – Tiga pokok besar di sini dikatakan hanya menunggu masa untuk tumbang sekali gus mengancam keselamatan kira-kira 350 murid.

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Rendah Kebangsaan Tanjung Tokong, Mohd Asrul Ismail berkata, kesemua pokok itu terletak dalam kawasan padang sekolah.

Menurutnya, lebih membimbangkan, kawasan berkenaan juga menjadi tempat murid menunggu ibu bapa mereka apabila pulang dari sekolah.

“Namun, buat masa ini kawasan berhampiran dengan pokok sudah pun ditutup kerana dikhuatiri tumbuhan berkenaan tumbang pada bila-bila masa.

“Ini kerana bahagian dalaman pokok sudah semakin reput dan kami yakin jika berlaku ribut, pokok berkenaan akan tumbang. Malahan aduan mengenai masalah itu telah dibuat sejak dua bulan lalu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Seorang guru yang enggan nama disiarkan berkata, sebuah tempat letak kereta juga terpaksa dikosongkan akibat masalah itu.

Jelasnya, semua kakitangan sekolah bimbang jika pokok itu tumbang dan menghempap kereta guru di sini.

“Saya berharap pihak bertanggungjawab dapat mengambil tindakan segera bagi menangani  masalah berkenaan,” katanya.

Remaja langgar polis trafik tukar pengakuan tidak bersalah – Bernama


Remaja langgar polis trafik tukar pengakuan tidak bersalah

 

04/09/2013 9:03pm

 

BESUT – Seorang pelajar Tingkatan Enam yang didakwa memandu secara melulu dan membahayakan hingga menyebabkan seorang pegawai polis trafik putus kaki kanan, pada Julai lepas, menukar pengakuan kepada tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Sebelum ini, Mohd. Burhanuddin Mohd., 19, dari Jalan Kubur, Kampung Beris Lampu, Kuala Besut, mengaku bersalah ketika dihadapkan ke mahkamah berkenaan pada 5 Ogos lepas.

Bagaimanapun, apabila dihadapkan semula ke mahkamah untuk mendengar hukuman, tertuduh menukar pengakuannya kepada tidak bersalah.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat menetapkan 18 September ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan perubatan mangsa.

Mohd. Burhanuddin didakwa melanggar Insp. Farid Hasni Mamat, 33, yang menunggang sebuah motosikal polis jenis Honda VTR800, ketika mangsa menjalankan tugas semasa kempen pilihan raya kecil Deqwan Undangan Negeri Kuala Besut. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0904&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_26.htm#ixzz2dvfXdhli
Hakcipta terpelihara

Pelajar cabul wanita di stesen LRT – Metro


Pelajar cabul wanita di stesen LRT

 17  1 Google +1  0  0

Kuala Lumpur: Mereka masih remaja, namun bertindak berani mencabul seorang wanita berhampiran Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Taman Melati, di sini, walaupun ketika itu masih lengkap berpakaian sekolah.

Malah, mangsa berusia 29 tahun cuba memarahi mereka kerana perbuatan terbabit turut tidak diendahkan sebaliknya mereka bertindak memeluk dan mencium mangsa sebelum melarikan diri.
Wanita terbabit yang terkejut dengan perbuatan remaja itu kemudian bertindak membuat laporan di Balai Polis Wangsa Maju, Jumaat lalu.

 

Sumber berkata, mangsa pada mulanya berjalan berseorangan menuju ke stesen berkenaan kira-kira jam 12.20 tengah hari sebelum terserempak dengan dua remaja lengkap berpakaian sekolah, namun tidak mengendahkannya dan meneruskan perjalanan.
“Bagaimanapun, selepas beberapa meter, mangsa tiba-tiba menjerit selepas bahagian belakang badannya diraba dan sebaik menoleh dia terkejut apabila melihat kedua-dua remaja itu berada di belakangnya.
“Malah belum sempat dia berbuat apa-apa, mereka terus meramas buah dadanya menyebabkan mangsa sekali lagi terkejut dan terus menolak serta memarahi mereka,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/03

UTM sedia RM555,000 taja 30 guru ambil PhD – Metro


UTM sedia RM555,000 taja 30 guru ambil PhD

 21  1 Google +0  0  0

Putrajaya: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperuntukkan RM555,000 bagi menaja 30 guru Sekolah Berasrama Penuh (SBP) melanjutkan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Sains dan Matematik.

Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Dr Madinah Mohamad berkata, program itu dilaksanakan bagi mempertingkat kompetensi guru dalam menangani masalah pengajaran dan pembelajaran murid di sekolah dengan mempertingkatkan kemahiran lebih tinggi.
Katanya, bagi fasa pertama seramai 12 guru akan dipilih untuk mengikuti program sepenuh masa yang dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan ini.

 

“Kita harap mereka (guru) akan lulus dalam tempoh tiga tahun seperti yang ditetapkan dan dapat memperluaskan ilmu yang diperoleh di SBP,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi PhD Sinergi KPM dan UTM di sini, semalam.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor UTM Prof Dr Rose Alinda Alias, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia Tan Sri Abd Ghafar Mahmud dan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Datuk Prof Dr Morshidi Sirat.
Dr Madinah berkata, bagi mencapai tujuan itu, KPM memperuntukkan tajaan dalam bentuk pembiayaan kos penyeliaan PhD, pemeriksa luar, kos sewa ruang serta kos penerbitan akademik bagi guru terbabit yang berjumlah hampir RM 350,000.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/03

30 pelajar Kolej Vokasional Arau dibawa ke hospital disyaki keracunan makanan – Berita Harian


30 pelajar Kolej Vokasional Arau dibawa ke hospital disyaki keracunan makanan

2013/09/04 – 13:26:00 PMCetakEmel Kawan
KANGAR: Tiga puluh pelajar Kolej Vokasional Arau dikejarkan ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) selepas disyaki keracunan makanan kira-kira jam 10 pagi tadi.

Semalam, 52 pelajar kolej sama turut menerima rawatn pesakit luar selepas mengadu sakit perut, pening kepala dan muntah selepas makan hidangan tengah hari yang disediakan di dewan makan kolej terbabit.