Kajian Mengenai Projek Perumahan Kos Rendah untuk Penjawat Awam oleh Jabatan Perumahan Negara – NUTP


Kajian Mengenai Projek Perumahan Kos Rendah untuk Penjawat Awam oleh Jabatan Perumahan Negara

Document:
Tarikh Berita/News Date:
16/08/2013

Lahirkan murid berpengetahuan dunia – Bernama


Lahirkan murid berpengetahuan dunia

 0  0 Google +0  0  0

KUALA LUMPUR: Murid yang mempunyai pengetahuan dan kemahiran bertaraf dunia, nilai moral yang tinggi serta berupaya bersaing dengan rakan sebaya dari negara lain merupakan antara impak daripada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut pelan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Menteri Pendidikan, impak yang didapati daripada murid ialah golongan ini akan belajar dalam persekitaran yang mempunyai kepercayaan asas bahawa semua murid boleh belajar dan boleh berjaya selain mempunyai lebih hak bersuara dalam membentuk pengalaman mereka.

“Murid juga akan mempunyai pembelajaran yang kaya dari segi akademik dan bukan akademik kerana lebih banyak projek dan tugasan berkumpulan dilakukan bagi meningkatkan kemahiran berfikir aras tinggi murid serta keupayaan untuk bekerja secara individu dan berkumpulan,” menurut pelan berkenaan.

Menurut pelan itu dari sudut kesannya kepada guru, golongan ini akan menikmati laluan kerjaya yang lebih baik serta proses penilaian yang telus dan adil serta berkait dengan keupayaan dan prestasi yang relevan.
“Guru akan mendapat sokongan yang diperlukan untuk berjaya dan menikmati persekitaran kerja yang lebih sesuai, ganjaran berasaskan prestasi dan laluan kerjaya yang lebih baik serta didedahkan dengan budaya kerjasama dan kecemerlangan profesional,” jelas laporan itu.
Impak kepada pemimpin sekolah pula ialah golongan ini akan mendapat akses yang lebih besar terhadap latihan kepimpinan bertaraf antarabangsa serta amalan terbaik daripada rakan sejawatan mereka di Malaysia.

“Mereka akan mendapat sokongan dan sumber yang mereka perlukan bagi memacu sekolah dengan berkesan selain menikmati persekitaran bekerja yang lebih baik dan ganjaran berasaskan prestasi serta diberi kuasa melalui pengurusan berasaskan sekolah yang lebih tinggi,” jelas pelan itu.

Pegawai kementerian turut mendapat impak apabila mendapat manfaat daripada meritokrasi yang lebih besar dengan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi dan tidak akan terbatas dengan kawalan.

“Mereka akan menerima sokongan, latihan dan sumber yang bersasaran yang diperlukan bagi memenuhi peranan baharu mereka serta mempunyai keluwesan pengoperasian dan kebertanggungjawaban yang lebih besar selain bekerja dalam persekitaran yang telus dan saling bekerjasama,” katanya.

Ibu bapa pula akan berperanan seperti rakan kongsi sebenar dengan sekolah dalam membantu pembelajaran anak mereka kerana mereka mempunyai akses penuh terhadap prestasi anak mereka dalam peperiksaan kebangsaan dan pentaksiran berasaskan sekolah.

“Ibu bapa akan mempunyai lebih peluang untuk memberikan input kepada strategi penambahbaikan sekolah anak mereka kerana mereka mempunyai hak untuk tahu sepenuhnya tentang misi sekolah, prestasi terkini serta program penambahbaikan tahunan,” menurut pelan itu. – Bernama

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/06

Bahasa Inggeris subjek wajib lulus SPM mulai 2016 – PPPM – Berita Harian


Bahasa Inggeris subjek wajib lulus SPM mulai 2016 – PPPM

2013/09/06 – 11:45:08 AMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan hari ini, Bahasa Inggeris akan menjadi mata pelajaran wajib lulus bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2016.

Pelan Pendidikan hasrat capai hasil awal – Bernama


Pelan Pendidikan hasrat capai hasil awal

2013/09/06 – 12:18:23 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Orang ramai dijangka dapat melihat perubahan ketara dalam kaedah pelaksanaan sistem pendidikan negara tidak lama selepas pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Antara hasil awal yang dijangka dilihat ialah syarat pengambilan guru diperketat dan dikuatkuasakan di semua institut pendidikan guru dan institusi pendidikan tinggi awam.

Ia turut menyasarkan 100 peratus sekolah mempunyai sambungan Internet dengan kelajuan sekurang-kurangnya 4Mbps melalui 1BestariNet, menurut PPPM 2013-2025 yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini, hari ini.

Satu lagi hasil awal yang dijangka diraih susulan pelaksanaan pelan pendidikan itu ialah semua guru opsyen bahasa Inggeris di bawah tahap penguasaan, dilatih untuk meningkatkan kemahiran.

Daripada segi ujian, 20 peratus daripada soalan peperiksaan akan digunakan untuk mentaksir kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar.

Prestasi guru turut diberi keutamaan dengan 410,000 guru akan dinilai melalui apa yang disifatkan sebagai instrumen bersepadu, dan 61,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa.

“Perubahan ini akan menjadi asas hasil yang dihasratkan untuk masa depan,” kata pelan pembangunan berkenaan.
Pelan itu melakarkan visi sistem pendidikan dan aspiasi pelajar yang dapat memenuhi keperluan negara pada masa depan.

Ia mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian Pendidikan untuk mencapai visi yang dihasratkan.

– BERNAMA

Intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 – Bernama


Intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025

2013/09/06 – 14:12:51 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025:

* Kementerian Pendidikan berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringat menengah atas (Tingkatan 5) menjelang 2020.

* Meletakkan Malaysia dalam kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) dalam tempoh 15 tahun akan datang.

* Merapatkan jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020.

* Menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi pengalaman dan aspirasi demi membentuk dan memperkukuh lagi asas perpaduan rakyat Malaysia.

* Memaksimumkan keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan semasa.

* Mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang dihasratkan oleh semua rakyat Malaysia dan setiap anjakan perlu memberi impak kepada sekurang-kurangnya satu daripada lima keberhasilan sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kcekapan.
* Melanjutkan pendidikan wajib daripada enam tahun kepada 11 tahun bermula pada umur enam tahun dengan disokong program pengekalan yang disasarkan.

* Melancar Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada 2017 bagi mengimbangi set ilmu pengetahuan dan kemahiran seperti pemikiran kreatif, inovasi, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

* Standard pembelajaran yang jelas akan dirangka agar murid dan ibu bapa memahami kemajuan yang dijangkakan bagi setiap tahun persekolahan.

* Merombak peperiksaan kebangsaan dan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) secara berperingkat dengan menjelang 2016, soalan berbentuk pemikiran aras tinggi akan merangkumi sekurang-kurangnya 40 peratus daripada soalan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada soalan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang akhir 2013, kerjaya perkhidmatan kaunseling dan akademik akan dimasukkan ke dalam jadual waktu sekolah menengah untuk membantu pelajar membuat pilihan bermaklumat mengenai pelbagai laluan pendidikan yang ditawarkan.

* Menjelang 2025, pelajar Orang Asli, kumpulan minoriti lain, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran akan disediakan sekolah yang mempunyai kemudahan dan peralatan lengkap bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang kondusif.

* Mulai 2016, mata pelajaran Bahasa Inggeris akan dijadikan kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

* Menjelang 2025, setiap pelajar digalakkan mempelajari bahasa tambahan supaya dapat membantu mereka menyertai tenaga kerja global.

* Tumpuan menambah bilangan guru bahasa Cina, Tamil dan Arab bagi memastikan bilangan guru bahasa sepadan dengan keperluan pelajar, selain memperkenalkan bahasa penting lain seperti bahasa Sepanyol, Perancis dan Jepun.

* Mulai 2013, syarat kelayakan kemasukan guru ditingkatkan supaya terdiri daripada kalangan graduan 30 peratus teratas.

* Mulai 2013, guru akan menikmati pengurangan beban tugas pentadbiran supaya boleh menumpukan sebahagian besar masa mereka kepada fungsi teras pengajaran, dengan sesetengah tugas pentadbiran akan diserahkan kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru pentadbiran yang khusus di peringkat sekolah.

* Mulai 2015, semua sekolah memenuhi keperluan infrastruktur asas bermula dengan Sabah dan Sarawak.

* Menambah bilangan model Sekolah Amanah kepada 500 menjelang 2025 dengan melibatkan kumpulan alumni dan badan bukan kerajaan (NGO) yang berpotensi sebagai penaja.

* Kementerian Pendidikan akan menerbitkan laporan tahunan tentang perkembangan setiap inisiatif yang direncanakan dalam pelan ini.

* Kementerian Pendidikan akan membuat semakan berkala tentang pencapaian utama sepanjang pelaksanaan pelan ini pada 2015, 2020 dan 2025.

– BERNAMA

Subjek BM diajar 240 minit seminggu di sekolah jenis kebangsaan – Bernama


Subjek BM diajar 240 minit seminggu di sekolah jenis kebangsaan

2013/09/06 – 14:47:39 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Waktu pembelajaran Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil akan meningkat daripada 180 minit seminggu kepada 240 minit seminggu untuk memperkasakan penguasaan bahasa itu dalam kalangan murid sekolah berkenaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata penambahan masa itu tidak akan menjejaskan pembelajaran bahasa ibunda lain seperti yang dikhuatiri sesetengah pihak.

“Kita tambah kerana kita rasakan (penguasaan) kurikulum Bahasa Melayu di Sekolah Jenis Kebangsaan ini agak lebih rendah. Ia mesti dinaikkan taraf, walaupun tak setanding dengan Sekolah Kebangsaan tapi jangan terlalu jauh (jurangnya).

“Pegawai di peringkat kementerian ada mencadangkan supaya ditambah 270 minit, tetapi ini tak disenangi oleh masyarakat dan pendukung sekolah Cina, sekolah Tamil tak ada masalah, mereka terima.

“Jadi sebab itu kita ambil jalan tengah memutuskan tambahan 240 minit dan mereka semua terima,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini.

– BERNAMA

Muhyiddin lancar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Utusan


Muhyiddin lancar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia

 

TIMBALAN Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan, Muhyiddin Yassin melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur hari ini. – BERNAMA

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melancarkan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 di sini.

Berucap dalam majlis itu, beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata, pelan itu amat signifikan untuk pembangunan negara kerana merupakan rangka pelan yang dihasil dengan begitu tuntas, menyeluruh dan mencakupi segenap lapisan masyarakat. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_26/Muhyiddin-lancar-Pelan-Pembangunan-Pendidikan-Malaysia#ixzz2e7scoAp8
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sistem pendidikan Malaysia perlukan transformasi – Najib – Bernama


Sistem pendidikan Malaysia perlukan transformasi – Najib

 

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Malaysia perlu melaksanakan perubahan besar terhadap keseluruhan sistem pendidikan negara untuk melonjakkan pencapaian bagi memenuhi aspirasi yang tinggi dalam persekitaran global yang semakin kompetitif, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan para pelajar memiliki kemahiran yang diperlukan dalam abad ke-21.

Katanya, bagi mencapai hasrat itulah kerajaan mengambil langkah menggubal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang menyediakan kerangka pembangunan menyeluruh untuk menzahirkan transformasi sistem pendidikan secara pantas dan mapan sehingga 2025.

“Dalam usaha mencapai aspirasi yang tinggi dalam persekitaran persaingan global yang semakin sengit, kita tidak boleh lalai,” katanya dalam prakata pelan pendidikan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_27/Sistem-pendidikan-Malaysia-perlukan-transformasi—Najib#ixzz2e7sAadTG
© Utusan Melayu (M) Bhd

Transformasi pendidikan dilaksana dalam 3 gelombang – Bernama


Transformasi pendidikan dilaksana dalam 3 gelombang

 

KUALA LUMPUR 6 Sept. – Tranformasi pendidikan negara seperti yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan dalam tiga gelombang.

Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.

Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatan kualiti kepimpinan sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.

“Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan,” menurut pelan yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000 pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu dan penstrukturan semula kementerian.

Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.

Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard minimum.

Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.

Bagi memastikan objektif PPPM terlaksana, kementerian juga akan melaksanakan beberapa tindakan, termasuk mengekalkan komitmen dan tumpuan dari kepimpinan atasan terhadap pelan ini, serta penubuhan satu unit kecil iaitu Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (Padu) untuk memacu pelaksanaan PPPM.

Padu akan mempunyai kuasa eksekutif dan berperanan memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan dengan pegawai bertanggungjawab dan berkomunikasi dengan pihak berkepentingan tentang transformasi.

Kementerian juga akan mewujudkan sistem pengurusan prestasi melalui KPI yang jelas, selain terus melibatkan pegawai kementerian dengan pihak berkepentingan yang lain untuk mendapatkan maklum balas dan input bagi memastikan keseluruhan sistem pendidikan terlibat dalam proses transformasi ini. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_28/Transformasi-pendidikan–dilaksana-dalam-3-gelombang#ixzz2e7s4Gt3o
© Utusan Melayu (M) Bhd