‘Tiada aktiviti rekrut pelajar’ – Sinar Harian


‘Tiada aktiviti rekrut pelajar’
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 September 2013
  • 'Tiada aktiviti rekrut pelajar'Hamzah (kanan) dan Mohd Zaki (dua kanan) ketika ditemui media pada Majlis Seiring dan Sejalan serta Sambutan Bulan Kemerdekaan ATM dan PDRM di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Terengganu, semalam.
< 1 / 1 >

KUALA NERUS – Polis mengesahkan tiada aktiviti merekrut pelajar dalam kegiatan gengsterisme, dikesan di negeri ini. Bagaimanapun pemantauan giat dijalankan di semua sekolah dan IPT agar gejala negatif itu tidak menular.

Timbalan Ketua Polis Terengganu, Datuk Hamzah Md Jamil berkata, langkah proaktif diambil dengan menempatkan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) terdiri daripada pegawai polis.

Selain itu katanya, langkah lain turut diambil antaranya dengan mengukuhkan kesedaran melalui Kelab Pencegahan Jenayah dan Kor Sukarelawan Polis (Kor-Suksis) yang memberi kesan cukup positif bagi membendung pembabitan pelajar dalam kegiatan tidak bermoral tersebut.

“Tumpuan kita bukan sahaja terhadap pelajar, malah turut melibatkan penuntut IPT supaya tiada usaha pihak tertentu yang cuba untuk menjadikan golongan ini sebagai ahli dalam aktiviti jenayah mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Seiring dan Sejalan serta Sambutan Bulan Kemerdekaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, semalam.

Hadir sama dalam program kolaborasi membabitkan kedua-dua pasukan keselamatan itu ialah Panglima 8 Briged, Brigidier Jeneral Datuk Mohd Zaki Hamzah dan pegawai kanan kedua-dua agensi berkenaan.

Hamzah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjadikan pelajar sebagai anggota kongsi gelap atau gengsterisme bagi memperluaskan lagi kegiatan jenayah mereka, malah tindakan tegas akan dikenakan mengikut undang-undang sedia ada.

“Kita juga berharap agar semua pihak termasuk sekolah dapat menyalurkan maklumat kepada polis sekiranya ada pihak atau individu yang cuba untuk merekrut pelajar menjadi ahli kumpulan mana-mana kongsi gelap,” katanya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai perkembangan Ops Cantas Khas, beliau berkata, polis kini giat menjalankan pemeriksaan melalui sekatan jalan raya, pusat hiburan serta rumah bagi membendung penularan gejala gengsterisme daripada bertapak di negeri ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s