Soal Siasat Kanak-Kanak Tanpa Kebenaran Ibu Bapa Bukan Kesalahan – Bernama


Soal Siasat Kanak-Kanak Tanpa Kebenaran Ibu Bapa Bukan Kesalahan

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata tindakan polis menyoal siasat kanak-kanak tanpa kebenaran atau kehadiran ibu bapa atau penjaga tidak boleh ditafsir sebagai melanggar undang-undang.

Ini kerana katanya walaupun Akta Kanak-Kanak 2001 memperuntukkan perkara itu, ada kes tertentu membolehkan kanak-kanak disoal siasat oleh polis tanpa kehadiran penjaga mereka.

“Ada kes-kes yang mana kita perlu menyoal kanak-kanak ini tanpa perlu panggil penjaga atau ibu bapa mereka. Janganlah ada pihak-pihak yang nak ugut kita berkenaan isu ini,” katanya kepada pemberita di sini, Isnin.

Beliau mengulas kenyataan peguam hak asasi manusia, Edmund Bon yang menggesa ibu bapa menyaman pasukan keselamatan itu jika anak mereka disoal siasat tanpa kebenaran penjaga masing-masing.

Bon merujuk kepada beberapa laporan mengenai pelajar Sekolah Kebangsaan Seri Pristana di Sungai Buloh yang mendakwa disoal siasat oleh polis tanpa kebenaran ibu bapa mereka berhubung isu penggunaan bilik persalinan sebagai tempat makan di sekolah itu.

Mengulas lanjut Khalid berkata: “Kalau nak saman-samanlah… Ada sebab-sebab kita buat macam tu. Jangan takutkan kita.” BERNAMA

Guru Besar SK Seri Pristana Nafi Mohon Maaf – mStar


Guru Besar SK Seri Pristana Nafi Mohon Maaf

Oleh FARIK ZOLKEPLI

PETALING JAYA: Guru besar sekolah kontroversi, SK Seri Pristana menafikan telah meminta maaf kepada ibu bapa berhubung penggunaan bilik persalinan sebagai kantin sementara di sekolah berkenaan.

“Saya tidak pernah memohon maaf kepada ibu bapa kerana saya menganggap perkara itu sudah diselesaikan,” kata Mohd Nasir Mohd Noor ketika mengulas laporan bahawa beliau telah memohon maaf kepada sekumpulan ibu bapa semasa mesyuarat pada Isnin.

Satu laporan dalam talian menyatakan Mohd Nasir, yang telah mengarahkan pelajar bukan Islam di sekolah berkenaan untuk makan di bilik mandi pada bulan Ramadan, memohon maaf ketika mesyuarat pagi Isnin dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru, pegawai-pegawai jabatan pendidikan negeri dan ibu bapa murid-murid yang terlibat.

Mohd Noor memberitahu The Star bahawa Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor Mahmud Karim, turut menghadiri mesyuarat tersebut untuk mendengar rungutan ibu bapa.

“Bagaimana saya dapat bercakap apabila pegawai atasan saya berada di sana pada mesyuarat itu,” katanya pada hari Selasa.

Syarat jadi guru terpaksa diketatkan, kata menteri – Sinar Harian


Syarat jadi guru terpaksa diketatkan, kata menteri
NIZAM ZAIN
10 September 2013
  • BICARA MINDA: IDRIS JUSOH
< 1 / 1 >
SHAH ALAM – Demi memastikan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 tercapai, kerajaan perlu mengambil langkah tegas dalam soal kelayakan mereka yang bakal bergelar pendidik.
“Syaratnya sekarang sekurang-kurangnya 7A di Semenanjung dan Sabah Sarawak 5A.
“Guru akan jadi kerjaya hebat pada masa akan datang,” kata menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh pada program Bicara Minda yang bertajuk, ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Satu Perspektif’ di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, di sini hari ini.
Kementerian Pendidikan menetapkan hanya 30 peratus sahaja calon terbaik untuk menggalas tanggungjawab sebagai guru.
Beliau berkata demikian mengulas lanjut langkah kerajaan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus dalam SPM menjelang 2015 sekali gus membidas kritikan pedas sesetengah pihak yang mempertikaikan pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Tambah Idris lagi, syarat pengambilan guru itu terpaksa diperketatkan bagi memastikan matlamat kerajaan menjadikan sekolah tempatan sebagai satu pertiga terbaik di dunia tercapai menjelang 2025.

“Setiap tahun setiap menteri akan membentangkan laporan tahunan dan prestasi kementerian masing-masing termasuk Kementerian Pendidikan agar pelan pendidikan agar berjalan dengan baik dan boleh dilihat oleh rakyat pada akhir tahun.

“Pada 2015, kementerian akan membuat kajian semula pelan pendidikan yang telah berjalan sebelum membolehkan kita menjadikan sekolah kita satu pertiga terbaik di dunia,” jelasnya.

Selain mengenakan syarat yang ketat, pengenalan Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS) di peringkat sekolah juga akan membantu kerajaan mempercepatkan proses untuk mencapai matlamat itu yang tidak lagi bergantung kepada mata pelajaran sebaliknya keupayaan pelajar untuk berfikir dapat diterapkan.

UPSR: Terengganu yakin ulangi sejarah terbaik – Bernama


UPSR: Terengganu yakin ulangi sejarah terbaik
10 September 2013

KUALA TERENGGANU – Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT) yakin dapat mengembalikan status negeri terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.

Pengarahnya, Zakaria Husin berkata, keyakinan itu berlandaskan komitmen dan persediaan mantap yang dijalankan sebelum calon menduduki peperiksaan itu yang bermula hari ini.

“Kita mensasarkan 20 peratus daripada keseluruhan calon iaitu 22,359 orang mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini.

“Sebelum ini, kita merupakan negeri yang mencapai keputusan UPSR paling cemerlang selama 11 tahun berturut-turut, namun tahun lepas kita terpaksa akur dengan negeri Kelantan yang mendahului kita,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya pelbagai usaha telah dilaksanakan bagi persediaan UPSR pada tahun ini dan pihaknya sangat berterima kasih atas sokongan kerajaan negeri serta semua pihak terutamanya ibu bapa dalam memastikan calon mendapat keputusan cemerlang.

“Untuk persediaan peperiksaan tahun ini kita memperkenalkan modul pembelajaran yang dipanggil modul 5P2M iaitu Pakej Pentaksiran dan Pecutan Prestasi Pembelajaran Melalui Modular yang mana untuk murid-murid akan mendapat tiga modul satu mata pelajaran yang diambil.

“Modul yang disediakan oleh guru Angkatan Kerja Rajin Mulia (Akram) ini mengandungi latihan, ujian formatif dan sumatif, latihan ini berdasarkan pembelajaran dalam kelas,” katanya.

Bagi peringkat sekolah, program bimbingan melibatkan semua pelajar diadakan bagi semua sekolah di negeri itu, manakala bagi peringkat daerah, program tutorial melibatkan 20 peratus murid di setiap daerah yang berpotensi untuk mendapat keputusan yang cemerlang dilaksanakan.

“Bagi peringkat negeri pula, kita adakan program yang dipanggil program akademik yang mana seramai 2,500 orang murid yang terbaik di seluruh negeri terlibat dalam 20 siri kem selama 16 jam,” katanya.

Zakaria berkata, JPNT juga telah mengenal pasti punca kelemahan prestasi UPSR pada tahun lalu iaitu, kelemahan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris.

“Kita telah mengadakan pelbagai program bagi memastikan mata pelajaran tersebut tidak lagi menjadi subjek yang menjadi penghalang untuk calon mendapat 5A dalam peperiksaan kali ini,” katanya.

Tinjauan Bernama ke beberapa sekolah sekitar bandar raya hari ini mendapati surau sekolah dipenuhi ibu bapa yang membaca al-Quran dan melakukan solat hajat, sebagai usaha akhir meraih kejayaan.

Ada antara ibu bapa yang sanggup mengambil cuti tiga hari untuk membaca al-Quran dan solat hajat di surau-surau sekolah sementara anak mereka menjawab peperiksaan di dewan peperiksaan.

Salah seorang bapa kepada calon, Mohd Hasyim Sulaiman, 50, berkata, beliau sanggup mengambil cuti untuk bersama-sama ibu bapa yang lain membaca al-Quran di sekolah sementara menunggu anaknya menjawab peperiksaan.

“Segala usaha telah dilaksanakan oleh pihak sekolah dan anak saya, ini sahaja yang dapat saya bantu anak saya dan ini merupakan usaha terakhir saya sebagai seorang bapa yang sangat mengharapkan anak saya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan ini,” katanya. – Bernama

Menteri: Kita bukan nak hapus bahasa Cina – Sinar Harian


Menteri: Kita bukan nak hapus bahasa Cina
RAZIATUL HANUM A.RAJAK
10 September 2013
  • BICARA MINDA: IDRIS JUSOH
< 1 / 1 >

 

SHAH ALAM – Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan bahawa bahasa ibunda tidak akan diketepikan meskipun kementerian mahu memperkasakan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013-2015.

Menurutnya, setiap rakyat perlu menerima bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.

“Kita tak ketepikan bahasa ibunda mereka tetapi mereka kena faham bahawa bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan yang harus semua tahu.

“Dalam satu negara, kena ada satu bahasa berdaulat yang diterima pakai oleh semua rakyat. Bahasa Melayu sudah diterima sebagai bahasa kebangsaan kita. Jadi, semua rakyat perlu memahami bahasa kebangsaan. Jelas,” katanya ketika sesi dialog ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Satu Perspektif’, anjuran Sinar Harian, hari ini.

Sebelum ini, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membantah pelaksanaan PPPM kerana mendakwa pelan ini mahu menghapus bahasa Cina.

Moderator Bicara Minda, Profesor Dr Saharuddin Badaruddin juga menyentuh soal usaha kementerian untuk memperkasakan Bahasa Melayu yang turut ditentang oleh beberapa ahli politik dan badan bukan kerajaan.

“Jangankan bahasa Tamil atau Mandarin, nak belajar bahasa Perancis pun kita benarkan. Sepanyol pun boleh,” jawab Idris.

Melalui PPPM, masa pembelajaran Bahasa Malaysia di SJKC bagi Tahap 1 ditambah daripada 270 minit kepada 300 minit manakala bagi Tahap 2 pula ialah daripada 180 minit kepada 270 minit.

Kerajaan akui kelemahan, bukan niat bebankan guru – Sinar Harian


Kerajaan akui kelemahan, bukan niat bebankan guru
NIZAM ZAIN
10 September 2013
  • Idris JusohIdris Jusoh bercakap ketika sesi dialog bertajuk “Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia – Satu Perspektif” bagi mengupas isu pendidikan nasional anjuran Sinar Harian di Auditorium Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. – Foto Sinar Harian oleh AZMI ARYANTO
< 1 / 1 >
SHAH ALAM – Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh mengakui wujudnya kelemahan dalam pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) yang diperkenalkan di sekolah-sekolah pada 2011 telah membebankan golongan pendidik selain daripada tugas mengajar di bilih darjah.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan pelaksanaan PBS itu akan ditambah baik dari semasa ke semasa supaya guru tidak tertekan dengan tambahan tugas terbabit menyebabkan mereka hilang minat untuk meneruskan kerjaya terbabit.
“Pelaksanaannya ada sedikit masalah, lebih beri arahan terperinci dan ia menyusahkan guru.
“Sistem baru itu baik, cuma pelaksanaan perlu diperbaiki, saya akui kelemahannya,” katanya pada program Bicara Minda yang bertajuk ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia-Satu Perspektif’, di sini, hari ini.
Tambah beliau, pengenalan PBS itu bagi memastikan sekolah tempatan tidak lagi berorientasikan kepada peperiksaan dan mata pelajaran, sebaliknya ia berasaskan kepada penilaian pelajar itu sendiri.
Katanya, ia bagi menggantikan sistem peperiksaan sedia ada yang juga sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan negara.
“Guru akan menilai cara pelajar belajar, berinteraksi dan sebagainya, kemudian direkod penilaian itu secara menyeluruh, bukan peperiksanan semata-mata sahaja.
“Keadaan bertambah baik, kita akan pastikan guru tidak terbeban dengan PBS supaya kita boleh mencapai matlamat ke arah sekolah satu pertiga terbaik di dunia,” katanya sambil menyifatkan kerjaya sebagai guru itu merupakan profesional mulia dan murni kerana berupaya mendidik masyarakat ke arah lebih baik.

Calon guna kertas mahjong jawab UPSR – Berita Harian


Calon guna kertas mahjong jawab UPSR

2013/09/10 – 10:51:27 AMCetakEmel Kawan
SUNGAI PETANI: Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), K Rigneshak Kumar menggunakan kertas mahjong bersaiz besar ketika menjawab peperiksaan itu di Sekolah Kebangsaan Sungai Petani, di sini, pagi tadi.

Pelajar itu diberi kelonggaran menjawab UPSR menggunakan kertas saiz besar 109 sentimer x 79 sentimeter yang pertama kali dilakukan di negara ini kerana mengalami masalah rabun.