SHAH ALAM – Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh menegaskan bahawa bahasa ibunda tidak akan diketepikan meskipun kementerian mahu memperkasakan Bahasa Melayu di sekolah-sekolah jenis kebangsaan (SJK) dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (PPPM) 2013-2015.
Menurutnya, setiap rakyat perlu menerima bahawa bahasa Melayu adalah bahasa kebangsaan.
“Kita tak ketepikan bahasa ibunda mereka tetapi mereka kena faham bahawa bahasa Melayu itu bahasa kebangsaan yang harus semua tahu.
“Dalam satu negara, kena ada satu bahasa berdaulat yang diterima pakai oleh semua rakyat. Bahasa Melayu sudah diterima sebagai bahasa kebangsaan kita. Jadi, semua rakyat perlu memahami bahasa kebangsaan. Jelas,” katanya ketika sesi dialog ‘Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, Satu Perspektif’, anjuran Sinar Harian, hari ini.
Sebelum ini, Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) membantah pelaksanaan PPPM kerana mendakwa pelan ini mahu menghapus bahasa Cina.
Moderator Bicara Minda, Profesor Dr Saharuddin Badaruddin juga menyentuh soal usaha kementerian untuk memperkasakan Bahasa Melayu yang turut ditentang oleh beberapa ahli politik dan badan bukan kerajaan.
“Jangankan bahasa Tamil atau Mandarin, nak belajar bahasa Perancis pun kita benarkan. Sepanyol pun boleh,” jawab Idris.
Melalui PPPM, masa pembelajaran Bahasa Malaysia di SJKC bagi Tahap 1 ditambah daripada 270 minit kepada 300 minit manakala bagi Tahap 2 pula ialah daripada 180 minit kepada 270 minit.