PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN MALAYSIA 2013 – 2025 (HIMPUNAN KERATAN AKHBAR)
03 September 2013
Klik pada keratan akhbar untuk diperbesarkan.
03 September 2013
Klik pada keratan akhbar untuk diperbesarkan.
11 September 2013
KUALA TERENGGANU – Seramai 22, 359 murid tahun enam menduduki UPSR semalam di seluruh negeri ini menyaksikan pelbagai ragam ibu bapa dilihat lebih merasai debaran ketika menghantar anak menuju ke dewan peperiksaan.
Daripada tinjauan Sinar Harian ada ibu bapa yang sanggup mengambil cuti bagi memberi sokongan dan menemani anak masing-masing.
Seorang bapa, Karuna Karan, 52, berkata, dia yang bekerja di sebuah syarikat swasta telah memohon cuti sejak awal lagi bagi menemani anaknya menduduki UPSR.
Katanya, sejak dua minggu yang lalu dia mula menemani anak kedua daripada empat beradik, Yoshitaa, 12, mengulang kaji pelajaran pada waktu malam untuk memberi semangat.
“Sebagai tanda sokongan saya menemani dia belajar sehingga lewat malam. Saya bantu dia belajar subjek Bahasa Malaysia,” katanya semasa ditemui di SK Sultan Sulaiman 1, di sini.
Kata Karuna, anak keduanya itu mendapat keputusan 3A 2B dalam peperiksaan percubaan yang lalu dan dia berharap Yoshitaa mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sebenar.
Seorang pensyarah di sebuah kolej, Rohana Mat Husin, turut melakukan hal yang sama apabila sanggup mengambil cuti untuk menemani anaknya, Nor Adlina Mohd Aluwi yang menduduki peperiksaan UPSR.
“Saya yakin dia (anaknya) telah membuat persediaan dan belajar bersungguh-sungguh sebelum peperiksaan lagi, cuma harapannya apabila kita ada bersama menemani akan beri lebih semangat kepadanya,” katanya,
Nor Adlina mendapat 4A1B pada peperiksaan percubaan yang lalu.
Seorang lagi ibu, Linda Hassan, 35, berharap anaknya dapat menjawab soalan peperiksaan dengan tenang apabila dia menemaninya biarpun terpaksa menghabiskan masa seharian di sekolah.
KUALA TERENGGANU – Akibat terlalu seronok bergayut pada dinding sekolah ketika waktu rehat, seorang murid terpaksa menduduki UPSR di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) selepas tangan kirinya patah akibat terjatuh, kelmarin.
Mohd Alif Abd Razak, murid SK Tasik berkata, memandangkan dia seorang yang aktif bersukan, bergayut pada tiang atau dinding sudah menjadi tabiatnya kerana ia salah satu caranya bersenam dan menjaga stamina.
Namun, dia tidak menyangka boleh terjatuh ketika melakukan aksi tersebut hingga mengalami kecederaan teruk sekali gus menyebabkannya terpaksa menduduki peperiksaan di hospital bersendirian tanpa ditemani rakan.
“Saya tawakkal sahaja. Meskipun sakit tetapi saya tetap ingin menduduki peperiksaan hari ini (semalam). Insya-ALLAH, saya berharap dapat menjawab soalan hingga habis,” katanya.
Menurut ibunya, Rohani Mohamad, 45, anak bongsunya itu memang seorang yang aktif bersukan sebab itu dia tidak terkejut mendapat berita anaknya terjatuh di sekolah tetapi sebelum ini tidaklah sehingga mengalami kecederaan yang teruk.
“Saya nasihatkan dia supaya tangguh dulu peperiksaan ini tetapi dia berkeras untuk tetap mendudukinya juga.
“Saya harap dia dapat jawab dengan baik,” katanya ketika ditemui di HSNZ, di sini, semalam.
Seorang lagi murid yang turut menduduki UPSR di HSNZ, Wan Puteri Nur Hasyimah Wan Osmera, 12 dari Segamat, Johor.
Dia terpaksa menumpang pusat peperiksaan apabila terlibat dalam satu kemalangan di Setiu ketika dalam perjalanan dari Machang, Kelantan ke Segamat Johor, pada 3.30 petang pada 3 September lalu.
Menurut bapanya, Wan Osmera Wan Jusoh, 44, kemalangan tersebut melibatkan tujuh lagi ahli keluarganya, termasuk isteri, Raja Normazlina Raja Husin, 39.
Dua anaknya termasuk Wan Puteri Nur Hasyimah dan anak sulungnya, Wan Puteri Nur Haziqah, 14, mengalami kecederaan teruk.
“Wan Puteri Nur Hasyimah mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan dada memerlukan dia mendapat rawatan rapi.
“Saya dan isteri hanya berserah pada ALLAH, dengan keadaan dirinya begitu, tidaklah kami mengharapkan dia (Wan Puteri Nur Hasyimah) terlalu memaksa diri,” katanya.
Bagaimanapun sebagai bapa, dia tetap mendoakan agar anaknya itu dapat menjawab peperiksaan dengan baik.
Katanya, pada peperiksaan percubaan yang lalu, anak ketiga daripada enam beradik dari SK Segamat Baru itu mendapat keputusan 2A 3B.
LONDON: Isu kerjasama pendidikan, hubungan perdagangan dua hala dan krisis di Syria dan Mesir merupakan antara intipati perbincangan antara Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari United Kingdom (UK) Nick Clegg di sini, Selasa.
Muhyiddin berkata perbincangan mengenai pendidikan berkisar kepada usaha mewujudkan kerjasama jangka panjang bagi meningkatkan lagi keupayaan guru-guru Bahasa Inggeris di Malaysia.
Beliau mengambil contoh langkah membawa guru-guru dari Amerika Syarikat untuk membantu melatih guru-guru Bahasa Inggeris dalam negara yang dilaksanakan sebelum ini, yang mungkin boleh dipanjangkan dengan membawa masuk guru-guru dari UK pula.
Bercakap kepada wartawan Malaysia selepas mengadakan perbincangan dua hala dengan Clegg di sini, Timbalan Perdana Menteri berkata turut dibincangkan dalam aspek pendidikan ialah mengenai keperluan pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran di UK.
“UK menjadi tempat ramai pelajar kita belajar, 14,000 sekarang ini kalau tak silap saya…jadi kita harap yuran pengajian di sini tidak naik, kita juga harap lebih ramai pelajar sini dapat belajar di Malaysia,” katanya.
Perjumpaan dengan Clegg merupakan antara aturcara di hari ketiga lawatan kerja lima hari Muhyiddin ke UK, yang bermula Ahad lepas.
Sementara itu, Muhyiddin berkata beliau turut memaklumkan Clegg bahawa satu pasukan petugas sudah mengadakan mesyuarat pertama dalam usaha melihat bagaimana perdagangan dua hala dapat ditingkatkan kepada lapan bilion paun sterling, sebagaimana yang diputuskan kedua-dua negara sebelum ini.
“Memang dia (Clegg) ingin melihat kita meneliti satu persatu bidang-bidang yang kecil mana yang boleh kita majukan daripada segi perdagangan, sama ada barangan mahupun perkhidmatan, dan juga pelaburan di UK dan Malaysia,” katanya. –BERNAMA
SHAH ALAM: Kira-kira dua pertiga guru Bahasa Inggeris di negara ini telah diklasifikasikan sebagai ‘tidak berupaya’ atau ‘tidak layak’ untuk mengajar subjek berkenaan di sekola.
Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata guru berkenaan telah dihantar mengikuti kursus untuk memperbaiki kemahiran mereka dalam menguasai bahasa berkenaan.
“Kementerian juga sedang menimbangkan cadangan untuk menghantar mereka mengikuti kursus TESL (Mengajar Bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua),” katanya pada sesi dialog mengenai Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang diadakan di Kompleks Karangkraf pada Selasa.
Idris tidak menyatakan jumlah guru yang tidak layak itu memberi jaminan, sebahagian daripada mereka yang cemerlang telah didaftarkan dalam kursus bahasa Inggeris tempatan.
Kajian terbaru mendedahkan, kira-kira 70 peratus daripada 60,000 guru Bahasa Inggeris, yang menduduki peperiksaan, English Language Cambridge Placement Test, mencatatkan keputusan yang rendah.
Mengenai dakwaan, kerajaan mengetepikan sekolah vernakular melalui PPPM, Idris menafikannya, beliau berkata “semua sekolah diberi layanan sama rata”.
“Kita tidak akan mengetepikan mana-mana pihak. Sebaliknya, kementerian menggalakkan semua orang menguasai lebih daripada satu bahasa.
“Sama ada Bahasa Cina, Tamil, Perancis atau Sepanyol sekalipun kerajaan akan berbangga jika seorang rakyat Malaysia boleh menguasai bahasa-bahasa ini,” tegasnya.
Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zhong) menentang PPPM dengan mendakwa pertambahan masa untuk mengajar Bahasa Malaysia daripada 270 minit kepada 300 minit bagi sekolah rendah dan 180 minit kepada 280 minit kepada sekolah menengah merupakan satu tindakan kerajaan untuk menghapuskan pendidikan dalam bahasa ibunda mereka.
Padang Besar: “Abang bergayut di belat (kunci air) untuk sukat kedalaman, tetapi tiba-tiba dia lepaskan tangan dan terjun ke dalam sungai itu kerana kaki kanannya tersangkut, namun tidak muncul menyebabkan saya dan rakan lain bimbang.”
Begitu kata Azim Mustaqim Mahamad Rezduan, 10, apabila abangnya, Affiq Uzzair, 12, ditemui lemas ketika mandi bersama adiknya itu dan lima rakan lain di Pintu Kunci Air Tok Badet, Sungai Abi, Padang Melangit, di sini, kira-kira jam 4.30 petang kelmarin.
Azim berkata, abangnya yang bakal menduduki peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hari ini, tidak pernah turut serta ketika dia dan rakannya mandi di sungai berkenaan, malah selalu ke pusat siber untuk bermain permainan komputer di kedai berdekatan.
Menurutnya, dia terkejut apabila abangnya yang juga murid Sekolah Kebangsaan Padang Melangit itu terjun ke dalam sungai dan mandi bersama mereka.
“Saya melihat abang ke bahagian hadapan kunci air dan bergayut di situ. Tetapi, kaki kanan abang dipercayai tersangkut di bahagian pintu kunci air berkenaan menyebabkan dia berusaha melepaskan diri.
“Air yang deras menyukarkan abang untuk melepaskan kakinya daripada celah kunci air itu. Saya hanya mampu melihat abang menggelupur di dalam air sebelum memanggil ayah untuk menyelamatkannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Penghulu Jaafar, Beseri Dalam, di sini, semalam.
Katanya, dia dan rakan-rakannya mula mandi di sungai berkenaan dari jam 1.30 tengah hari, manakala abangnya turut serta pada jam 4 petang dan tidak ke kelas tambahan yang diadakan di sekolahnya.
Dalam kejadian itu, mangsa dikeluarkan sendiri bapanya, Saad Daud, 50, dengan bantuan beberapa penduduk kampung kira-kira jam 5.30 petang.
Saad berkata, anaknya sudah tidak bernyawa ketika dia cuba mengeluarkannya dalam tempoh kira-kira 20 minit kerana air deras selepas pintu kunci air dibuka bagi memudahkan kakinya dikeluarkan.
Menurutnya, dia turut mengikat tali di badan Affiq supaya tidak dibawa arus ketika usaha membawa naiknya daripada dalam sungai.
“Affiq tidak menunjukkan sebarang tanda bahawa dia akan meninggal dunia kerana dia sentiasa gembira dan membantu keluarga.
“Saya tidak menyangka dia akan mati lemas kerana pandai berenang, malah Affiq sebelum ini pernah menyelamatkan rakannya ketika banjir besar berlaku di Padang Melangit, beberapa tahun lalu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Besar Superintendan Che Man Md Dros ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. mangsa bersama seorang adik dan lima rakannya mandi-manda di kawasan tali air sungai berkenaan yang terletak berhampiran rumah mereka.
“Ketika kejadian, mangsa yang sedang menyelam tidak timbul semula kerana kakinya tersangkut pada pintu kunci air dan tidak dapat dibantu oleh rakannya.
“Seorang lelaki berusia 21 tahun yang melalui kawasan berkenaan cuba membantu dengan menyelam ke dasar sungai, namun gagal menemui mangsa. Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.\ Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dan sudah dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/10
Shah Alam: Walaupun mendapat tentangan dan kemungkinan dikenakan tindakan undang-undang oleh Persatuan Jawatankuasa Sekolah Cina Bersatu Malaysia (Dong Zong), Kementerian Pendidikan tetap meneruskan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).
Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata, PPPM sudah dilancarkan selepas ia diberi perincian dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.
“Kita tidak boleh tarik sana sini, ia tidak akan berjaya. Kerajaan akan terus melaksanakan pelan ini,” katanya pada sidang media selepas sesi dialog bertajuk Dasar dan Cabaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, di sini semalam.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Dong Zong, Yan Sin Tian, pada 2 September lalu menyatakan tindakan undang-undang terhadap kementerian itu adalah satu daripada dua pilihan sekiranya PPPM tidak memberikan manfaat kepada sekolah aliran Cina.
Pilihan kedua ialah mengadakan perhimpunan besar-besaran membantah PPPM kerana pergerakan itu menentang rancangan dalam PPPM.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/11
Alor Gajah: Seorang ibu kepada pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Haji Talib Karim mendakwa mata kanan anak lelakinya bengkak dan penglihatannya kabur selepas dipukul seorang guru lelaki, 7 September lalu.
Zurina Ibrahim, 40, ibu kepada Izzul Fahmi Zainal, 15, berkata, sebelum kejadian anaknya bersama tiga rakan mereka bersiar-siar di bandar ini dan duduk di atas pentas di Dataran Keris, di sini, sebelum dilihat guru berkenaan pada 1 September lalu.
Dakwanya, kira-kira jam 9.30 pagi, Sabtu lalu, guru itu bertindak memukul kepala anaknya menggunakan tangan beberapa kali, malah kepala anaknya turut dipukul menggunakan buku teks.
“Sejurus pulang dari sekolah, Izzul terus tidur dan saya hanya mengetahui mengenai kejadian selepas dimaklumkan ibu kepada rakannya Nur Najwa Najihah Mohd Shah, 13, yang turut dipukul guru berkenaan.
“Selepas mengejutkannya saya terkejut melihat mata kanannya merah dan bengkak, apabila ditanya dia memaklumkan dipukul guru berkenaan di dalam kelas di hadapan pelajar lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jelatang, di sini, kelmarin.
Menurutnya, sebagai ibu dia kecewa dengan tindakan guru berkenaan yang boleh memudaratkan kesihatan anaknya kerana ia membabitkan deria mata dan lebih membimbangkan sekiranya berlaku gegaran otak.
Izzul berkata, ketika berjalan di luar kelas Nurul Najwa, dia dipanggil guru berkenaan dan dimarahi.
“Guru berkenaan memukul kepala saya menggunakan tangan enam kali sehingga menyebabkan telinga dan mata saya bengkak, tidak cukup kepala saya sekali lagi dipukul menggunakan buku teks dengan kuat sehingga selepas kejadian saya kerap tidur kerana sakit kepala.
“Malah, dia turut memberi amaran tidak teragak-agak memukul sekiranya terlihat kami di dataran berkenaan selepas ini dan mengatakan tidak takut sekiranya tindakannya diadukan kepada keluarga,” katanya.
Sementara itu, Najwa berkata, ketika kejadian guru lelaki itu masuk ke kelasnya bagi mengajar mata pelajaran Pendidikan Jasmani ketika sesi sekolah ganti sebelum bertindak memanggilnya dan bertanya sama ada dia ada melihatnya di Dataran Keris.
“Saya jawab tidak perasan, kebetulan ketika guru itu bertanya, Izzul lalu di luar kelas dan guru itu mengarahkan dia masuk, kemudian saya diarah berdiri dan duduk di kerusi guru beberapa kali sebelum kepala dipukul buku teks sebanyak dua kali dengan kuatdan dihambur kata-kata kesat,” katanya.
Ibunya, Norhayati Md Yusof, 44, berkata tindakan guru itu mengakibatkan anaknya itu trauma dan malu ke sekolah kerana ia dilakukan di hadapan rakan sekelas serta sering sakit di bahagian kepala.
“Jika Najwa melanggar disiplin sekolah saya faham tindakan guru itu, tetapi difahamkan tindakan berkenaan diambil hanya kerana dia ternampak anak saya dan kakaknya bersama dua lagi rakan lelaki duduk di pentas berhampiran Dataran Keris.
“Bukan hanya di luar kawasan sekolah, sebaliknya ketika itu hari Ahad. Malah, saya tidak tahu kenapa hanya selepas seminggu baru guru berkenaan mahu menghukum mereka dengan cara begitu,” katanya.
Sehubungan itu, kedua-dua keluarga berkenaan nekad mengambil tindakan undang-undang terhadap guru terbabit dengan membuat laporan di ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah kelmarin.
Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian itu.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/11
Pekan: Hanya empat murid menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Belimbing di sini, semalam, meneruskan tradisi antara sekolah paling sedikit murid menduduki peperiksaan itu setiap tahun.
Guru Besar SK Belimbing Sheikh Ahmad Shakhri Sheikh Zakaria berkata, sejak 2008 jumlah murid mengambil UPSR tidak lebih enam orang dan yang terendah pada 2009 dan tahun lalu, hanya dua murid.
Katanya, SK Belimbing yang didirikan lebih 50 tahun lalu, kini mempunyai 26 murid membabitkan murid prasekolah hinggalah tahun enam. “Terletak di kawasan pedalaman dan penghijrahan penduduk sejak beberapa tahun lalu menjadi antara faktor jumlah murid berkurangan setiap tahun.
“Bagaimanapun kekurangan murid memberi kelebihan kepada 14 guru memberi sepenuh tumpuan mengajar dalam usaha meningkatkan pencapaian akademik pelajar terutama yang menduduki UPSR,” katanya.
Beliau berkata, pada 2011 seorang murid memperoleh keputusan 5A manakala lima 4A dan 1B.
“Sasaran kita tahun ini seorang murid mendapat 5A dan tiga lagi 4A dan 1B. Kelemahan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris menjejaskan peluang mereka untuk mendapat keputusan cemerlang.
“Pihak sekolah akan berusaha meningkatkan pencapaian murid bagi membuktikan terletak jauh di pedalaman bukan halangan meraih pencapaian cemerlang dalam peperiksaan,” katanya.
Murid, Muhammad Armizi Abd Razak, 12, yang mendapat 4A dan 1B ketika peperiksaan percubaan, berkata, dia berjaya menjawab semua soalan dengan baik dan berharap mendapat keputusan cemerlang nanti.
Rakannya, Nur Fatiha Mohd Johari berkata, dia bersyukur dapat menjawab semua soalan pada hari pertama peperiksaan semalam.
“Saya berharap dapat terus menjawab semua kertas esok (hari ini) dan Khamis,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/11