Pelan lahir pelajar bertaraf global – Metro


Pelan lahir pelajar bertaraf global

 1  0 Google +0  0  0

Oleh Noor Mohamad Shakil Hameed

Pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin melakar satu lagi episod dan sejarah baru dunia pendidikan negara.

Pelan ini bakal mencorak hala tuju dan masa depan modal insan dalam melahirkan pelajar bertaraf global. Syabas dan tahniah kepada pihak kerajaan kerana tatkala ada usaha pihak tertentu untuk mempertikaikan dan mempersoalkan pelan ini, malah cuba menghalang pelancaran dan pelaksanaannya, ia tetap dilancarkan mengambil kira keperluan untuk mentransformasikan pendidikan negara secara serius dan holistik.
Selain menjadi dokumen rasmi yang cukup penting dan signifikan dalam memacu pembangunan masa depan negara, pelan ini juga diyakini mampu melahirkan pelajar memiliki pengetahuan dan kemahiran bertaraf global, bersahsiah tinggi dan cemerlang serta berkeperibadian tinggi. Ternyata pelan ini dirangka dengan penuh teliti dengan mengambil kira pandangan dan maklum balas semua pihak serta mencakupi segenap lapisan masyarakat.

 

Ketika melancarkannya, Muhyiddin berkata, pelan ini lahir selepas proses pencernaan oleh pelbagai pihak sejak dua tahun lalu dan rangka yang terhasil dengan begitu teliti, tuntas, menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat.
Antara inti pati PPPM yang dilihat cukup menarik dan bakal memberikan impak besar dalam melahirkan sumber guna tenaga negara pada masa hadapan ialah, memberi tumpuan kepada kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dengan meningkatkan kesedaran terhadap pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Impian ini bakal menjadi kenyataan apabila sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50 peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang 2016.

 

Berfikir secara kritis Melalui inisiatif ini, murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam situasi berbeza. Penulis percaya, ia mampu melahirkan pelajar lebih kreatif dan berfikiran terbuka tanpa dikongkong dengan kandungan buku teks yang selama ini lebih memberi tumpuan kepada budaya menghafal dalam kalangan pelajar.
Pada masa sama, langkah menggalakkan pelajar mengikuti mata pelajaran bahasa tambahan seperti Arab, Perancis mahupun Kadazan Dusun pula bakal menambah dan memperkayakan nilai tambah serta kualiti pelajar, terutama dalam usaha untuk memenuhi tuntutan kerjaya pada masa hadapan.

 

Di samping itu, kerajaan sekali lagi menzahirkan komitmen untuk memartabatkan bahasa kebangsaan iaitu PPPM bakal memartabatkan bahasa Melayu demi menjunjung semangat perpaduan dan jati diri kebangsaan yang kukuh dalam kalangan masyarakat selain memberi perhatian utama kepada mata pelajaran Bahasa Inggeris.
Ia dilihat sebagai kesinambungan kepada Dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang diperkenalkan sebelum ini. Keputusan untuk menjadikan Bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus SPM menjelang tahun 2016 satu lagi lembaran baru dalam melahirkan generasi bersifat global.
Kita perlu terima hakikat betapa majoriti pelajar kita masih lemah dalam penguasaan bahasa Inggeris menyebabkan mereka sukar menembusi pasaran pekerjaan, justeru langkah mewajibkan kelulusan Bahasa Inggeris sewajarnya tidak dijadikan isu menggugat bahasa kebangsaan sebaliknya perlu dilihat dalam konteks lebih positif.
Miliki sahsiah terpuji PPPM ini juga beriltizam melahirkan murid memiliki sahsiah terpuji serta mempunyai identiti nasional. Untuk itu, kerajaan bakal memantapkan kurikulum bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan juga Pendidikan Moral. Melalui inisiatif ini, kita bakal melahirkan pemimpin masa depan yang cemerlang akademik dan sahsiah secara seimbang dan bersepadu.
Dalam usaha untuk merealisasikan impian dan hasrat melahirkan pelajar hebat, cemerlang dan bertaraf global sudah semestinya kita memerlukan komitmen dan iltizam semua pihak terbabit agar PPPM dapat dijayakan sepenuhnya mengikut gelombang yang disasarkan.
Peranan guru, ibu bapa dan pihak swasta turut bakal dipertingkatkan. Menyedari hakikat betapa peranan guru besar dan pengetua cukup signifikan dalam mencetuskan kejayaan sekolah, maka pengukuran kualiti dan kemampuan guru besar dan pengetua akan melalui satu proses perubahan mendadak.
Kaedah dan kriteria pelantikan pengetua dan guru besar misalnya tidak lagi berdasarkan jangka masa perkhidmatan, sebaliknya dibuat berdasarkan merit dan keupayaan.
Ini bermaksud tidak semestinya yang lebih senior menjadi pengetua atau memegang jawatan lebih penting seperti sekarang. Keputusan ini wajar dilihat sebagai usaha ke arah mencetuskan budaya persaingan sihat dalam kalangan guru berkebolehan untuk dilantik sebagai ketua dan pemimpin.
Lebih menarik lagi profesion perguruan menjadi lebih berprestij, eksklusif dan elit apabila pengambilan guru hanya dibuat dalam kalangan graduan 30 peratus terbaik negara sebagai usaha mentransformasikan profesion perguruan sebagai profesion pilihan utama.
Pihak swasta digalakkan memberi sumbangan bermakna untuk berganding bahu meningkatkan kualiti pendidikan negara ke satu tahap yang membanggakan kelak.
Ringkasnya dokumen lengkap yakni pelan induk PPPM setebal 300 muka surat ini bakal mentransformasikan kualiti pendidikan anak kita secara menyeluruh. Maka, pelan ini tidak boleh dilihat sebagai pelan induk pihak kementerian semata-mata, sebaliknya isi kandungannya perlu difahami oleh semua pihak berkepentingan agar dapat menjayakannya secara bersama.
Penulis Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar UPM

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/12

Leave a comment