16 September 1963 bermulanya sebuah negara – AstroAwani


16 September 1963 bermulanya sebuah negara

 Aizat Sharif| Kemas kini: September 16, 2013

email
comments
KUALA LUMPUR: Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada tanggal 16 September 1963 dimana dalam penubuhan negara ini ianya telah melibatkan gabungan antara Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Sarawak dan Borneo Utara (Sabah).

Menyorot kembali perjalanan pembentukan Malaysia pada 50 tahun yang lalu, ianya bermula apabila Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu ketika itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dalam ucapannya di depan Persidangan Persatuan Wartawan Luar Negeri Asia Tenggara yang diadakan di Hotel Adelphi, Singapura pada 27 Mei 1961 telah membayangkan penubuhan sebuah negara yang melibatkan gabungan Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Sarawak dan Sabah.

Penganalisis sejarah dan Pensyarah kanan Jabatan Pengurusan dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Profesor Dr Ahmad Murad Merican menjelaskan bahawa kerjasama gabungan ini lebih merupakan kepada satu bentuk kerjasama dari segi politik dan ekonomi dan ianya juga sebagai satu langkah untuk menyekat pengaruh komunis yang dilihat semakin menular dan menjejaskan kestabilan politik.

“Selain itu, pembentukan Malaysia juga adalah untuk menyeimbangkan populasi kaum yang berada di Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Persekutuan Tanah Melayu mempunyai majoriti penduduk kaum Melayu diikuti Cina, India dan lain-lain manakala di Singapura pula, jumlah kaum Cina begitu ramai dan tindakan Tunku membawa Borneo Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei untuk membentuk Malaysia itu juga sedikit sebanyak menyeimbangkan populasi kaum yang ada di Malaysia dimana kebanyakkan penduduk di sana adalah kaum Bumiputera yang terdiri dari etnik Iban, Kadazan, Murud, Bajau dan lain-lain lagi,” kata Ahmad Murad.

Tambah beliau, pada awalnya Sarawak dan Borneo Utara menolak cadangan tersebut kerana tidak yakin akan pembentukan Malaysia ini akan mampu memberi jaminan kepada mereka untuk pemerintahan sendiri.

“Namun setelah diberi jaminan mereka akhirnya bersetuju untuk menyertai gagasan ini membentuk Malaysia,” katanya lagi.

Pada 17 Januari 1962, sebuah suruhanjaya telah ditubuh dan dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold.

Fungsi suruhanjaya ini ialah untuk meninjau pandangan penduduk negeri-negeri yang terlibat dalam pembentukan Malaysia dan ianya diwakili oleh lima anggota dan dipengerusikan oleh Lord Cobbold dan dianggotai oleh dua wakil Kerajaan British, Sir Anthonv Abell dan Sir David Watherston, sementara wakil Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pula terdiri dari Datuk Wong Pow Nee dan Mohamed Ghazali Shafie H. Harris bertindak selaku Setiausaha.

Pandangan dan pungutan suara atau dipanggil referendum telah dilakukan dari Februari hingga April tahun yang sama.

“Berbagai-bagai pihak seperti parti-parti politik, ahli-ahli mesyuarat kerajaan, pemimpin kaum dan bermacam-macam lagi telah diminta pandangan mereka kerana suara mereka adalah penentu kepada samada rancangan ini akan menjadi atau tidak,” katanya lagi.

Dari referendum itu, 80 peratus bersetuju dengan pembentukan gagasan itu dan pada 21 Jun 1962, laporan tersebut diserahkan kepadaan kerajaan British.

Kesepakatan akhirnya dicapai antara Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan Perdana Menteri Britain, Harold Macmillan untuk mengadakan sebuah rundingan di London.

Selama dua minggu rundingan itu berlangsung sebelum satu perjanjian ditandatangani di Pejabat Perhubungan Komanwel di Malborough House, London pada 9 Julai 1963 dan telah ditandatangani oleh wakil-wakil Kerajaan British, Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura.

Lord Landsdowne, Harold Macmillan dan Ducan Sandys mewakili Kerajaan Britain sementara Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Tan Siew Sin, Tun V.T Sambanthan, Datuk Ong Yoke Lin dan Dr Lim Swee Aun mewakili Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu.

Wakil Sabah pula terdiri daripada Datu Mustapha Datu Harun, Tun Mohammad Fuad Stephens, W.K.H Jones, Khoo Siak Chiew, W.S Holley dan G.D Sundang manakala P.E.H Pike, Temenggung Jugah a/k Barieng, Datu Bandar Abang Haji Mustapha, Ling Beng Siew dan Datu Abang Haji Openg mewakili Sarawak.

Singapura pula mewakilkan Lee Kuan Yew dan Goh Keng Swee.

Kedua-dua negara bersetuju mengeluarkan kenyataan bersama pada 12 Julai 1963 iaitu Kerajaan British bersetuju menyerahkan kedaulatan Sabah, Sarawak dan Singapura kepada Kerajaan Malaysia dan Malaysia akan ditubuhkan pada 31 Ogos, 1963.

Walaupun perancangan sebenar pengisytiharan akan dibuat pada 31 Ogos 1963, majlis tersebut terpaksa ditangguhkan.

Lawrence Michelmore selaku wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekali lagi mengadakan tinjauan pandangan penduduk Sabah dan Sarawak.

Pada 14 September 1963, laporan telah dikeluarkan yang mengesahkan majoriti penduduk negeri tersebut menyokong penyertaaan dalam Persekutuan Tanah Melayu.

Justeru, pada 16 September 1963, gagasan tersebut telah menjadi kenyataan dan lahirlah sebuah persekutuan yang dikenali sebagai Malaysia.

Pengisytiharan tersebut telah dibuat di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Upacara membaca deklarasi penubuhan Malaysia itu telah dilakukan di hadapan Yang Di Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu, Gabenor-Gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, dan Sabah.

Pengisytiharan yang sama juga turut dilakukan serentak di Jesselton (Kota Kinabalu), Kuching dan Singapura yang dihadiri pemimpin negeri masing-masing iaitu Tun Mohammad Fuad Stephens, Tan Sri Stephen Kalong Ningkan dan Lee Kuan Yew.

Namun, pada tahun 1965, disebabkan beberapa masalah politik dalaman yang melanda antara Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura, Singapura telah menarik diri dari Malaysia untuk muncul sebagai sebuah negara Republik.

Malaysia@50

Berita mula diterbitkan pada: September 16, 2013 08:30 (MYT)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s