Cara lama bantu pelajar mudah lulus BI – Sinar Harian


Cara lama bantu pelajar mudah lulus BI
RUZY ADILA IDRIS
16 September 2013
  • Lulus BI
< 1 / 1 >
SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan digesa tidak mengubah terlalu banyak kurikulum subjek Bahasa Inggeris yang telah dipraktikkan sekian lama dalam memastikan kelangsungan penguasaan bahasa kedua itu di kalangan pelajar.
Bekas Penolong Kanan 1, Sekolah Kebangsaan Seksyen 18, Shah Alam, Roziah Jali sebaliknya menyarankan kementerian menimba kaedah pengajaran dahulu untuk memastikan pelajar mempunyai kemahiran tinggi dari segi penulisan dan percakapan dalam bahasa Inggeris.
“Pelajar layak mencapai setinggi mana ilmu yang dituntut dan bukannya sewenang-wenangnya menukar sistem kerana sistem yang ada sudah cukup berilmu dan berdaya saing.
“Namun, kurikulum yang sedia ada masih perlu ditokok tambah dan dimurnikan dari masa ke semasa,” katanya yang pernah berkhidmat sebagai guru bahasa Inggeris selama 35 tahun.
Roziah mengulas mengenai keputusan Kementerian Pendidikan yang akan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2016.
Menurutnya, ketika mengajar dahulu, beliau begitu menekankan kepada anak muridnya dalam latihan mengarang dan meringkaskan karangan bahasa Inggeris.
“Kurikulum dahulu juga lebih mendalam termasuk membaca dengan intonasi yang betul.
“Bahasa Inggeris mempunyai loghat bahasa mengikut dialek bangsa,” katanya.
Berdasarkan pengalamannya mengajar murid yang terdiri daripada pelbagai bangsa, terdapat segelintir muridnya yang berbangsa India dan Cina mempunyai sedikit kelemahan menyebut sebutan-sebutan tertentu.
“….tetapi berbeza dengan murid Melayu yang dapat menunjukkan kemahiran yang sangat baik dalam sebutan perkataan bahkan boleh meniru betul-betul sebutan bahasa Inggeris seperti orang Inggeris.
“Mengajar bahasa Inggeris memerlukan penumpuan lebih guru kepada muridnya dan menuntut tahap kesabaran yang tinggi kepada golongan pendidik.
“Ia adalah satu mata pelajaran yang menarik dan memerlukan kemahiran tinggi dari guru yang mengajarnya dalam memastikan kualiti seperti yang diharapkan,” katanya.
Menurut Roziah, sekiranya pihak kementerian konsisten dalam apa yang dilaksanakan, ia dapat membantu murid menguasai dan mempraktikkan bahasa kedua itu dalam kehidupan seharian dengan baik.
Malah bukan perkara yang mustahil untuk menjadikannya subjek wajib lulus menjelang 2016.
“Kebanyakan pelajar Malaysia mampu menduduki kedudukan ‘top 10’ di universiti luar negara.
“Pelajar kita bukan sahaja maju bahkan mencapai kecemerlangan yang patut dibanggakan,” katanya merujuk kepada bekas pelajar-pelajar Malaysia yang melanjutkan pelajaran ke luar negara suatu waktu dulu.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai perbezaan pengajaran subjek Bahasa Inggeris pada zaman dahulu, katanya pada tahun 1950-an hingga 1960-an, ia hanya diajar di sekolah-sekolah rendah dan menengah mubaligh Kristian seperti Sekolah Convent, Sekolah St Patrick, St John, St Mary, St Anne serta sebagainya.
“Guru-guru yang mengajar di sekolah berkenaan juga didatangkan dari England dan yang mendapat latihan pengajaran di negara berkenaan.
“Teknik pengajaran yang diberi termasukah penekanan khusus terhadap penggunaan tatabahasa yang betul yang memerlukan murid mengeja, membaca dan menulis termasuk latih tubi membuat ejaan setiap hari,” jelasnya.
Tambahnya, adalah menjadi perkara biasa sekiranya sistem pendidikan di Malaysia untuk mengalih paradigma mengikut peralihan menteri yang baru menerajui kementerian pelajaran akan mengalih dasar-dasar yang dianggap perlu.
Namun nasihat beliau, bagi menteri yang berorentasikan aliran Melayu, tidak patut meniru atau mengubah sesuatu dasar misi, visi atau sesuatu piagam pelajaran yang diadakan di sekolah.
Ini kerana katanya lagi, setiap perubahan melibatkan beban kewangan kepada ibu bapa kerana terpaksa membeli buku-buku yang ditukar kepada edisi baru.
“Tanpa ibu bapa sedar, ada pihak-pihak yang mengaut keuntungan di sebalik setiap perubahan yang dibuat,” katanya.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s