Mohamad Ariffin bersama tetamu, guru dan murid pada Jamuan Hari Raya Prasekolah SK Paya Pasir.
CHENOR – Guru prasekolah diingatkan tidak mengambil mudah tugas mereka dalam menyerapkan elemen penting memupuk semangat sayang dan suka ke sekolah dalam kalangan murid.
Adun Chenor, Mohamad Ariffin Awang Ismail berkata, golongan itu memikul tanggungjawab penting bagi memastikan pembelajaran peringkat asas prasekolah berlangsung dengan sempurna.
Menurutnya, landskap pendidikan prasekolah adalah medium memperkembangkan kemahiran literasi untuk berinteraksi dengan rakan sebaya, dewasa, persekitaran dan bahan permainan selain untuk menjana perkembangan holistik.
“Keselamatan murid-murid ini ketika mengikuti pembelajaran termasuk melakukan aktiviti riadah dan permainan perlu diutamakan bagi mengelak insiden tidak diingini.
“Budak-budak biasalah kalau sudah dapat bermain dengan rakan, mereka tidak pedulikan keadaan sekeliling maka pengawasan penuh guru diperlukan,” katanya pada Majlis Jamuan Hari Raya Prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Pasir, di sini.
Hadir sama, Pegawai Prasekolah Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Maran, Idzahar Abu Bakar, Guru Besar SK Paya Pasir, Muhammad Abdullah dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Paya Pasir, Abdul Manan Mamat.
Mohamad Ariffin berkata, jurang perbezaan antara kanak-kanak di bandar dan luar bandar perlu didekatkan supaya mereka dapat menikmati kemudahan pendidikan berkualiti hasil pembangunan dan kemajuan negara.
Menurutnya, bagi memperkasakan pendidikan prasekolah, kurikulum dan garis panduan yang dibuat perlu diikuti semua tadika termasuk tadika swasta.