Murid SK Kiabau belajar di bawah bangunan sekolah disebabkan kekurangan kelas
19/09/2013 5:06pm
TELUPID – Sejumlah 27 murid Tahun Dua hingga Lima di Sekolah Kebangsaan Kiabau di sini terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa di bawah bangunan sekolah disebabkan masalah kekurangan kelas di sekolah itu.
Kelas tambahan di bawah bangunan papan setingkat itu dibina hasil inisiatif guru besar serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan akibat pertambahan pelajar setiap tahun.
Pengerusi PIBG sekolah, Peter Anun berkata pertambahan guru sebelum ini daripada enam kepada 12 orang sejak 2011 mendorong pihak sekolah untuk mewujudkan sebuah kelas mengikut tahun pelajar.
Menurutnya, pada masa sekarang hanya terdapat sebuah kelas di bangunan sedia ada di sekolah berkenaan, bagaimanapun, kelas itu terpaksa dibahagikan kepada dua bagi pembelajaran murid tahun satu dan tahun enam berjumlah 15 orang.
Katanya, pelajar tahun dua hingga tahun lima terpaksa meneruskan sesi pembelajaran mereka dengan kurang selesa di dalam kelas yang diwujudkan di bawah bangunan sekolah berkenaan sejak tiga tahun lepas.
Peter berkata, dua lagi kelas di bangunan sedia ada telah dijadikan sebagai bilik guru, Pusat Sumber dan bilik Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
“Perhatian khusus daripada Kementerian Pendidikan untuk mengatasi masalah itu perlu disegerakan bagi memastikan semua pelajar dapat belajar dalam keadaan selesa,” katanya. – Bernama
Seorang bapa murid di sekolah itu Japari Oyah mahu kerajaan memandang serius masalah dialami sekolah berkenaan. Menurutnya kelas di bawah bangunan sekolah bukan sahaja tidak selesa untuk murid belajar malah apabila banjir semua kemudahan yang ada akan rosak.
Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0919&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_14.htm#ixzz2fKa7t48S
Hakcipta terpelihara
Like this:
Like Loading...