Tangguh ambil alih tanah SRJK Chin Woo – Bernama


Tangguh ambil alih tanah SRJK Chin Woo
20 September 2013

KUALA LUMPUR – Kerajaan hari ini membuat keputusan untuk menangguhkan pengambilalihan tanah di dalam kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chin Woo di sini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata tanah seluas 0.169 hektar di dalam kawasan sekolah itu adalah milik kerajaan dan sepatutnya diambil oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan pada 24 Sept ini.

“Kita tangguhkan pengambilalihan tanah itu dan selepas tarikh tersebut tiada apa-apa tindakan penguatkuasaan akan diambil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-57 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan melancarkan Kamus Melayu Inggeris Dewan dan produk hasil pelesenan DBP di sini, hari ini.

Julai lalu Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berhasrat untuk mengambil tanah di dalam sekolah tersebut bagi membina Kampung Budaya menerusi projek Kota Warisan Kuala Lumpur yang bernilai RM32.5 juta.

Bagaimanapun keputusan itu mendapat bantahan daripada pelbagai pihak terutama ibu bapa kerana tanah berkenaan diguna sebagai gelanggang bola keranjang sejak 1938.

Sehubungan itu, Ali meminta ibu bapa agar tidak lagi bimbang tentang isu pengambilalihan tanah itu, sebaliknya berunding dengan pihak kerajaan.

“Kita masih ada ruang untuk rundingan membabitkan pihak ibu bapa, sekolah serta pejabat tanah dan galian Wilayah Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata proses rundingan akan dijalankan dalam masa terdekat namun tidak memberikan tempoh masa ia akan berlangsung.

Terdahulu dalam ucapannya, Ali berkata penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam, pendidikan, kewangan, kepenggunaan dan media massa akan terus dipertingkat.

Katanya langkah sama juga perlu dilakukan dalam sektor pelancongan dan kebudayaan, kerja raya, sumber manusia, sains, teknologi selain belia dan sukan.

“Bagi pihak kerajaan, pelbagai usaha telah dan sedang dilaksanakan dalam memartabatkan bahasa kebangsaan termasuklah program ‘Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris’.

“Pihak kerajaan juga telah mengeluarkan pekeliling mengenai langkah-langkah memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam,” katanya. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s