Budak lemas ketika menjaring ikan – Sinar Harian


Budak lemas ketika menjaring ikan
WARTAWAN SINAR HARIAN
22 September 2013

PUCHONG – Aktiviti menjaring ikan sekumpulan kanak-kanak di sebuah parit di Jalan Saujana Puchong 7 berakhir tragis apabila salah seorang daripada mereka lemas selepas dipercayai tergelincir ke dalam parit berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.41 petang itu, mangsa, Mohd Izwan Izuddin Yahya, 11, ke parit berkenaan bersama rakan-rakannya.

Ketua Balai Bomba Puchong, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Jafri Amat berkata, mangsa dipercayai cuba menjaring ikan dengan menenggelamkan kaki ke dalam parit setinggi lima meter itu sebelum dilaporkan tenggelam.

Mayat mangsa katanya, ditemui terapung di permukaan parit itu beberapa meter dari tempat dia dilaporkan tergelincir.

“Mangsa berkemungkinan tidak mengetahui kedalaman parit yang bersambung ke sungai itu. Mayatnya dihantar ke Hospital Serdang untuk bedah siasat,” katanya.

Dibelasah samseng jalanan – Metro


Dibelasah samseng jalanan

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

Kuala Lumpur: Seorang budak lelaki berusia 13 tahun cedera di kepala dan badan selepas dibelasah samseng jalanan yang memeras ugutnya di Taman Sri Sinar Segambut di sini, Jumaat lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam, mangsa yang bersendirian dalam perjalanan pulang ke rumahnya selepas menghadiri kelas tambahan.
Menurut sumber, mangsa dihampiri lelaki tidak dikenali berusia awal 20-an yang meminta wang daripadanya.

 

“Mangsa yang ketakutan memberitahu dia tiada wang sebelum terus berjalan.
“Suspek yang tidak berpuas hati menyerang mangsa. Mangsa mendakwa disepak dan ditumbuk lelaki terbabit lebih 10 minit,” katanya.
Samseng jalanan itu hanya berhenti memukul mangsa apabila melihat orang awam mula menghampiri kawasan itu untuk memberikan bantuan.

 

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Zakaria Pagan mengesahkan kejadian.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/22

Pelajar mati lemas selepas tergelincir ke Sungai Bidor – Utusan


Pelajar mati lemas selepas tergelincir ke Sungai Bidor

 

Oleh AIN SAFRE BIDIN

TELUK INTAN 22 Sept. – Seorang pelajar mati lemas selepas tergelincir ke dalam Sungai Bidor dalam kejadian di Changkat Jong dekat sini, hari ini.

Abdul Rahman Abd. Aziz, 13, yang berasal dari Kampung Ayer Hitam, dekat sini, dikatakan tergelincir selepas melihat rakan-rakannya mandi dari tebing sungai berkenaan.

Ketua Pasukan Bomba dan Penyelamat Zon Selatan. Abd. Samad Hashim berkata, kejadian berlaku pada pukul 12.15 tengah hari.

“Usaha mencari dan menyelamat melibatkan tujuh anggota bomba dan penyelamat dari Balai Tapah serta empat anggota Rela dan mayat ditemui pada pukul 4.27 petang.

“Mangsa ditemui tidak jauh dari tempat dia dilaporkan tergelincir dan mayat telah dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130922/je_09/Pelajar-mati-lemas-selepas-tergelincir-ke-Sungai-Bidor#ixzz2fdL9QIK4
© Utusan Melayu (M) Bhd