Betul-betul buat kejutan – Metro


Betul-betul buat kejutan

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

Seremban: Hasrat dua pelajar tingkatan empat melakukan kejutan meraikan hari jadi rakan sekelas bertukar tragedi apabila mereka maut selepas motosikal ditunggang hilang kawalan sebelum merempuh pokok dan terbabas ke longkang di Jalan Taman Tasek, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, Nurfarah Adila Md Azmi dan Nurul Isnaini Muhayuddin, masing-masing berusia 16 tahun yang menaiki motosikal Yamaha Nouvo S dan menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Pendeta Zaaba, di sini, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala dan badan.
Rakan mangsa, Puteri Lily Ayumi Aminuddin, 16, berkata, sebelum kejadian itu, dia bersama seorang lagi rakan, Nor Emilia Zulkifli, 16, menunggang motosikal Modenas Kriss mengekori kedua-dua mangsa ke Taman Tasik Jaya, di sini.

 

“Kami mahu melakukan kejutan menyambut hari jadi rakan sekelas di tingkatan 4 Fikri, Elly (Norelizah Zulkifli, 16) di Flat Seroja, di sini.
“Dalam perjalanan, Nurul Isnaini menunggang motosikal yang dipinjam dari rakan sekolah dengan laju dan menggunakan hanya sebelah tangan menyebabkan saya menegurnya kerana berbahaya.
“Namun, dia terus menunggang laju sehingga sampai di satu persimpangan sebelum gagal mengawal motosikal sehingga melanggar pembahagi jalan dan pokok sebelum terbabas ke longkang,” katanya yang memberitahu kedua-dua rakannya itu tidak memakai topi keledar.

 

FotoANGGOTA polis menutup mayat mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Sementara itu, Norelizah yang ditemui di tempat kejadian tidak menyangka kejutan hari jadi yang mahu dilakukan empat rakannya itu bertukar tragedi apabila dua daripada mereka meninggal dunia.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai sambutan ini kerana tidak dimaklumkan.

 

“Ketika waktu rehat, saya terkejut apabila Nurul Isnaini tiba-tiba memberikan wang RM1.50 sebagai belanja hari jadi saya.
“Saya tidak sangka itu pemberian terakhir daripada rakan karib saya,” katanya yang sedih dengan pemergian dua rakannya itu.
Ibu Nurul Isnaini, Siti Aishah Husin, 47, berkata, dia dan suami, Muhayuddin Sulaiman, 48, tidak tahu anak mereka menunggang motosikal kerana di rumah, dia dihalang berbuat demikian.
Katanya, suaminya sering melarang anaknya itu menunggang motosikal kerana tiada lesen memandu.
Siti Aishah yang juga kakitangan Bahagian Aset Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan berkata, dia tidak tahu Nurul Isnaini pulang awal dari sekolah, semalam, kerana kebiasaannya pada Selasa hingga Jumaat, anaknya itu dibenarkan pulang pada jam 4.30 petang.
“Hanya setiap Isnin, pelajar pulang pada jam 2.40 petang. Namun, hari ini (semalam), dia dibenarkan pulang awal,” katanya yang menghantar Nurul Isnaini setiap hari ke sekolah dari rumahnya di Taman Harmonium Utama, di sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Zainal Abu yang dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan sebelum terbabas.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/25

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s