Kuarters guru sarang maksiat – Sinar Harian


Kuarters guru sarang maksiat
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
27 September 2013
  • Kuarters guru sarang maksiatKeadaan kuarters terbiar sejak lebih lima tahun lalu.
< 1 / 2 >

SUNGAI PETANI – Keadaan 10 blok kuarters guru lima tingkat di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir membimbangkan penduduk berdekatan memandangkan ia telah dijadikan tempat lepak bagi golongan remaja melakukan perbuatan tidak berfaedah.

Penduduk, Yaakob Bakar, 58, berkata, kuarters yang mampu menempatkan kira-kira 100 keluarga dilihat tidak berpenghuni sejak lebih lima tahun walaupun dipercayai dilengkapi pelbagai kemudahan perabot, tempat letak kereta dan sebuah surau.

Beliau yang juga Bendahari Badan Kebajikan Islam Taman Semarak (Bakitas) berkata, keadaan menjadi semakin teruk apabila ia dipenuhi semak sementara perkakasan besi dan serpihan kayu perabot diambil orang disebabkan tiada sesiapa yang menjaga kuarters berkenaan.

“Kita selalu membuat rondaan dan adakala melihat beberapa individu atau berkumpulan keluar dari kawasan kuarters tidak kira siang atau malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, ia juga dikhuatiri menjadi sarang haiwan liar terutama ular kerana jaraknya terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan dua sekolah.

Sementara itu, Barkri Ahmad, 57, berkata, kuarters itu juga dilihat menjadi sarang maksiat bagi pasangan kekasih terutama pada waktu malam.

Dia yang juga ahli jawatankuasa Bakitas berkata, setelah bertahun-tahun ditinggalkan, kuarters itu kini dikhuatiri menjadi port lepak penagih dadah mahupun pelajar ponteng sekolah untuk melakukan kegiatan tidak bermoral.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Taman Semarak, Mohd Romaizi Mohd Ghazali berkata, blok berkenaan boleh menempatkan anggaran 500 ahli keluarga sekiranya dimanfaatkan sebaiknya.

“Apabila ditinggalkan, sistem perparitan tidak teratur, loji rosak, longkang bertakung yang boleh menyebabkan Aedes membiak, laluan kumbahan juga tersumbat tambahan pula penutup besi hilang, tidak tahu angkara siapa,” katanya.

Menurutnya, kuarters berkenaan sekiranya dapat dibaik pulih, boleh menempatkan pelajar asrama atau mana-mana pelajar pusat pengajian yang berhadapan masalah tempat tinggal.

“Ada kelebihannya juga sekiranya dijadikan tempat berteduh golongan miskin yang terbeban dengan masalah kewangan akibat taraf hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian yang meninjau lokasi kuarters tersebut semalam, terkejut apabila bertembung seorang penunggang motosikal dengan selamba keluar dari situ.

Siasatan ke lokasi turut menemui sebuah lagi motosikal yang diparkir di blok kelima kuarters dengan tiga topi keledar diletakkan di kawasan sama, bagaimanapun, tiada kelibat mana-mana individu kelihatan.

Sebaik tinjauan diteruskan, terdengar bunyi bising dari beberapa blok terakhir dipercayai perbuatan individu tertentu sedang mencungkil kayu atau besi yang terdapat dalam kuarters, besar kemungkinan untuk dijual bagi mendapatkan wang.

Sehubungan itu, Mohd Romaizi menggesa pihak berkaitan melakukan tindakan susulan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan membuat lawatan susulan tidak lama lagi.

Menurutnya, lawatan juga akan menjemput beberapa jabatan terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan beberapa pihak lain berkaitan.

“Saya akan melihat secara terperinci berhubung masalah ini dan kebimbangan yang disuarakan penduduk.

“Tambahan pula, ia melibatkan prasarana yang sudah dibina, berlaku pembaziran sekiranya dibiarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s