Remaja 14 tahun hamil, mangsa rogol – Sinar Harian


Remaja 14 tahun hamil, mangsa rogol
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2013

HULU SELANGOR – Bukan sekali dia jadi mangsa, tetapi remaja berusia 14 tahun itu dikatakan menjadi mangsa rogol lelaki hidung belang sehingga dia disahkan hamil.

Tembelang lelaki yang bekerja sebagai pemandu di sebuah pusat kesihatan itu pecah setelah sekali lagi didapati merogol remaja terbabit di sebuah stor di kawasan perindustrian di Hulu Yam pada 14 September lalu.

Menurut sumber, perbuatan terkutuk lelaki berusia 53 tahun itu terbongkar setelah bapa mangsa bersama penduduk kampung dan polis menyerbu stor simpanan peralatan jentera itu kira-kira jam 3.30 pagi hari tersebut.

Lelaki terbabit kini direman di Penjara Sungai Buloh dan sedang menjalani prosiding perbicaraan di mahkamah.

Beberapa sumber daripada penduduk kampung turut memberitahu, suspek yang sudah berumah tangga itu telah merogol remaja terbabit kali pertama pada tahun 2012 dan berterusan tanpa diketahui ahli keluarganya.

Mangsa kini disahkan mengandung antara tiga atau lima bulan.

Malah, lebih mengejutkan apabila suspek didakwa pernah melakukan perbuatan sama terhadap ramai wanita.

Seorang penduduk kampung turut mengakui suspek pernah menunjukkan wajah-wajah wanita yang telah menjadi pemuas nafsunya.

“Seorang wanita yang menjadi mangsanya dan sarat mengandung pernah datang ke rumahnya menuntutnya bertanggungjawab tetapi malangnya dia dihalau begitu saja.

“Selain remaja, anak dara dan janda warga tempatan, dia juga pernah ‘memerangkap’ wanita warga asing,” kata sumber.

Menurut sumber sama, disebabkan sikap buruk suspek yang tidak disenangi rakan-rakan tempatnya bertugas, dia pernah beberapa kali dipindahkan bertugas di tempat berlainan.

Sinar Harian turut mendapat maklumat bahawa suspek juga merupakan pemimpin penting di peringkat bawah sebuah parti politik dan dikatakan masih memegang jawatan itu ketika ini.

Suspek turut menjadi pengerusi sebuah surau, memegang beberapa jawatan penting di peringkat kampung dan taman perumahan, menjaga peti undi parti dan pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

Hilang tangan kanan dalam mesin – Sinar Harian


Hilang tangan kanan dalam mesin
MUHAYUDIN SALLEH
27 September 2013
  • Hilang tangan kanan dalam mesinMuhammad Faiz (kiri) hilang tangan kanan namun tetap mahu bekerja untuk menyara emak dan adik-adiknya yang masih bersekolah.
< 1 / 1 >

ROMPIN – Seorang remaja lelaki Orang Asli yang menetap di Buluh Nipis, di sini  nyaris maut dalam mesin pemecah batu ketika sedang bekerja di sebuah kilang kuari di Paloh Hinai, Pekan, Julai lalu.

Muhammad Faiz Abdullah, 16, berkata, kejadian itu menyebabkan dia kudung tangan kanan akibat tersepit pada mesin tersebut.

“Ketika kejadian, ada batu tersangkut pada mesin itu, jadi saya cuba alihkan batu berkenaan untuk menggerakkan mesin.

“Selepas itu, mesin bergerak secara tiba-tiba menyebabkan tangan saya tersepit. Saya nyaris maut kalau lambat bertindak kerana mungkin seluruh anggota badan tersepit dan termasuk ke dalam mesin itu,” kata anak keempat daripada sembilan beradik itu.

Sejurus itu katanya, rakan sekerja menghantarnya ke Hospital Kuantan dan dimasukkan ke wad selama sembilan hari dan seterusnya dimasukkan ke Hospital Muadzam Shah, di sini selama tiga hari.

“Kos rawatan kira-kira RM4,000 ditanggung syarikat kuari terbabit dan saya ada buat tuntutan insurans tapi sehingga kini masih belum dapat kepastian sama ada permohonan diluluskan atau tidak.

“Saya akan mula bekerja pada bulan depan di tempat sama, cuma saya akan diberi tugas bersesuaian dengan keadaan saya sekarang yang tergolong sebagai orang kurang upaya. Insya-Allah saya akan cuba sesuaikan diri,” katanya.

Sementara itu, emaknya, Tiling Kubeh, 53, berkata, anaknya itu tidak bersekolah sejak tingkatan satu kerana mahu membantunya mencari nafkah untuk menanggung keluarga.

“Saya ada nasihatkan Muhammad Faiz supaya bersekolah tetapi dia menolak kerana kasihankan saya dan adik-adiknya,” katanya.

Menurut Tiling, anaknya itu tetap mahu bekerja untuk menanggung lima adiknya yang masih bersekolah.

“Saya terlalu sedih dengan kejadian yang menimpa Muhammad Faiz. Dia anak yang baik kerana sanggup berkorban demi keluarga namun kami reda dengan dugaan yang menimpanya,” katanya.

Selepas kejadian itu katanya, dia tidak membenarkan anaknya itu bekerja lagi namun Muhammad Faiz tetap mahu mencari duit untuk membantu keluarga memandangkan mereka hanya bergantung dengan wang Risda sebanyak RM450 sebulan.

“Dia seorang anak yang bertanggungjawab, mungkin ada hikmah di sebalik dugaan yang menimpa kami sekeluarga,” katanya yang masih belum menerima bantuan daripada mana-mana pihak.

Mengaku salah cabul anak tiri – Sinar Harian


Mengaku salah cabul anak tiri
WARTAWAN SINAR HARIAN
27 September 2013

KUANTAN – “Biarlah orang nak kata saya salah. Saya nak ajar dia,” kata seorang pemandu lori yang mengaku bersalah atas tuduhan mencabul anak tirinya di Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Mohd Nasir Abd Manaf, 34, ketika ditanya Majistret dalam kandang tertuduh berkata, dia mahu mengajar anak tirinya yang berusia 14 tahun kerana tidak mendengar kata selepas dipukul.

Tertuduh mengaku melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Taman Indera Semporna dalam tempoh empat bulan.

Majistret Noor Zaihan Mohamed Ali menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan RM2,000 denda dan dua bulan penjara jika gagal membayar denda.

Menurut fakta kes, mangsa diperlakukan tertuduh sejak November tahun lalu sehingga Mac lepas dengan meraba seluruh badan mangsa beberapa kali dan tertuduh ditangkap pada 22 Jun lalu pada jam 2.30 petang.

Noor Zaihan bagaimanapun, menasihatkan tertuduh supaya tidak melakukan kesalahan itu dan insaf selepas menerima hukuman penjara.

“Saya harap kamu tidak ulangi lagi kesalahan ini. Perbuatan kamu ini sungguh jijik. Dalam penjara nanti kamu berfikir dan insaf,” katanya.

Timbalan Pendakwaraya, Farahah Ahmad Nazari dalam pendakwaannya meminta tertuduh dikenakan hukuman setimpal dengan perbuatannya kerana membabitkan anak tiri walaupun tertuduh tidak mempunyai rekod lampau.

Kuarters guru sarang maksiat – Sinar Harian


Kuarters guru sarang maksiat
SITI ZUBAIDAH ZAKARAYA
27 September 2013
  • Kuarters guru sarang maksiatKeadaan kuarters terbiar sejak lebih lima tahun lalu.
< 1 / 2 >

SUNGAI PETANI – Keadaan 10 blok kuarters guru lima tingkat di belakang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Pasir membimbangkan penduduk berdekatan memandangkan ia telah dijadikan tempat lepak bagi golongan remaja melakukan perbuatan tidak berfaedah.

Penduduk, Yaakob Bakar, 58, berkata, kuarters yang mampu menempatkan kira-kira 100 keluarga dilihat tidak berpenghuni sejak lebih lima tahun walaupun dipercayai dilengkapi pelbagai kemudahan perabot, tempat letak kereta dan sebuah surau.

Beliau yang juga Bendahari Badan Kebajikan Islam Taman Semarak (Bakitas) berkata, keadaan menjadi semakin teruk apabila ia dipenuhi semak sementara perkakasan besi dan serpihan kayu perabot diambil orang disebabkan tiada sesiapa yang menjaga kuarters berkenaan.

“Kita selalu membuat rondaan dan adakala melihat beberapa individu atau berkumpulan keluar dari kawasan kuarters tidak kira siang atau malam,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, ia juga dikhuatiri menjadi sarang haiwan liar terutama ular kerana jaraknya terlalu hampir dengan kawasan perumahan dan dua sekolah.

Sementara itu, Barkri Ahmad, 57, berkata, kuarters itu juga dilihat menjadi sarang maksiat bagi pasangan kekasih terutama pada waktu malam.

Dia yang juga ahli jawatankuasa Bakitas berkata, setelah bertahun-tahun ditinggalkan, kuarters itu kini dikhuatiri menjadi port lepak penagih dadah mahupun pelajar ponteng sekolah untuk melakukan kegiatan tidak bermoral.

Sementara itu, Ketua Umno Cawangan Taman Semarak, Mohd Romaizi Mohd Ghazali berkata, blok berkenaan boleh menempatkan anggaran 500 ahli keluarga sekiranya dimanfaatkan sebaiknya.

“Apabila ditinggalkan, sistem perparitan tidak teratur, loji rosak, longkang bertakung yang boleh menyebabkan Aedes membiak, laluan kumbahan juga tersumbat tambahan pula penutup besi hilang, tidak tahu angkara siapa,” katanya.

Menurutnya, kuarters berkenaan sekiranya dapat dibaik pulih, boleh menempatkan pelajar asrama atau mana-mana pelajar pusat pengajian yang berhadapan masalah tempat tinggal.

“Ada kelebihannya juga sekiranya dijadikan tempat berteduh golongan miskin yang terbeban dengan masalah kewangan akibat taraf hidup yang semakin meningkat,” katanya.

Sementara itu, Sinar Harian yang meninjau lokasi kuarters tersebut semalam, terkejut apabila bertembung seorang penunggang motosikal dengan selamba keluar dari situ.

Siasatan ke lokasi turut menemui sebuah lagi motosikal yang diparkir di blok kelima kuarters dengan tiga topi keledar diletakkan di kawasan sama, bagaimanapun, tiada kelibat mana-mana individu kelihatan.

Sebaik tinjauan diteruskan, terdengar bunyi bising dari beberapa blok terakhir dipercayai perbuatan individu tertentu sedang mencungkil kayu atau besi yang terdapat dalam kuarters, besar kemungkinan untuk dijual bagi mendapatkan wang.

Sehubungan itu, Mohd Romaizi menggesa pihak berkaitan melakukan tindakan susulan bagi mengatasi masalah berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, pihaknya telah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan membuat lawatan susulan tidak lama lagi.

Menurutnya, lawatan juga akan menjemput beberapa jabatan terlibat termasuk Jabatan Kerja Raya, Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan beberapa pihak lain berkaitan.

“Saya akan melihat secara terperinci berhubung masalah ini dan kebimbangan yang disuarakan penduduk.

“Tambahan pula, ia melibatkan prasarana yang sudah dibina, berlaku pembaziran sekiranya dibiarkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Penolong Pengetua Disiasat Kerana Tegur Pelajar “Balik India, China” – mStar


Penolong Pengetua Disiasat Kerana Tegur Pelajar “Balik India, China”

Oleh TASHNY SUKUMARAN

PETALING JAYA: Seorang penolong pengetua di sebuah sekolah menengah disiasat atas dakwaan menegur sebahagian pelajarnya supaya “balik India, China.”

Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan berkata, kementerian sedang menunggu laporan berhubung perkara itu daripada para pegawainya yang mengendalikan kes berkenaan.

“Jika didapati dakwaan itu adalah benar, maka kementerian akan mengambil tindakan yang sewajarnya,” katanya kepada The Star Online.

Guru terbabit didakwa berang selepas sebahagian pelajar tidak turut serta menyanyi lagu Negaraku semasa perhimpunan mingguan di SMK Engku Husain di Semenyih, Kajang beberapa hari lalu.

Pengetua sekolah, Abdul Ghafar Kunchi Mohd memberitahu The Star Online bahawa sekolah tersebut sudah melaporkan perkara itu kepada kementerian dan Jabatan Pelajaran Selangor.

Beliau berkata, satu mesyuarat diadakan pada Khamis mengenai perkara itu bersama wakil kementerian dan wakil Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) di mana ia turut disertai beliau dan penolong pengetua terbabit.

Beliau enggan mengulas lanjut dan memberitahu bahawa perkara tersebut kini dikendalikan oleh kementerian.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan mengecam tindakan guru-guru yang merasakan sesuatu yang boleh diterima dengan memberitahu para pelajar supaya pulang ke negara asal nenek moyang mereka.

“Pada pendapat saya, mereka perlu dilatih semula untuk mempelajari tentang kelakukan yang sepatutnya diamalkan membabitkan guru dan pelajar,” katanya.

Ali berkata, guru-guru dan pendidik-pendidik yang didapati mencetuskan perkauman dalam pendidikan seharusnya ingat tentang peranan mereka memberi panduan kepada pelajar.

“Semangat bangsa Malaysia sepatutnya disemai dalam diri mereka, supaya ia dapat dimaklumkan kepada pelajar berbanding mencetuskan isu perkauman.”

Beliau berkata, pendidik yang mencetuskan isu perkauman perlu diatasi tanpa mempedulikan apakah jawatannya sekalipun.

Kejadian yang berlaku selepas beberapa insiden yang berbaur perkauman yang melibatkan beberapa sekolah, termasuk satu kes pada Ogos lalu apabila seorang pengetua sekolah di Shah Alam memohon maaf kepada para pelajar kerana memberitahu mereka supaya “balik ke India, China atau Indonesia”.

Satu lagi kes apabila SK Seri Pristana, di mana guru besarnya, Mohd Nasir Mohd Noor dituduh bersifat rasis selepas pelajar bukan Islam didapati makan di bilik persalinan pada bulan Ramadan.

St John Ambulans SMK Sultan Abu Bakar lakar kejayaan di Hong Kong – Bernama


St John Ambulans SMK Sultan Abu Bakar lakar kejayaan di Hong Kong

 

27/09/2013 10:33am

 

KUANTAN – Pasukan kadet St John Ambulans Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, Kuantan muncul juara dalam dua

daripada empat kategori yang dipertandingkan pada program EAGLE di Hong Kong baru-baru ini.

St John Ambulans SMK Abu Bakar yang diwakili 34 pelajar dan tiga guru itu

memenangi kategori Pasukan Ambulans Dewasa dan Pasukan Perawatan Dewasa.

Penyelaras Kebitaraan Kokurikulum SMK Sultan Abu Bakar, Chong Boon Weng berkata, aktiviti di bawah ‘Program Pertukaran Belia’ itu berlangsung dari 10 hingga 17 Sept di St Tower Hong Kong.

Beliau berkata, program itu merupakan projek sekolah kluster kecemerlangan antara Malaysia dan Hong Kong.

“Tujuh pasukan dari Hong Kong menyertai program itu, manakala SMK Sultan Abu Bakar Kuantan mewakili Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini.

Program EAGLE bertujuan melonjakkan kebitaraan kadet St John Ambulans dalam membangunkan sikap ahli-ahli ke arah kecemerlangan seperti dedikasi, kepimpinan pasukan, kerjasama dan disiplin.

“Youth Exchange Programme itu adalah aktiviti tahunan St John Ambulans

Malaysia dan ini merupakan program kali kedua selepas program sama diadakan di Singapura pada Ogos tahun lepas,” katanya. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm#ixzz2g5mRaw9q
Hakcipta terpelihara

Suara ghaib suruh pelajar terjun bangunan – Metro


Suara ghaib suruh pelajar terjun bangunan

 76  4 Google +0  0  0

Kuantan: “Saya terkejut apabila keadaan sekolah tiba-tiba kecoh dan beberapa pelajar bertempiaran lari sambil menjerit-jerit sehingga menakutkan pelajar lain,” kata seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira, di sini, menceritakan kejadian 70 pelajar diserang histeria petang semalam.

Menurut pelajar itu yang enggan namanya disiarkan, melihat keadaan tidak terkawal, seorang guru melaungkan azan, namun pelajar menjadi lebih agresif dan marah sambil mengeluarkan perkataan yang sukar difahami.

Dia berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, beberapa guru menangkap pelajar yang histeria dan menempatkan mereka dalam makmal komputer untuk mengelak kejadian tidak diingini.

“Kakak saya turut histeria dan saya melihat dia terbaring sambil meracau-racau. Apabila saya memanggilnya, dia mempamerkan wajah bengis.

 

FotoDUA pelajar SMK Tok Sira terbaring selepas diserang histeria.

“Bagaimanapun keadaan reda selepas pihak sekolah memanggil seorang ustaz bagi memulihkan mereka, namun saya tetap bimbang keadaan ini berulang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.
Bapa seorang mangsa, Saifullizan Abdullah, 38, berkata, kejadian histeria di sekolah itu cukup membimbangkan kerana ada yang mendakwa ketika dirasuk, mendengar bisikan menyuruh mereka terjun dari bangunan.

 

Dalam kejadian semalam, dua anaknya, Emy Syazana, 16, dan Norsyafikah, 13, mengalami histeria dan dia terus ke sekolah selepas dimaklumkan.
“Saya difahamkan kejadian histeria ini sudah beberapa kali berlaku sebelum ini,” katanya.
“Lebih membimbangkan apabila dirasuk, ada pelajar mendakwa mendengar bisikan menyuruh mereka terjun dari bangunan sekolah,” katanya.
Sekolah berkenaan pernah merekodkan kejadian dua pelajar terjun dari bangunan pada Mei dan awal bulan lalu dengan seorang daripadanya maut manakala seorang lagi masih koma di Hospital Tengku Ampuan Afzan.
Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan kejadian itu daripada pihak sekolah sebelum sebarang tindakan diambil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/27

Terpaksa berkhatan – Metro


Terpaksa berkhatan

 3930  122 Google +5  4  3

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

Kuala Lumpur: Seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun terpaksa menjalani pembedahan selepas kemaluannya membengkak dan sel kulit rosak akibat diikat dengan getah oleh rakan sekolah selama lebih empat jam.

Akibat kejadian Isnin lalu itu, Aqil Danish Yusri, murid tahun satu sebuah sekolah swasta di Taman Sri Gombak, dekat ini, juga terpaksa dikhatankan doktor bagi ‘menyelamatkan’ anggota sulitnya.

Ibu kanak-kanak itu yang mahu dikenali sebagai Salina, 35, berkata, pembedahan dilakukan selama lebih dua jam di Hospital Ampang Putri, pagi semalam dan kini anaknya masih berada di bawah pemerhatian doktor.

Menceritakan kejadian itu, Salina berkata, kira-kira jam 5 petang Isnin lalu Aqil Danish pulang dari sekolah ke rumah mereka di Tamn Sri Gombak seperti biasa, namun dia mendapati anaknya itu tidak bermaya dan kerap ke tandas.

FotoAQIL Danish terpaksa dibedah bagi menyelamatkan anggota sulitnya.

“Pelik dengan sikapnya, saya bertanya sama ada dia sakit atau demam, namun Aqil hanya memberitahu dia berasa seperti hendak demam,” katanya ketika ditemui, semalam.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/27

SEMAKAN LOKASI PUSAT SESI SERLAHAN SENI PENGAMBILAN MURID KE SEKOLAH SENI MALAYSIA AMBILAN 2014.


SEMAKAN LOKASI PUSAT SESI SERLAHAN SENI PENGAMBILAN MURID KE SEKOLAH SENI MALAYSIA AMBILAN 2014.

27 September 2013

Berikut adalah maklumat berkaitan Sesi Serlahan Seni Pengambilan murid ke Sekolah Seni Malaysia ambilan 2014 untuk makluman calon :

  • Jadual lokasi Pusat Sesi Serlahan Seni untuk Negeri Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Putrajaya.
  • Kriteria pemarkahan Bidang Seni :
  1. Muzik
  2. Tari
  3. Visual
  4. Teater
  • Rubrik Bidang Teater

Maklumat lanjut sila rujuk lampiran disertakan.

 

Muat Turun
Markah Muzik
Markah Tari
Markah Visual
Markah Teater
Rubrik Teater
Jadual Lokasi

Terharu bantuan orang ramai – Metro


Terharu bantuan orang ramai

 0  14 Google +1  0  0

Petaling Jaya: Ibu kepada gadis yang ditemui semula malam kelmarin selepas menghilangkan diri sejak Sabtu lalu terharu dengan pertolongan orang ramai dan mengucapkan terima kasih untuk usaha itu.

Rosziana Mohamed, 47, berkata dia bagaikan mendapat nyawa apabila anak bongsunya pelajar tingkatan tiga, Ayza Nazira Zulfazli, 15, yang menghilangkan diri dari rumahnya di Damansara Perdana, di sini sejak Sabtu lalu pulang semula ke rumah, kira-kira jam 9.50 malam kelmarin.
Ayza yang bakal menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) awal bulan depan dikatakan menghilangkan diri dari rumah menyebabkan satu laporan polis berhubung kehilangannya dibuat Ahad lalu.

 

Dia dikatakan ditemui orang ramai ketika bersembunyi dalam tandas sebuah pasar raya berhampiran kediaman keluarganya itu. Difahamkan, kerana tertekan dengan PMR yang bakal tiba menyebabkan gadis itu melarikan diri.
Sebelum ini, Rosziana merayu anak bongsunya itu pulang ke pangkuan keluarga kerana bimbang akan keselamatan anaknya itu.
“Kesan penyebaran berita yang meluas adalah faktor utama anak saya ditemui semula. Ini termasuk di laman sosial serta usaha menampal ratusan risalah terkandung gambar adik (nama manja Ayza Nazira).

 

“Sebelum ini, hati kami kuat mengatakan anak saya berada tidak jauh dari kediaman kami. Tetapi kami sekeluarga tidak mempunyai sebarang petunjuk di mana.
“Saya bersyukur apabila anak saya ditemui,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/25