‘Guru’ perlu mohon jawatan – Metro


‘Guru’ perlu mohon jawatan

 1288  4 Google +1  2  2

Oleh Erdiehazzuan Ab Wahid

Kota Kinabalu: Graduan pendidikan yang menamatkan pengajian di institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) perlu mengemukakan permohonan jawatan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG 41 kepada pihak berkuasa.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, prosedur penempatan secara automatik selepas tamat pengajian tidak lagi dilaksanakan bertujuan bagi memastikan pelantikan guru baru yang dipilih adalah calon berkualiti.
“Sejak tahun lalu, semua graduan pendidikan yang menamatkan pengajian di IPTA dan IPGM perlu mengemukakan permohonan jawatan berkenaan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) di mana mereka perlu menjalani penilaian serta temuduga.

 

“Berhubung perkara ini, Kementerian Pendidikan Malaysia sudah selesai menguruskan pelantikan dan penempatan graduan keluaran 2012 di mana sejumlah 7,607 graduan yang berjaya dalam temuduga dan Penilaian Khas SPP sudah dilantik sebagai PPPS DG41 pada 1 Julai lalu,” katanya pada majlis perjumpaan khas bersama warga Institut Pendidikan Guru Malaysia Kampus Zon Sabah di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah, semalam.
Hadir sama, Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman dan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Jame Alip.
Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan berkata, kementeriannya sedang bekerjasama dengan SPP bagi melaksanakan urusan temuduga graduan yang menamatkan pengajian keluaran 2013 pada bulan Jun hingga Ogos lalu membabitkan 9,387 orang. Sementara itu, dalam sidang media, Muhyiddin berkata, kementeriannya akan memberi peranan lebih besar kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah dalam melaksanakan projek pembangunan sekolah.

 

Katanya, keputusan itu dibuat bagi memastikan segala projek yang dirancang dapat dilaksanakan dan disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Perkara ini sudah dibangkitkan kerajaan negeri dan oleh sebab itu, kita sudah berbincang di peringkat kementerian dan bersetuju menurunkan kuasa di peringkat negeri untuk Sabah dan Sarawak.

 

“Ini kerana Sabah dan Sarawak mempunyai kawasan luas, banyak perkara perlu diuruskan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, Barisan Nasional sudah bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Limau, Kedah dan hanya menunggu tarikh pengundian yang akan ditetapkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia.
“Saya sudah meminta Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Mahathir untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa jentera yang digerakkan mulai sekarang bagi menghadapi PRK itu nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/01

Pergi sekolah naik kereta api – Metro


Pergi sekolah naik kereta api

 234  15 Google +0  0  0

Oleh Noriah Idris

Gua Musang: Selain peraih ‘nomad’ dalam paparan semalam, golongan pelajar dan guru di daerah Gua Musang, Kelantan turut menggunakan perkhidmatan kereta api antara bandar untuk ke sekolah berhampiran dengan kebanyakannya dari perkampungan sekitar iaitu Kemubu, Kuala Geris, Bukit Abu dan Kampung Durian Badak.

Wajah Kehidupan menjejak kesungguhan pelajar dan guru menaiki kereta api untuk ke sekolah pada awal pagi ketika ramai masih nyenyak diulit mimpi.

Demi mencapai cita-citanya menjadi pegawai polis satu hari nanti, Muhammad Asyraaf Nasution, 15, tidak kisah bangun awal dan menaiki kereta api pada jam 5 pagi untuk ke sekolahnya di daerah ini.

Anak ketiga daripada empat beradik ini sedar kemiskinan ibu bapa yang hanya bekerja sebagai penoreh getah membuatkan dia perlu belajar bersungguh-sungguh bagi mengubah nasib keluarga.

FotoPELAJAR menaiki kereta api untuk ke sekolah.

“Setiap hari, saya dan adik bongsu bangun pada jam 4 pagi untuk ke sekolah. Mak menyediakan sarapan awal pagi supaya memastikan saya kenyang dan belajar dalam keadaan selesa.
“Sementara saya dan adik ke sekolah, mak dan ayah serta kebanyakan penduduk di sini pergi menoreh sebagai sumber pendapatan keluarga.

“Bagi mengubah nasib keluarga, saya perlu belajar bersungguh-sungguh walaupun berulang-alik ke sekolah menaiki kereta api,” katanya yang belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Dabong.

Bagi rakannya, Mohd Fadli Mohd Noor, 15, menaiki kereta api bersama rakan sekampung menyeronokkan walaupun terpaksa bangun awal pagi untuk bersiap-siap ke sekolah.

Walaupun ibunya suri rumah manakala bapa penoreh getah, kedua-duanya amat mementingkan pelajaran buat anak-anak serta mahu mereka berjaya dalam pelajaran.

“Setiap hari saya berjanji pada diri untuk berjaya dalam apa yang diidamkan. Untuk itu, sepanjang menaiki kereta api ini jika ada masa terluang saya akan mengulang kaji pelajaran kerana perjalanan menggunakan kereta api agak lama.

“Lagipun, saya bercita-cita bergelar usahawan berjaya apabila dewasa kelak kerana mahu mengikut jejak langkah abang sulung yang menjadi idola kerana dia kontraktor berjaya.

“Di sekolah pula, saya aktif dalam pelbagai aktiviti dan kokurikulum. Bagi saya ia penting kerana mendedahkan diri dengan pengalaman bermakna apabila keluar daripada alam persekolahan kelak,” katanya.

Sementara itu, pelajar tingkatan empat sekolah berkenaan, Nurul Fatihah Muhamad, 16, berkata, pengalaman pernah ketinggalan kereta api untuk ke sekolah kerana terlewat bangun menjadi pengajaran buatnya.

Katanya, bapanya terpaksa menunggang motosikal menghantarnya sedangkan perjalanan agak jauh serta terpaksa melalui jalan kampung selain dirinya dipersoalkan kerana lewat tiba.

“Sebagai anak bongsu daripada lapan beradik, saya perlu belajar bersungguh-sungguh kerana mahu membuktikan kepada masyarakat yang anak kampung juga boleh melakar kejayaan dalam hidup,” katanya.

“Saya sanggup belajar dan mengulang kaji pelajaran hingga lewat malam dan seterusnya bersiap-siap ke sekolah pada jam 3 pagi demi meraih kejayaan cemerlang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/30

Didik hormati Jalur Gemilang – Metro


Didik hormati Jalur Gemilang

 0  0 Google +0  0  0

Kita boleh mengukur sejauh manakah tahap patriotisme rakyat Malaysia dengan memerhatikan sikap mereka terhadap lagu kebangsaan dan bendera negara. Sejak di bangku sekolah kita didedahkan nyanyian lagu Negaraku dan cara mengibarkan Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, tempoh masa bagi mendidik generasi muda mengenai dua simbol maruah negara itu singkat iaitu selama kira-kira 12 tahun mengambil kira peringkat persekolahan rendah dan menengah. 

 

Jika hendak mengharapkan pendedahan di sekolah, ia belum mencukupi kerana seorang pelajar hanya menyanyikan lagu kebangsaan seminggu sekali itu pun sekiranya perhimpunan diadakan. Selepas waktu sekolah jarang sekali pelajar bersua dengan lagu kebangsaan melainkan jika menghadiri majlis rasmi anjuran kerajaan. 

Apabila seorang pelajar meningkat dewasa seperti memasuki menara gading maka kekerapan mereka menyanyikan lagu Negaraku semakin berkurangan kerana jarang sekali mahasiswa terbabit dalam sesi perhimpunan.

Kalau ada kesempatan pun ketika mereka mengikuti program kenegaraan anjuran Biro Tatanegara atau menjadi penonton perlawanan bola sepak di stadium.

Denda 

Oleh yang demikian langkah kerajaan mewajibkan setiap pawagam memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan sesebuah filem baru-baru ini satu perkara yang boleh kita renungi bersama. Langkah diambil kerajaan itu tidak perlu dipersoalkan kerana satu kaedah bagi mendidik perasaan cintakan negara. 

Pawagam lokasi sosial yang menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira usia, pangkat dan bangsa. 

Boleh dikatakan majoriti pengunjung pawagam warganegara Malaysia dan ini satu peluang untuk menyemai kesedaran menghormati lagu kebangsaan. 

Walaupun tempoh pelaksanaan arahan menyanyikan lagu Negaraku selama seminggu, tetapi tempoh ini memberi ruang kepada pihak kerajaan untuk menilai keberkesanannya sebelum satu garis panduan yang tetap dikeluarkan. 

Bagi memelihara kemuliaan lagu Negaraku, kerajaan menggubal Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang antara lain memperincikan hukuman yang bakal dikenakan kepada individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan. 

Salah satu perkara termaktub dalam akta berkenaan ialah hukuman dalam bentuk denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak lebih satu bulan sekiranya didapati tidak menghormati lagu kebangsaan. 

Ada kemungkinan ramai yang tidak menyedari perkara ini hingga ada dilaporkan baru-baru ini terdapat pengunjung ditegur oleh pengurusan pawagam kerana tidak berdiri menyanyikan lagu Negaraku. Memandangkan perkara ini serius maka kerajaan perlu menyebarkan penerangan berhubung kewajipan mematuhi Akta Lagu Kebangsaan. 

Laksana kempen 

Jadikan kempen menerusi media cetak dan elektronik mengenai etika menghormati lagu kebangsaan sebagai satu langkah permulaan. 

Berhubung kes penghinaan bendera Jalur Gemilang oleh rakyat negara ini pula ia satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. 

Seorang warga negara yang bermaruah sudah pasti tidak akan tergamak merendah-rendahkan bendera sebagai lambang kemegahan dan kemuliaan sebuah negara berdaulat. 

Sepatutnya rakyat Malaysia tidak menjadikan bendera sebagai objek untuk meluahkan emosi terpendam hingga sanggup mendesak bendera Jalur Gemilang ditukar dengan bendera yang lain. 

Sekali lagi ditegaskan bahawa senario ini mungkin berpunca daripada kurangnya pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia aspek perundangan seperti Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949. 

Dengan perkembangan kepesatan teknologi dan gaya pemikiran rakyat Malaysia yang semakin ke hadapan menuntut pihak kerajaan mengkaji semula beberapa hukuman yang terkandung dalam akta berkenaan supaya dapat diperketatkan. 

Andainya usaha mendidik rakyat menghormati bendera dan lagu kebangsaan menerusi kempen nampak tidak cukup berkesan maka penguatkuasaan undang-undang yang tiada kompromi adalah penyelesaiannya. 

Penulis berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Multimedia

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/30

Korban nyawa selamat adik – Metro


Korban nyawa selamat adik

 1659  61 Google +0  0  1

Oleh Iskandar Shah Mohamed

Jasin: “Sejurus Abang Lang (arwah) berjaya menolak tubuh saya ke tebing, saya yang masih tercungap-cungap berpaling semula ke belakang dan terkejut melihat dia tiada,” kata Muhammad Aliff Najmi Anuar, 13, adik kepada seorang kakitangan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), yang lemas ketika cuba menyelamatkannya di Air Terjun Asahan, dekat sini, semalam.

Lebih memilukan apabila mangsa, Muhammad Khidil Ismaet, 25, dikatakan baru mendirikan rumah tangga awal bulan ini dan pulang berbulan madu di luar negara dengan pasangannya, Syakila Zakaria, 26.

Difahamkan, dalam kejadian jam 10.20 pagi, mangsa cuba membantu Aliff yang terjatuh akibat tergelincir ketika mandi di kawasan air terjun itu, namun dia dipercayai terperangkap dan lemas dalam pusaran air sedalam kira-kira tujuh meter.

Anggota bomba yang terpaksa meminta bantuan Unit Skuba berjaya membawa keluar Mayat anak ketiga daripada enam beradik itu dihantar ke Hospital Tangkak, Johor, untuk bedah siasat.

FotoANGGOTA bomba mengusung keluar jenazah mangsa, semalam.

Ketika ditemui di pekarangan bilik mayat hospital, Aliff yang menetap di Kuala Lumpur berkata, dia sekeluarga termasuk arwah tiba di kampung mereka di Kampung Bekoh, Johor, untuk bercuti, petang kelmarin.
“Pagi tadi (semalam), Abang Lang beriya-iya mengajak mandi di Air Terjun Asahan, sedangkan dia tidak berbuat demikian selama ini.

“Saya bersetuju kemudian pergi ke air terjun itu bersama Abang Lang dan kakak ipar (Syakila). Kami tiba di kawasan itu, kira-kira jam 9 pagi,” katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.

Menurut pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai, Kuala Lumpur itu, dia yang sedang mandi kemudian tergelincir akibat terpijak batu licin lalu terjatuh ke kawasan agak dalam.

“Saya yang ketika itu sudah kelemasan menjerit meminta tolong dan disedari arwah yang segera terjun menyelamatkan saya dengan menolak saya ke tebing.

“Pada waktu itu, saya menyangka dia akan mengikut di belakang, namun terkejut apabila melihat dia tiada,” katanya.

Kata Aliff, kakak iparnya sempat melihat mangsa terkapai-kapai sebelum tenggelam.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/30

Remaja maut motosikal rempuh treler akibat terlelap – Utusan


Remaja maut motosikal rempuh treler akibat terlelap

 

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMED

BATU PAHAT 1 Okt. – Seorang remaja maut dipercayai akibat terlelap sehingga menyebabkan motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah treler yang berhenti di tepi jalan di Kilometer 31, Jalan Kluang-Ayer Hitam di sini awal pagi ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, kemalangan berlaku pukul 1.40 pagi ketika mangsa, Mohamad Nashafiszul Naszerian, 16, dalam perjalanan pulang ke rumah bersama seorang rakannya.

“Akibat rempuhan itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami cedera parah manakala rakannya yang membonceng di belakang hanya mengalami cedera ringan dan dibawa orang ramai untuk dirawat di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) di sini,” katanya di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_20/Remaja-maut-motosikal-rempuh-treler-akibat–terlelap#ixzz2gTTEMIDW
© Utusan Melayu (M) Bhd

462,940 calon duduki PMR mula Rabu – Utusan


462,940 calon duduki PMR mula Rabu

 

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA 1 Okt. – Sebanyak 462,940 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang berdaftar untuk tahun 2013 akan menduduki peperiksaan itu pada 2, 3, 7, 8 dan 9 Oktober ini di seluruh negara.

Lembaga Peperiksaan dalam kenyataannya di sini hari ini menyebut, 3,530 pusat peperiksaan akan dibuka di seluruh negara dengan 33,766 petugas dilantik bagi memastikan ia berjalan lancar.

Menurut kenyataan itu, calon-calon tersebut membabitkan 430,146 orang dari sekolah kerajaan, bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan manakala sekolah di bawah agensi kerajaan selain Kementerian Pendidikan contoh Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sebanyak 6,024 calon.

“Calon sekolah menengah agama negeri sebanyak 9,906 orang, calon sekolah swasta yang berdaftar dengan kementerian 13,637 orang, calon persendirian 1,008 orang manakala calon sekolah menengah agama rakyat 2,219 orang,” katanya kenyataan tersebut. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131001/dn_47/462940-calon-duduki-PMR-mula-Rabu#ixzz2gTSkit3R
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dua kanak-kanak lemas di kolan Kem Syed Sirajuddin – Bernama


Dua kanak-kanak lemas di kolan Kem Syed Sirajuddin

 

SEREMBAN 1 Okt. – Dua kanak-kanak perempuan ditemui mati lemas selepas tergelincir ke dalam sebuah kolam di Kem Syed Sirajuddin, Gemas, Tampin dekat sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 5.30 petang itu, Rachellyna Evenis Elvis, 11, dan Clarise Haizer Endyfim, 11, dikatakan bermain di tepi kolam itu bersama seorang lagi rakan sebaya mereka selepas pulang dari kelas tambahan di sekolah mereka.

Ketua Polis Daerah Tampin, Supritendan Wooi Kooi Cheang berkata, ketika sedang bermain tiba-tiba kedua-dua mangsa tergelincir ke dalam kolam berkenaan dan terus tenggelam.

Beliau berkata, seorang lagi rakan mangsa yang melihat kejadian itu pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian itu kepada keluarga mereka.

“Anggota bomba menemui mayat kedua-dua kanak-kanak perempuan berbangsa Iban itu kira-kira pukul 6.30 petang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sementara itu, ibu Rachellyna Evenis, Jomblin Umbang, 39, berkata, ketika kejadian dia berada di rumah dan suaminya yang juga seorang askar sedang bertugas di kem berkenaan.

Katanya, selepas diberitahu mengenai kejadian itu beliau terus ke kolam berkenaan, tetapi mendapati anak keduanya itu telah meninggal dunia.

“Saya akan membawa pulang mediang anak saya ke kampung halaman di Sibu, Sarawak untuk dikebumikan,” katanya yang ditemui di Hospital Tampin.

– BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_15/Dua-kanak-kanak-lemas-di-kolan-Kem-Syed-Sirajuddin#ixzz2gTSbtAd0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jenayah libat pelajar sekolah di KL membimbangkan – CPO – Utusan


Jenayah libat pelajar sekolah di KL membimbangkan – CPO

 

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Polis Kuala Lumpur memandang serius penglibatan golongan remaja dan kanak-kanak terlibat dalam jenayah meskipun statistik indeks jenayah membabitkan pelajar sekolah didapati menurun dalam tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh berkata, biarpun perangkaan itu menunjukkan penurunan namun jenayah melibatkan pelajar sekolah tetap dianggap serius berikutan masih banyak perilaku negatif yang ditutup oleh pihak tertentu.

Beliau berkata, banyak kes jenayah terutama melibatkan pesalah juvana tidak dilaporkan kepada polis kerana beberapa faktor seperti menjaga kepentingan imej dan nama baik serta menutup malu pihak tertentu

“Kita akui statistik indeks jenayah melibatkan pelajar sekolah telah mencatat penurunan iaitu hanya 64 pelajar ditahan dalam tempoh Januari hingga Ogos lalu berbanding 120 pelajar dalam tempoh sama tahun lalu.

“Tetapi kita tidak lihat perkara itu sebagai gambaran kepada keadaan yang sebenar kerana masih banyak kes yang tidak dilaporkan dan cuba ditutup pihak terdekat terutama ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar semasa menghadiri Majlis Dialog Ketua Polis Kuala Lumpur Dengan Pengetua-Pengetua Sekolah Menengah Kuala Lumpur di Maktab Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cheras di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_24/Jenayah-libat-pelajar-sekolah-di-KL-membimbangkan—-CPO#ixzz2gTSMXYGf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Laporan Audit: Bekalan Susu 1Malaysia disimpan tempat berisiko – Bernama


Laporan Audit: Bekalan Susu 1Malaysia disimpan tempat berisiko

 

KUALA LUMPUR 1 Okt. – Bekalan susu bagi Program Susu 1Malaysia disimpan di surau, bilik sumber, ruang bawah tangga dan tempat umum yang berisiko di sekolah, demikian menurut Laporan Ketua Audit Negara 2012.

Laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini itu menyebut berdasarkan temu bual bersama guru, mereka tidak mengetahui tatacara penyimpanan susu yang sesuai memandangkan mereka tidak menerima buku panduan.

“Kontraktor pula tidak memberi penerangan kepada guru mengenai penyimpanan susu dan sekolah menghadapi masalah ruang yang kurang sesuai untuk penyimpanan susu,” menurut laporan itu.

Laporan berkenaan menyebut susu yang tidak disimpan dengan teratur dan baik di tempat yang sesuai, mudah rosak dan tercemar dan berisiko keracunan.

“Susu juga perlu disimpan di lokasi yang mempunyai pengudaraan yang mencukupi bagi menjamin jangka hayat susu tersebut,” menurut laporan itu.

Laporan itu menyatakan sebahagian sekolah yang diperiksa tidak merekodkan penerimaan dan pengeluaran manakala sebahagian lagi merekodkan penerimaan dan pengeluaran susu tetapi dalam pelbagai format.

“Laporan Kes Keracunan Makanan Melibatkan Susu 1Malaysia menunjukkan sebanyak 97 kes dicatatkan pada 2011 dan 78 kes dalam 2012,” menurut laporan itu.

Menurut laporan itu, kes keracunan melibatkan Susu 1Malaysia berpunca daripada tidak toleran laktosa, alahan terhadap susu lembu dan kaedah pengendalian susu. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131001/dn_56/Laporan-Audit-Bekalan-Susu-1Malaysia-disimpan-tempat-berisiko#ixzz2gTS9wOkk
© Utusan Melayu (M) Bhd

Dua pelajar maut nahas motosikal, treler di Pekan – Bernama


Dua pelajar maut nahas motosikal, treler di Pekan

 

KUANTAN 1 Okt. – Dua beradik lelaki yang dalam perjalanan ke sekolah maut apabila motosikal mereka dilanggar sebuah treler di Km51 Jalan Pekan-Salong dekat Pekan hari ini.

Muhammad Adwa Ramli, 17, pelajar tingkatan lima dan adiknya, Muhammad Asyraf, 13, pelajar tingkatan satu sebuah sekolah menengah di Pekan, mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan badan.

Pemangku Penguatkuasa Tadbir/Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, Asisten Supritendan Zainalabidin Othman berkata, dalam nahas jam 7 pagi itu kedua-dua beradik itu dari arah Salong menghala ke bandar Pekan.

“Treler dari arah Pekan menghala ke Salong untuk mengambil bijih di Chini 2, itu termasuk laluan bertentangan sebelum bertembung motosikal mangsa,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Pemandu treler Norhamizon Hamzah, 40, tidak cedera.

Zainalabidin berkata, mayat kedua-dua beradik itu dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20131001/je_27/Dua-pelajar-maut-nahas-motosikal-treler-di-Pekan#ixzz2gTRKT72g
© Utusan Melayu (M) Bhd