Didik hormati Jalur Gemilang – Metro


Didik hormati Jalur Gemilang

 0  0 Google +0  0  0

Kita boleh mengukur sejauh manakah tahap patriotisme rakyat Malaysia dengan memerhatikan sikap mereka terhadap lagu kebangsaan dan bendera negara. Sejak di bangku sekolah kita didedahkan nyanyian lagu Negaraku dan cara mengibarkan Jalur Gemilang.

Bagaimanapun, tempoh masa bagi mendidik generasi muda mengenai dua simbol maruah negara itu singkat iaitu selama kira-kira 12 tahun mengambil kira peringkat persekolahan rendah dan menengah. 

 

Jika hendak mengharapkan pendedahan di sekolah, ia belum mencukupi kerana seorang pelajar hanya menyanyikan lagu kebangsaan seminggu sekali itu pun sekiranya perhimpunan diadakan. Selepas waktu sekolah jarang sekali pelajar bersua dengan lagu kebangsaan melainkan jika menghadiri majlis rasmi anjuran kerajaan. 

Apabila seorang pelajar meningkat dewasa seperti memasuki menara gading maka kekerapan mereka menyanyikan lagu Negaraku semakin berkurangan kerana jarang sekali mahasiswa terbabit dalam sesi perhimpunan.

Kalau ada kesempatan pun ketika mereka mengikuti program kenegaraan anjuran Biro Tatanegara atau menjadi penonton perlawanan bola sepak di stadium.

Denda 

Oleh yang demikian langkah kerajaan mewajibkan setiap pawagam memainkan lagu Negaraku sebelum tayangan sesebuah filem baru-baru ini satu perkara yang boleh kita renungi bersama. Langkah diambil kerajaan itu tidak perlu dipersoalkan kerana satu kaedah bagi mendidik perasaan cintakan negara. 

Pawagam lokasi sosial yang menerima kunjungan pelbagai lapisan masyarakat tidak kira usia, pangkat dan bangsa. 

Boleh dikatakan majoriti pengunjung pawagam warganegara Malaysia dan ini satu peluang untuk menyemai kesedaran menghormati lagu kebangsaan. 

Walaupun tempoh pelaksanaan arahan menyanyikan lagu Negaraku selama seminggu, tetapi tempoh ini memberi ruang kepada pihak kerajaan untuk menilai keberkesanannya sebelum satu garis panduan yang tetap dikeluarkan. 

Bagi memelihara kemuliaan lagu Negaraku, kerajaan menggubal Akta Lagu Kebangsaan 1968 yang antara lain memperincikan hukuman yang bakal dikenakan kepada individu yang tidak menghormati lagu kebangsaan. 

Salah satu perkara termaktub dalam akta berkenaan ialah hukuman dalam bentuk denda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak lebih satu bulan sekiranya didapati tidak menghormati lagu kebangsaan. 

Ada kemungkinan ramai yang tidak menyedari perkara ini hingga ada dilaporkan baru-baru ini terdapat pengunjung ditegur oleh pengurusan pawagam kerana tidak berdiri menyanyikan lagu Negaraku. Memandangkan perkara ini serius maka kerajaan perlu menyebarkan penerangan berhubung kewajipan mematuhi Akta Lagu Kebangsaan. 

Laksana kempen 

Jadikan kempen menerusi media cetak dan elektronik mengenai etika menghormati lagu kebangsaan sebagai satu langkah permulaan. 

Berhubung kes penghinaan bendera Jalur Gemilang oleh rakyat negara ini pula ia satu perkara yang tidak sepatutnya berlaku. 

Seorang warga negara yang bermaruah sudah pasti tidak akan tergamak merendah-rendahkan bendera sebagai lambang kemegahan dan kemuliaan sebuah negara berdaulat. 

Sepatutnya rakyat Malaysia tidak menjadikan bendera sebagai objek untuk meluahkan emosi terpendam hingga sanggup mendesak bendera Jalur Gemilang ditukar dengan bendera yang lain. 

Sekali lagi ditegaskan bahawa senario ini mungkin berpunca daripada kurangnya pengetahuan dalam kalangan rakyat Malaysia aspek perundangan seperti Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949. 

Dengan perkembangan kepesatan teknologi dan gaya pemikiran rakyat Malaysia yang semakin ke hadapan menuntut pihak kerajaan mengkaji semula beberapa hukuman yang terkandung dalam akta berkenaan supaya dapat diperketatkan. 

Andainya usaha mendidik rakyat menghormati bendera dan lagu kebangsaan menerusi kempen nampak tidak cukup berkesan maka penguatkuasaan undang-undang yang tiada kompromi adalah penyelesaiannya. 

Penulis berkelulusan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Multimedia

Artikel ini disiarkan pada : 2013/09/30

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s