Kementerian tidak terima UEC sebagai kelayakan masuk IPTA – Muhyiddin
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ini kerana sistem pengajaran dan pembelajaran MICSS tidak mengguna pakai dasar dan kurikulum sistem Pendidikan Kebangsaan.
“Bagaimanapun, kementerian sudah membuka ruang kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang memiliki UEC dan memenuhi syarat ditetapkan untuk mengikuti pengajian Bahasa Cina di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM).
“Kementerian juga tidak bercadang mengadakan peperiksaan lain untuk kemasukan pelajar ke universiti dan masih meneruskan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan program matrikulasi,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada Teresa Kok Suh Sim (DAP-Seputeh) yang ingin tahu sama ada kementerian bercadang mengadakan peperiksaan kemasukan universiti yang sama bagi semua pelajar menggantikan STPM, matrikulasi dan yang lain serta pengiktirafan peperiksaan UEC sebagai syarat.
Muhyiddin berkata peperiksaan STPM ditawarkan bukan sahaja kepada calon sekolah tetapi juga calon persendirian kerana dalam pendemokrasian pendidikan, kelayakan memasuki institusi pengajian IPT tidak seharusnya berasaskan satu peperiksaan sahaja. – BERNAMA