Kanak-kanak trauma terkurung dalam lif – Metro


Kanak-kanak trauma terkurung dalam lif

 1  0 Google +0  0  0

Oleh Raja Noraina Raja Rahim, Muhaamad Hafis Nawawi dan Shahrul Redzuan Zulkifli

Kuala Lumpur: “Saya sangka akan tinggal dalam lif itu selama-lamanya,” kata Muhammad Danish Najmi Radzi, 8, yang terkurung hampir sejam dalam lif sebuah pusat beli-belah di Jalan Chow Kit, di sini, kelmarin.

Berikutan kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, murid tahun dua itu cedera kaki kiri selain trauma apabila lif yang dinaiki bergerak secara tiba-tiba sebaik melangkah masuk dari tingkat enam sebelum lif itu berhenti di tingkat lapan.

Bapa mangsa, Mohd Radzi Mohd Said, 35, berkata ketika kejadian, dia bersama Danish, dua anak dan isterinya sedang menunggu lif untuk ke tingkat tujuh dari tingkat enam.

“Sebaik pintu lif terbuka, anak saya melangkah masuk dulu dan belum sempat saya dan isteri masuk tiba-tiba pintu lif tertutup. Saya kemudian menahan pintu lif itu namun lif terus juga naik. Isteri sempat memegang kaki anak saya itu tetapi melepaskannya apabila lif itu terus bergerak naik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Putrajaya.

FotoKAKI Danish cedera selepas tersepit pada pintu lif.

Pasangan berkenaan juga membuat laporan mengenai kejadian itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, di sini, pada hari sama.
Beliau berkata, di dalam lif berkenaan juga terdapat sepasang suami isteri dan seorang anaknya yang menaiki lif berkenaan dari tingkat bawah.

Mohd Radzi berkata, dia bersama keluarga ke pusat beli-belah itu selepas diajak anaknya itu dan sebaik tiba di tingkat enam, dia mendapati tangga bergerak tidak berfungsi menyebabkan mereka mengambil keputusan menggunakan lif untuk ke tingkat tujuh.

“Ketika itu, isteri mendukung bayi perempuan kami yang berusia lapan bulan manakala saya memimpin Danish dan anak lelaki kedua berusia enam tahun serta menolak kereta sorong.

“Kami ambil keputusan menaiki lif. Apabila pintu lif terbuka, Danish masuk terlebih dulu namun tiba-tiba pintu lif hampir tertutup.

“Isteri saya terpaksa menahan pintu lif berkenaan daripada tertutup kerana bimbang Danish tersepit. Bagaimanapun, lif itu terus bergerak naik walaupun pintu lif sudah terbuka semula,” katanya.

Lebih menakutkan, Danish hampir tersepit apabila lif itu bergerak naik ke tingkat tujuh, namun dalam keadaan panik itu, sepasang suami isteri yang berada dalam lif berkenaan sempat menarik tangan dan menyelamatkannya.

Radzi berkata, lebih membimbangkannya apabila lif itu berhenti di tingkat lapan menyebabkan dia terpaksa mencari pihak pengurusan bagi meminta bantuan.

Katanya, walaupun kejadian itu sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusan, namun mereka terpaksa menunggu bantuan tiba hampir sejam.

“Bimbang keselamatan anak, saya mengambil keputusan menghubungi bomba dan beberapa minit kemudian barulah pihak penyelenggara tiba membuka lif itu. Sebaik Danish berjaya dikeluarkan, dia segera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Kaki kiri Danish lebam selain seluarnya terkoyak.

Menurutnya, mereka sekeluarga akan mendapatkan laporan lengkap perubatan selain nasihat peguam bagi menuntut keadilan berikutan kejadian itu yang dianggap kecuaian pihak pengurusan pusat beli- belah berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainuddin Ahmad ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s