Pelajar PMR ditahan curi motosikal – Sinar Harian


Pelajar PMR ditahan curi motosikal
WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Oktober 2013
  • Pelajar PMR ditahan curi motosikalMohd Nashir (dua, kiri) menunjukkan gambar traktor yang dijumpai semula
< 1 / 1 >

JITRA – Tiga pelajar lelaki yang baru selesai menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR) kelmarin, ditahan kerana disyaki mencuri motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Asisten Komisioner Mohd Nashir Ya berkata, semua suspek yang masih bersekolah ditangkap di rumah masing-masing pagi semalam.

“Bertindak atas maklumat orang awam, kira-kira jam 8 pagi, kita berjaya menahan tiga remaja berumur 15 tahun.

“Polis merampas sebuah motosikal Yamaha RXZ, sebuah motosikal Honda Wave, empat rangka motosikal, empat kulit enjin dan komponen motosikal yang dipercayai sudah dileraikan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, semalam.

Beliau berkata, kesemua barang rampasan itu dijumpai di sekitar rumah mereka di Baling dan Kupang.

Kita akan buat tahanan lanjut kerana percaya banyak lagi kes yang boleh dikaitkan dengan mereka.

“Hasil maklumat awal, kita masih mencari dua lagi lelaki yang dipercayai turut terlibat,” katanya.

Mohd Nashir berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 379 (A) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan maksimum tujuh tahun serta denda.

Sementara itu, polis berjaya menyelesaikan kes kehilangan traktor di sekitar negeri ini dalam tempoh 2010 hingga 2013.

“Hasil siasatan yang kita lakukan terhadap sembilan kes di Kota Setar dan satu kes di Pendang, membawa kepada penahan dua lelaki pada 5 Oktober lalu berumur antara 20 hingga 24 tahun mengikut Seksyen 379 (A) Kanun
Keseksaan kerana mencuri,” katanya.

Beliau berkata,  siasatan terhadap dua lelaki itu membawa kepada penahanan lima lelaki lain.

“Daripada tangkapan kedua, kita menemui semula tujuh traktor yang dilaporkan hilang. Sementara dua yang lain dibebaskan kerana tidak cukup bukti untuk didakwa di mahkamah,” katanya.

Masalah penglihatan: Ambil serius aduan anak-anak – Bernama


Masalah penglihatan: Ambil serius aduan anak-anak
 
10 Oktober 2013
 
  • Datuk Dr S SubramaniamDatuk Dr S Subramaniam
< 1 / 2 >

ALOR SETAR – Ibu bapa dan penjaga diminta mengambil serius aduan berkaitan masalah penglihatan anak-anak mereka yang masih bersekolah kerana jika dibiar berterusan akan memberi kesan kepada pelajaran kanak-kanak itu.
   
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, ramai murid dan pelajar berhadapan masalah penglihatan atau rabun tanpa disedari mereka.
   
“Murid-murid sekolah tak tahu mereka ada masalah ini. Tak nampak dalam kelas, nampak separuh dan tak jelas. Akhirnya ini beri kesan kepada pencapaian pendidikan mereka. Kalau dah dikesan, cuma beri kaca mata yang sesuai.
   
“Kena ada tahap kesedaran yang tinggi di kalangan ibu bapa dan penjaga. Kalau anak-anak mengadu susah nak nampak, ambil serius buat pemeriksaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Penglihatan Sedunia 2013 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
   
Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Hadir sama Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.    

Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama membuat saringan mengenal pasti murid dan pelajar yang berhadapan masalah penglihatan di semua sekolah pada setiap tahun.
   
Sementara itu, beliau berkata banyak masalah penglihatan terutama buta yang dihadapi rakyat di negara ini sebenarnya boleh dielak jika mereka mendapatkan rawatan awal.
   
“Di Malaysia, dalam 1,000 orang ada tiga orang yang ada prevalen kebutaan manakala prevalen kecacatan penglihatan adalah 24 dalam 1,000,” katanya sambil memberitahu penyebab utama masalah penglihatan serius adalah katarak iaitu sebanyak 39 peratus, dan ia boleh dirawat terutama melalui pembedahan.
   
Beliau berkata selain itu, 24 peratus masalah kesihatan adalah disebabkan penyakit retina, yang punca utamanya daripada diabetis atau kencing manis.
   
Dr Subramaniam berkata kementerian banyak mengadakan program kesedaran tentang pentingnya kesihatan mata terutama di kalangan pesakit diabetis.

“Mesej ini sentiasa diteruskan untuk meningkatkan kesedaran. Tolong ambil serius tentang isu kurang penglihatan. Kebanyakan ada harapan untuk dirawat. Paling kurang hampir-hampir sempurna kalau tak sempurna sepenuhnya,” katanya.
   
Hari Penglihatan Sedunia disambut pada hari Khamis kedua dalam bulan Oktober setiap tahun sejak 1999.
   
Ia bagi meningkatkan kesedaran dan menumpukan perhatian tentang masalah kebutaan dan kecacatan penglihatan di seluruh dunia. Sambutan tahun ini bertemakan ‘Kesihatan Mata Menyeluruh’. – Bernama

‘ASP Izani’ sebenarnya guru di Putrajaya – Metro


‘ASP Izani’ sebenarnya guru di Putrajaya

 43  1 Google +4  1  0

Shah Alam: Individu menyamar pegawai polis dikenali sebagai ‘ASP Izani’ yang ditahan di sebuah hotel bajet di Dengkil, dekat Sepang Jumaat lalu dikenal pasti bekerja sebagai guru sebuah sekolah rendah di Putrajaya sejak 10 tahun lalu.

Ketua Polis Selangor Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata, suspek berusia 36 tahun ditahan selepas memeras ugut dua warga Bangladesh dengan menyamar sebagai pegawai polis itu turut membawa sepucuk pistol mainan, seutas rantai berwarna perak bertulis ‘ASP Izani’ dan juga beret yang mempunyai lambang Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Hasil semakan terhadap suspek, dia tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau dan polis menyiasat sama ada lelaki itu pernah terbabit dengan kes lain seumpamanya sebelum ini.

 

“Suspek kini direman bermula Sabtu hingga Jumaat ini (esok) dan kami siasat kes mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan penyamaran sebagai penjawat awam yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini, semalam.
Sebelum ini, Metro Ahad melaporkan seorang lelaki berusia 36 tahun dipercayai menyamar sebagai pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan ditahan di sebuah hotel bajet, jam 10.30 malam dalam Op Cantas dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), IPK Selangor di sekitar daerah Sepang.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/10/10

Bajet 2014: CUEPACS minta bonus, kenaikan elaun tetap – Bernama


Bajet 2014: CUEPACS minta bonus, kenaikan elaun tetap

2013/10/10 – 17:47:58 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta kerajaan memperuntuk pemberian bonus dua bulan dan menaikkan beberapa elaun tetap termasuk perumahan dan sara hidup kepada 1.4 juta penjawat awam dalam Bajet 2014.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata kerajaan perlu memberi bonus dan kenaikan elaun itu berikutan peningkatan kos sara hidup terutamanya selepas subsidi petrol dikurangkan baru-baru ini.

Menurutnya, CUEPACS amat berharap imbuhan tetap perumahan dinaikkan mengikut gred setelah 15 tahun berada pada paras sama selain mengambil kira ketidakmampuan golongan rendah dan sederhana memiliki rumah berikutan harga semakin meningkat kini.

CUEPACS turut memohon elaun sara hidup (Cola) antara kawasan bandar dan luar bandar diselaraskan kepada RM300 kerana kos sara hidup di semua kawasan tidak banyak berbeza.

Kongres itu juga mahukan kerajaan menurunkan kadar faedah pinjaman perumahan untuk penjawat awam daripada 4 peratus kepada 1 peratus berikutan kenaikan harga rumah.

Sementara itu, Omar berkata CUEPACS menyambut baik kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan mengenai pelepasan cukai untuk golongan berpendapatan sederhana yang dijangka diumum dalam bajet kali ini.

Bagaimanapun, Omar berharap kerajaan dapat memberikan lebih banyak mekanisme subsidi kepada golongan itu kerana mereka tidak layak menerima bantuan lain seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dinikmati golongan berpendapatan rendah.
“Sudah tentu ini berita gembira buat kita jika ia diumumkan. Namun, kita berharap lebih banyak bantuan atau subsidi lain diumum untuk penjawat awam,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dijadual membentangkan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini.

– BERNAMA