Masalah penglihatan: Ambil serius aduan anak-anak – Bernama


Masalah penglihatan: Ambil serius aduan anak-anak
 
10 Oktober 2013
 
  • Datuk Dr S SubramaniamDatuk Dr S Subramaniam
< 1 / 2 >

ALOR SETAR – Ibu bapa dan penjaga diminta mengambil serius aduan berkaitan masalah penglihatan anak-anak mereka yang masih bersekolah kerana jika dibiar berterusan akan memberi kesan kepada pelajaran kanak-kanak itu.
   
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata, ramai murid dan pelajar berhadapan masalah penglihatan atau rabun tanpa disedari mereka.
   
“Murid-murid sekolah tak tahu mereka ada masalah ini. Tak nampak dalam kelas, nampak separuh dan tak jelas. Akhirnya ini beri kesan kepada pencapaian pendidikan mereka. Kalau dah dikesan, cuma beri kaca mata yang sesuai.
   
“Kena ada tahap kesedaran yang tinggi di kalangan ibu bapa dan penjaga. Kalau anak-anak mengadu susah nak nampak, ambil serius buat pemeriksaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian Hari Penglihatan Sedunia 2013 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
   
Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah. Hadir sama Anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zain dan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.    

Dr Subramaniam berkata Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan sentiasa bekerjasama membuat saringan mengenal pasti murid dan pelajar yang berhadapan masalah penglihatan di semua sekolah pada setiap tahun.
   
Sementara itu, beliau berkata banyak masalah penglihatan terutama buta yang dihadapi rakyat di negara ini sebenarnya boleh dielak jika mereka mendapatkan rawatan awal.
   
“Di Malaysia, dalam 1,000 orang ada tiga orang yang ada prevalen kebutaan manakala prevalen kecacatan penglihatan adalah 24 dalam 1,000,” katanya sambil memberitahu penyebab utama masalah penglihatan serius adalah katarak iaitu sebanyak 39 peratus, dan ia boleh dirawat terutama melalui pembedahan.
   
Beliau berkata selain itu, 24 peratus masalah kesihatan adalah disebabkan penyakit retina, yang punca utamanya daripada diabetis atau kencing manis.
   
Dr Subramaniam berkata kementerian banyak mengadakan program kesedaran tentang pentingnya kesihatan mata terutama di kalangan pesakit diabetis.

“Mesej ini sentiasa diteruskan untuk meningkatkan kesedaran. Tolong ambil serius tentang isu kurang penglihatan. Kebanyakan ada harapan untuk dirawat. Paling kurang hampir-hampir sempurna kalau tak sempurna sepenuhnya,” katanya.
   
Hari Penglihatan Sedunia disambut pada hari Khamis kedua dalam bulan Oktober setiap tahun sejak 1999.
   
Ia bagi meningkatkan kesedaran dan menumpukan perhatian tentang masalah kebutaan dan kecacatan penglihatan di seluruh dunia. Sambutan tahun ini bertemakan ‘Kesihatan Mata Menyeluruh’. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s