PIBG diminta jadi penyelaras – Sinar Harian


PIBG diminta jadi penyelaras
MOHD TAHA YAACOB
28 Oktober 2013
  • PIBG diminta jadi penyelarasMuhammad Pehimi bersama penerima anugerah kecemerlangan UPKK dan murid yang khatam al-Quran di Kampung Raja.
< 1 / 1 >

BESUT – Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) diminta bertindak menjadi penyelaras antara pihak pengurusan sekolah rendah dengan Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Inovasi dan Tugas-tugas Khas negeri, Muhammad Pehimi Yusof berkata, pendekatan tersebut wajar diambil bagi memastikan Kafa mendapat tempat sewajarnya di sekolah.

Menurutnya, ketika ini tidak ada organisasi yang menyelaras antara guru besar atau pihak pengurusan sekolah dengan guru Kafa, menyebabkan hasrat kerajaan tidak berjaya sepenuhnya.

“PIBG perlu menghubungkan kedua-dua pihak ini bagi memastikan guru dan kelas Kafa turut mendapat perhatian pihak sekolah untuk menghasilkan murid yang cemerlang sahsiah dan rohani.

“Lazimnya ada segelintir pengurusan sekolah hanya memberi tumpuan kepada kecemerlangan akademik sedangkan kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk Kafa memberi didikan agama kepada murid,” katanya yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Kafa negeri.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Pelajar-pelajar Kafa 2013 di Masjid Nasiruddin, di sini, kelmarin, yang turut dihadiri wakil pegawai daerah, Zahanapi Sagaf.

Muhammad Pehimi yang juga Adun Jertih berkata, disebabkan tidak ada pihak menyelaras antara kedua belah pihak itu menyebabkan usaha untuk menjayakan program yang dirancang Kafa tidak berjaya sepenuhnya.

Menurutnya, Kafa sebenarnya ada mengadakan peperiksaan untuk murid mereka iaitu Ujian Pencapaian Kelas Kafa (UPKK) di setiap sekolah bagi menguji tahap penguasaan agama murid dan ia turut perlu diberi perhatian.

Katanya, tahun ini terdapat 72,000 murid Kafa seluruh negeri tetapi yang berjaya khatam al-Quran hanya 24,330 orang.

“Saya yakin jika pihak sekolah turut memberi tumpuan kepada Kafa, jumlah murid yang berjaya khatam al-Quran akan lebih daripada jumlah itu.

“Namun begitu kerajaan negeri berbangga kerana bilangan murid yang berjaya khatam al-Quran meningkat saban tahun berbanding hanya 13,877 pada 2008 dan 21,610 orang pada tahun lalu,” katanya.

Sembelih lembu di sekolah boleh tapi bersyarat – Sinar Harian


Sembelih lembu di sekolah boleh tapi bersyarat
WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Oktober 2013
  • Idris Jusoh
< 1 / 1 >

SHAH ALAM – Susulan daripada kekeliruan isu sembelih lembu di kawasan sekolah, Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kementerian Pelajaran membenarkan ibadah korban dijalankan dalam kawasan sekolah selagi tidak melibatkan sensitiviti kaum lain.

Menurutnya, penyembelihan lembu boleh dijalankan jika ia melibatkan sekolah yang mempunyai majoriti pelajar dan guru beragama Islam.

“Kementerian Pendidikan Malaysia tidak akan menghalang upacara korban di sekolah-sekolah.

“Tapi setiap program perlu mengambil kira sensitiviti kaum lain di sekolah tersebut dan dilaksanakan dengan sifat saling hormat-menghormati,” demikian menurut beliau melalui laman Facebooknya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan , P Kamalanathan  menyatakan larangan itu sebagai respon kepada aduan seorang pengadu berbangsa India yang mempersoalkan kewajaran ibadah korban diadakan dalam kawasan sekolah di Puchong Jaya, yang mempunyai pelajar bukan Islam.

Kamalanathan selain itu berkata, larangan tersebut tidak dinyatakan di dalam pekeliling, tetapi hanya dalam bentuk nasihat kepada pihak sekolah “dari semasa ke semasa”, di samping Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) akan menasihati sekolah untuk bekerjasama dengan surau berhampiran apabila pihak sekolah memaklumkan mengenai aktiviti berkenaan.

“Sebenarnya benda itu (sembelihan korban) tidak boleh. (Perkara) itu dah kementerian siasat. Biasanya tidak boleh, tetapi masalah yang berlaku apabila PPD tidak dimaklumkan.

“Kalau dimaklumkan di pejabat PPD, biasanya, mereka akan menasihatkan pihak sekolah bekerjasama dengan surau-surau berhampiran. Itu yang digalakkan,” katanya.

Pelajar dalam video dipanggil – Sinar Harian


Pelajar dalam video dipanggil
NURULATIQ AHMAD BANDI
28 Oktober 2013
  • Pelajar dalam video dipanggilSebahagian rakaman pelajar di tanah perkuburan yang tersebar di Youtube.
< 1 / 1 >

PORT DICKSON – Sembilan pelajar sekolah dipanggil polis bagi direkodkan keterangan berhubung sebuah video pendek memaparkan tingkah laku mereka di kawasan tanah perkuburan Cina di sini.

Video berdurasi 1 minit 32 saat itu, tersebar dalam Youtube memaparkan pelajar terbabit termasuk ada antaranya beruniform sekolah, menari dengan iringan muzik rancak serta bermain bola sepak di kawasan perkuburan itu sehingga menimbul rasa kurang senang masyarakat.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, tujuh daripada mereka merupakan pelajar sebuah sekolah menengah di daerah ini, sementara dua lagi telah dibuang sekolah sebelum kejadian, atas faktor disiplin.

Menurutnya, kesemua mereka berusia antara 12 dan 14 tahun.

“Siasatan polis mendapati, kumpulan pelajar ini berbuat demikian tanpa niat untuk menghina ataupun cuba menggugat sentimen perkauman dan agama. Kelakuan yang dilakukan sekadar untuk bersukaria, bagaimanapun mereka berada di lokasi salah tanpa mengetahui kesan dan akibat daripada perbuatan tersebut.

Menurutnya, perbuatan kumpulan pelajar itu dilakukan Khamis lalu, sekitar 11 pagi hingga 12 tengah hari.

“Rakaman video itu dirakam menggunakan telefon bimbit salah seorang daripada pelajar terbabit. Polis juga percaya antara mereka juga yang telah memuat naik rakaman tersebut ke internet,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson, semalam.

Abd Wahab berkata, berikutan penyebaran video tersebut, satu laporan polis telah dibuat ahli jawatankuasa tanah perkuburan tersebut, Jumaat lalu.

“Dalam masa terdekat polis akan memanggil pelajar, ibu bapa mereka dan juga ahli jawatankuasa tanah perkuburan itu untuk menjernihkan kembali keadaan.

“Kejadian yang berlaku ini merupakan kes terpencil dan jangan jadikan ia sebagai punca untuk kita saling berbalah sesama kaum,” katanya percaya kes ini akan diselesaikan dengan baik.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 15 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 298 A (1) Kanun Keseksaan memperuntukkan kesalahan atas alasan agama yang boleh menyebabkan suasana tidak harmoni, perpecahan atau permusuhan, benci membenci atau niat jahat atau memudaratkan pemeliharaan keadaan harmoni atau perpaduan.

“Sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih lima tahun,” katanya.

Abd Wahab menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan rakaman video tersebut melalui apa juga medium komunikasi dan mereka yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kanak-kanak nyaris maut terkena renjatan elektrik – Bernama


Kanak-kanak nyaris maut terkena renjatan elektrik
28 Oktober 2013

SEMPORNA – Seorang kanak-kanak nyaris maut selepas terkena renjatan elektrik daripada wayar voltan tinggi di Kampung Batu, Jalan Kampung Simunul dekat sini semalam.

Kanak-kanak berumur 12 tahun itu dikatakan memegang wayar daripada tiang elektrik yang telah semalaman terjatuh di atas tanah.

“Ketika kami tiba, tubuh kanak-kanak itu dalam keadaan bergetar dan dia mengadu amat sakit di bahagian dada.

“Kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Semporna. Dia kini dilapor stabil,” kata Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Semporna Penolong Penguasa Bomba Mohd Razali Awang Ahmad ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 12.46 tengah hari. – Bernama

Pekeliling tambah baik perkhidmatan awam dikeluar – Bernama


Pekeliling tambah baik perkhidmatan awam dikeluar

28 Oktober 2013
  • Datuk Seri Dr Ali Hamsa. Datuk Seri Dr Ali Hamsa.
< 1 / 1 >

KUCHING – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, satu pekeliling mengenai 81 skim perkhidmatan awam yang ditambah baik di bawah bajet 2014 akan dikeluarkan bulan depan untuk penjawat awam yang diberikan peluang dari segi peningkatan gred jawatan.

Beliau, yang turut mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang bersetuju mengadakan kajian semula skim perkhidmatan awam berkata, ia telah sampai ke peringkat akhir setelah melalui satu proses ketat untuk mendapatkan persetujuan.

“Semua skim ini kita buat kajian semula dengan melibatkan semua.

Kita bermesyuarat dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), persatuan yang terlibat, semua ketua jabatan dan ketua-ketua setiausaha,” katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan serantau Persatuan Pentadbiran Awam dan Pengurusan Komanwel (Capam) 2013.

Persidangan itu dirasmikan Menteri Pelancongan dan Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebagai mewakili Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud di sini, semalam.

Ali berharap penjawat awam yang menerima surat tawaran akan mempertimbang dengan baik perubahan skim masing-masing, yang dilaksanakan daripada pelbagai peringkat mulai bulan depan.

Ali, yang juga naib presiden Capam, berkata persidangan serantau itu yang merupakan forum multilateral mengenai pentadbiran awam dalam kalangan negara Komanwel, akan diadakan di Kuala Lumpur tahun depan selepas Kuching, yang dihadiri 336 peserta, yang terdiri daripada anggota Capam dari 22 negara Komanwel, termasuk Malaysia. – Bernama